Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Poetry Jam menampilkan penyair Mahua dan sastera Melayu seperti Jamal Raslan, Looi Yok Tho, Abdullah Hussaini, Leong Xin Yuan, Qurratul Ain, Chiew Ruoh Tau membacakan sajak-sajak yang terkait antara satu sama lain di Galeri Seni Suma Orientalis, baru-baru ini.
Konsep acara ini adalah setiap penyair akan membaca tiga buah puisi dan puisi terakhir akan direspons oleh penyair seterusnya, menjadikan semua puisi yang dibaca pada malam itu terhubung antara satu sama lain.
Acara bermula dengan bacaan puisi yang bertenaga oleh Jamal Raslan, seorang yang tidak asing lagi dalam komuniti spoken word poetry.
Bermula dengan membaca puisi pengenalan, bacaan puisinya dalam bahasa yang bercampur antara bahasa Inggeris, Melayu dan Mandarin.
Kemudian diteruskan mengikut turutan oleh Looi Yok Tho, Abdullah Hussaini, Leong Xin Yuan, Qurratul Ain, Chiew Ruoh Tau dan diakhiri semula dengan bacaan penutup oleh Jamal Raslan.
Acara tersebut turut diserikan dengan persembahan selingan. Selepas Abdullah Hussaini selesai membaca puisi terakhirnya, “Anak Bulan dalam Tekak”, Aki Huang dan gitaris Hooi Jun melagukan puisi tersebut lantas menghasilkan persembahan yang memukau membuatkan penonton terdiam.
Aki yang merupakan pencipta lagu untuk filem Snow in Midsummer dan Abang Adik, pernah memenangi anugerah Golden Horse Award, menyatakan bahawa puisi tersebut dipilih untuk dilagukan kerana pendek dan sarat dengan perasaan duka.

Acara yang bermula pada jam 7.30 malam itu menerima sambutan yang hangat dan Poetry Jam merupakan satu daripada sejumlah acara yang dianjurkan oleh Galeri Seni Suma Orientalis dengan kerjasama Koukou Poetry dan Got1 Publisher telah berlangsung selama 72 jam tanpa henti.
Menurut pengarah galeri, Sophia Shung, Poetry Jam merupakan antara acara yang mengisi slot 72 jam acara tanpa henti yang diadakan di Galeri Seni Suma Orientalis.
Antara acara lain adalah Sembang Sastera bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, Dialog Seni, Yoga dan Sembang Seniman. Dalam masa yang sama galeri itu mengadakan pameran karya oleh pelukis Tan Chin Kuan.