Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSempena bulan Maulidur Rasul, Dr. Khairul Nizam Zainal Badri menampilkan sejarah dan tokoh besar dalam kepengarangan qasidah, tradisi puisi Islam.
Pada zaman Rasulullah SAW, pelantun syair mendapat kedudukan istimewa di sisi baginda SAW.
Sejak dari dahulu lagi, orang-orang Arab terkenal sebagai bangsa yang memiliki cita rasa yang tinggi terhadap puisi dan syair. Salah satu daripadanya ialah qasidah yang jika dikaji dari sudut sejarahnya, telah pun wujud sejak zaman sebelum datangnya Islam. Kemahiran menyusun dan melantunkan qasidah dianggap sebagai satu kemuliaan dan penghormatan manakala isi kandungannya menjadi syair atau irama yang diagung-agungkan dalam kalangan masyarakat.
Dalam kehidupan orang Arab sebelum kedatangan Islam, qasidah terdiri daripada rangkap-rangkap syair yang memuatkan puji-pujian kepada tokoh atau individu yang berjasa besar dalam masyarakat. Namun setelah Islam tersebar dalam kalangan orang-orang Arab, isi kandungan qasidah bertukar menjadi puji-pujian terhadap Allah SWT dan kekasih-Nya, Rasulullah SAW. Dalam kalangan ahli sufi atau pengamal tasawuf, qasidah menjadi platform kepada golongan ini untuk menzahirkan rasa kecintaan atau rindu mereka kepada Allah SWT, kepada Rasulullah SAW, kepada para sahabat baginda SAW dan kepada wali-wali Allah.
Perintis yang mempopularkan salah satu cabang syair ini dinisbahkan kepada Imruʾ al-Qais Junduh bin Hujr al-Kindi yang hidup pada akhir abad kelima dan awal abad keenam Masihi iaitu kira-kira hampir 100 tahun sebelum kelahiran baginda SAW. Beliau merupakan pewaris kerajaan Kindah kerana bapanya Hujr bin al-Harith merupakan pemangku raja Kindah yang menaungi kabilah Asad dan Ghatafan. Walau bagaimanapun, beliau langsung tidak menunjukkan minat untuk melibatkan diri dalam urusan pemerintahan, sebaliknya cenderung untuk menulis syair sejak usia kecil.
Tetapi kemudian, apabila kabilah Asad memberontak dan membunuh bapanya, Imru’ al-Qais bertanggungjawab untuk membalas kematiannya memandangkan beliau satu-satunya waris lelaki yang tinggal. Beliau mengambil alih tampuk kepimpinan lalu memerangi suku Asad sehingga berjaya membalas dendam dengan menumpahkan darah, dan menghabiskan sisa hidupnya untuk mendapatkan kembali kerajaan bapanya.
Pengaruh beliau dalam bidang tersebut barangkali mempunyai kaitan dengan seorang lagi tokoh yang turut dianggap sebagai orang terawal yang menulis qasidah, iaitu Al-Muhalhal bin Rabiah al-Taghlibi, yang juga merupakan bapa saudara Imru’ al-Qais. Al-Muhalhal merupakan saudara kandung kepada ibunya, Fatimah binti Rabi’ah al-Taghlibi. Salah satu qasidah Imru’ yang dianggap penting berjudul “Mari Kita Berhenti dan Menangis” yang kemudiannya dihimpunkan sebagai salah satu daripada tujuh Mu’allaqat, iaitu puisi yang dihargai sebagai contoh terbaik yang dihasilkan oleh masyarakat Arab pra-Islam.
Antara rangkap syair yang diabadikan oleh Imru’ al-Qais tentang tragedi yang menimpa datuknya, al-Harith, Raja Hirah (wilayah di selatan Iraq) yang dibunuh oleh al-Mundhir, Raja Hirah terdahulu yang telah diturunkan takhtanya sebagaimana yang terdapat dalam diwannya yang diteliti oleh Al-Tahir Ahmad Makki dalam tulisannya bertajuk Imru’ al-Qays, yang kemudiannya dihimpunkan dalam Dictionary of Literary Biography suntingan Michael Cooperson dan Shawkat Toorawa terbitan Thomson Gale (2005:213):
……….Menangislah untukku, wahai mataku! Tumpahkan air matamu
……….Dan meratapi aku raja-raja yang lenyap
……….Putera-putera Hujr ibn ‘Amru
……….Dibawa pergi ke penyembelihan pada waktu petang;
……….Sekiranya mereka mati dalam pertempuran
……….Bukan di tanah Banu Marina!
……….Tiada air di sana untuk membasuh kepala mereka yang jatuh,
……….Dan tengkorak mereka bersimbah darah
……….Dipatuk oleh burung
……….Siapa yang mencabut kening dahulu, kemudian matanya.
Pada zaman Rasulullah SAW, pelantun syair mendapat kedudukan istimewa di sisi baginda SAW. Sahabat yang bernama Hasan bin Thabit mendapat penghormatan daripada baginda SAW apabila sebuah mimbar khas disediakan untuknya membacakan puji-pujian kepada Allah dan Rasul-Nya.
Bahkan Hasan mendapat kemuliaan daripada Rasulullah SAW apabila dihadiahkan kepadanya seorang perempuan Mesir bernama Sirin yang merupakan hadiah pemberian Raja Muqauqis, pemerintah Mesir pada tahun 7 Hijrah. Saudara Sirin yang bernama Mariyyah yang juga merupakan pemberian Raja Mesir itu menjadi isteri baginda SAW yang kemudiannya melahirkan seorang anak lelaki bernama Ibrahim.
Contoh syair Hasan yang mendapat pujian Rasulullah SAW sehingga menyebabkan baginda SAW mendoakan kebaikan untuknya (Jihan Najla Qatrunnada, Detik Hikmah, 15 September 2023):
……….Wahai tiang orang yang bersandar kepadamu, pegangan orang yang
……………berlindung kepadamu, tempat beristirahat orang yang mencari
……………keselamatan, dan pembela orang yang memerlukan perlindungan,
……….Wahai orang yang dipilih Tuhan bagi makhluk-Nya dengan menanamkan
……………dalam dirinya kesempurnaan dan kesucian (sifat)
……….Wahai Nabi, engkaulah manusia gemilang (terbaik). Wahai manusia
……………budiman, seperti curahan air laut yang bergelombang (bergelora)
……….(Malaikat) Mika’il a.s. dan Jibril a.s. bersamamu, penolong
……………kemenanganmu yang diutus oleh Yang Maha Kuasa dan Maha
……………Perkasa
Seni qasidah mencapai kemuncaknya pada zaman pemerintahan Abbasiyah apabila para penyair Islam seperti Al-Mutanabbi (915 – 965 M) tidak hanya mencipta syair qasidah, malah mengembangkan ilmu kaedah penulisan qasidah, iaitu ilmu Arudh. Al-Mutannabi atau nama sebenarnya Abū al-Ṭayyib Aḥmad bin Al-Ḥusayn al-Mutanabbī al-Kindī mula menulis puisi ketika berusia sembilan tahun. Beliau terkenal dengan kepintaran dan kecerdasannya yang tajam. Antara topik yang dibincangkannya termasuk keberanian, falsafah hidup dan perihal pertempuran. Sebagai salah seorang penyair terhebat, terkemuka dan berpengaruh dalam bahasa Arab, kebanyakan karya beliau telah diterjemahkan ke dalam lebih 20 bahasa di seluruh dunia.
Bakatnya yang besar membawa dirinya sangat dekat kepada ramai pemimpin pada zamannya, sehingga beroleh pelbagai sanjungan dan hadiah. Namun begitu, cita-cita politik dan keegoannya dalam berbahasa dikatakan menjadi punca beliau terbunuh.
Al-Mutannabi mengetuai pemberontakan Qarmatian di Syria pada tahun 932. Beliau kemudiannya dipenjarakan oleh Gabenot Homs tetapi dibebaskan dua tahun berikutnya. Selepas itu, beliau menjadi penyair yang mengembara tetapi pada masa yang sama masih lagi berbicara tentang kuasa dan kebebasan.
……….Aku adalah orang yang kesusasteraannya dapat dilihat oleh orang yang ……………buta,
……….dan aku adalah orang yang perkataannya dapat didengari oleh orang
……………pekak.
……….Kuda, malam dan padang pasir semuanya mengenaliku,
……….Seperti pedang, tombak, kitab suci dan pena.
Ketajaman penulisannya yang turut dikaitkan dengan identiti dan peribadi dirinya dipancarkan menerusi rangkap yang berikut:
……….Jika kamu melihat taring singa, jangan fikir singa itu tersenyum
……….Tidak semua yang diharapkan dapat dicapai, (sedangkan) angin yang
……………bertiup (pun boleh) berlawanan dengan kehendak kapal.
……….Jika kamu berani mengejar kemuliaan, jangan (mudah) berpuas hati
……………dengan kurang(nya ia) daripada bintang.
Penderitaan yang dialaminya itu menjadi kunci pada pembukaan pengetahuan sehingga beliau dilimpahkan ilham yang mencurah-curah untuk menulis qasidah memuji kekasih-Nya, Rasulullah SAW.
Pada zaman Mamluk, seorang penyair bernama al-Busiri atau nama penuhnya Abu Abdullah Sharaf al-Din Muhammad bin Sa’id al-Busiri al-Sanhaji (608 – 696 H) telah mengarang himpunan qasidah yang dikenali sebagi qasidah burdah. Qasidah ini memuatkan pujian terhadap Nabi Muhammad SAW. Awalnya, beliau menjadi terkenal kerana kehebatan dan kemahirannya menyusun rangkap-rangkap syair sehingga beliau kemudiannya ditugaskan untuk menulis syair memuji pemerintah.
Peralihan besar dalam kehidupan al-Busiri berlaku setelah beliau menjadi murid kepada Abu al-Abbas al-Mursi, seorang guru dalam Tarekat Syazuliyyah (atau disebut juga sebagai Shaziliyyah). Dikatakan bahawa satu lagi pemangkin utama pertumbuhan rohani al-Busiri adalah menerusi ibadah haji yang ditunaikannya pada tahun 653 Hijrah (1255 M).
Adapun tentang penulisan qasidah burdah, al-Busiri dikatakan menyusunnya ketika berada dalam keadaan benar-benar hancur dan memerlukan, dan merendahkan dirinya di hadapan Tuhan. Hal ini berlaku ketika beliau ditimpa musibah dan sengsara setelah mendapati dirinya berada dalam keadaan lumpuh.
Namun begitu, penderitaan yang dialaminya itu menjadi kunci pada pembukaan pengetahuan sehingga beliau dilimpahkan ilham yang mencurah-curah untuk menulis qasidah memuji kekasih-Nya, Rasulullah SAW.
Kisahnya, al-Busiri sebelum itu telah pun mengarang banyak syair memuji Rasulullah SAW, tetapi setelah diserang hemiplegia, yang menyebabkan separuh badannya lumpuh, beliau pun terfikir untuk menulis syair bagi melepaskan kerinduannya kepada baginda SAW, di samping memohon syafaat kepada Allah SWT agar Dia mengampuninya. Setiap kali beliau menulis, beliau membacanya berulang kali, menangis, berdoa dan memohon keampunan ke hadrat Allah SWT sehinggalah beliau bermimpi bertemu Rasulullah SAW dalam tidurnya ketika membaca rangkap kelapan karangannya.
Dalam mimpi tersebut, al-Busiri telah menerima penghormatan untuk membaca qasidah yang ditulisnya itu di hadapan baginda SAW. Rangkap kelapan itu berbunyi seperti berikut: “Ya! Pada waktu malam, penglihatan kekasihku menjadi nyata, menghalang diriku daripada tidur;/Kerana cinta sering mengganggu kegembiraan dengan kesakitan!”
Selepas itu, al-Busiri terus membaca syair dalam mimpinya, sehinggalah sampai pada rangkap ke-51. Pada baris yang pertama, beliau membacanya seperti berikut: “Yang paling kita kenal dia SAW ialah dia SAW adalah seorang lelaki …”
Selepas membaca baris rangkap tersebut, al-Busiri terhenti seketika sehinggalah baginda SAW sendiri menyelesaikan ayat tersebut dengan bersabda, “Dan (namun, tanpa pengecualian) dia SAW adalah sebaik-baik ciptaan Allah.”
Oleh sebab asal usul penyusunan qasidah ini yang unik, maka sebahagian ulama yang mensyarahkan kandungan qasidah ini berpendapat bahawa rangkap ke-51 ini mempunyai status yang sangat istimewa yang dibaca atau diulang sebanyak 3 kali kerana kepentingannya. Selain itu, ulama juga menganjurkan agar qasidah ini dibaca dalam keadaan yang penuh beradab, sesuai dengan kedudukannya yang memuliakan Rasulullah SAW. Sayyid Umar bin Ahmad Afendi Hanafi Kharputi dalam syarahnya terhadap qasidah ini menyatakan bahawa antara adab yang perlu dipelihara ketika membaca qasidah ini ialah:
Pertama, berada dalam keadaan berwuduk (bersuci). Kedua, membaca dalam keadaan menghadap kiblat. Ketiga, membaca dengan tajwid yakni dengan lafaz yang betul. Keempat, memahami maksud setiap ayat. Kelima, memperelok bacaan ketika melantunkan suara. Keenam, mengulangi baris yang berbunyi mawla ya salli wa sallim selepas setiap rangkap, atau sekurang-kurangnya selepas setiap 10 rangkap. Ketujuh, sebaik-baik bacaan adalah dengan menghafal keseluruhan syair. Kelapan, sebaik-baiknya mempunyai ‘ijazah (keizinan) untuk membaca keseluruhan syair daripada pihak yang mempunyai autoriti atau guru yang mempunyai sanad terus (rantaian) kepada pengarangnya iaitu, al-Busiri.
Penyusunan yang dilakukan oleh al-Busiri ini terzahir keberkatannya apabila qasidah ini dilantunkan dan dibacakan dalam pelbagai budaya di kebanyakan wilayah dan negara di seluruh dunia, antaranya termasuklah Maghribi, Syria, Turki, Somalia, Indonesia, Malaysia, Yaman, Senegal, Pakistan, Sri Lanka, Sudan, Arab Saudi, Kenya, Bangladesh, Chechnya, India, United Kingdom, Jepun, Sepanyol, Kanada, dan Amerika Syarikat.
Selain itu, isi kandungan qasidah ini juga telah dihuraikan dan disyarahkan oleh ramai alim ulama di seluruh dunia. Syarahan yang ditulis oleh Ahmad bin Muhammad bin Muhammad Syamsuddin bin Ali Nuruddin bin Hajar al-Haitami atau lebih dikenali sebagai Ibn Hajar al-Haitami (wafat 974 H) yang bertajuk Hasyiah al-Bajuri ‘Ala Matni al-Burdah, telah dijadikan sukatan mata pelajaran yang diajar oleh ulama-ulama Al-Azhar pada setiap hari Khamis dan Jumaat. Bahkan sehingga ke hari ini, kitab tersebut masih lagi dirujuk dan dijadikan salah satu mata pelajaran di Universiti Al-Azhar.
Pentingnya qasidah ini menurut Ibn Hajar al-Haitami sehingga karangan ini dijadikan mata pelajaran peringkat universiti adalah kerana isi kandungannya yang sangat berkesan kepada penuntut ilmu bagi memupuk perasaan kasih dan cinta dalam diri mereka terhadap baginda SAW.
Beli buku Maulud Jawi sebagai Tradisi Kesenian Melayu di sini.
_________________________
Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) ialah tenaga pengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor.