Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Dianggap sebagai sebuah adikarya puisi sirah Rasulullah SAW, puisi panjang Al-Amin nukilan Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said diraikan dalam program Baca Puisi Al-Amin bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1443 Hijrah di Madrasah Darussolihin, Jalan Kebun, Shah Alam pada 16 Disember yang lalu. Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Ustaz Zawawi Mugni mahu membawakan kelainan dalam kegiatan hujung minggu para pelajar Madrasah Darussolihin yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri beliau.
Hasrat Ustaz Zawawi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor itu mendapat sokongan Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Lantaran minatnya itu, Zawawi bukan sahaja hadir dan berucap, malah turut mendeklamasikan fragmen sajak dalam Al-Amin.
Dalam ucapannya, Zawawi berharap pembacaan puisi indah Sasterawan Negara itu boleh memberikan semangat kepada seluruh warga madrasah tersebut. Selain membawakan kelainan, beliau berharap kesan daripada Baca Puisi Al-Amin juga mampu menyatukan insan.
Ternyata Baca Puisi Al-Amin menarik perhatian warga Darussolihin apabila beberapa orang pelajarnya turut naik ke pentas mendeklamasikan sajak.
Antara ahli Paksi yang tidak ketinggalan beraksi termasuklah Presiden Paksi, Datuk Dinsman (Che’ Shamsuddin Othman); Setiausahanya, Hasni Abas serta Yassin Salleh; Ayudez Zuraina; Anbakri Haron; dan Shariffah Khadijah sebagai pengacara.
Sewaktu mengacara majlis, Shariffah turut mendeklamasikan sajak karya Gus Mus, “Aku Merindukanmu Oh Muhammad”.
Selepas memberikan ucapan, Dinsman turut mendeklamasikan fragmen Al-Amin, serta dua buah sajak, iaitu “Masih Bermimpi” dan “Menjadi Saksi” yang terdapat dalam antologi terbaharunya, Ketika Aku Berfikir-fikir Akan Kematian (Paksi, 2021).
Hasni dan Ayudez turut mendeklamasikan fragmen Al-Amin. Walau bagaimanapun, Ayudez menambah persembahannya dengan sajaknya sendiri berjudul “Nurmu Ya Rasulullah”.
Mohamed Nasser Mohamed yang juga Ketua Penerangan Paksi, mendeklamasikan sajaknya, “Tuhanku, Mampukah Aku Reda dengan Ujian-Mu” yang didedikasikannya untuk seluruh mangsa tembakan rambang 15 Mac 2019, Christchurch, New Zealand.
Yassin, pengarah filem veteran tanah air dan penyair mendeklamasikan sajak beliau, “Rindunya My Love”. Istimewanya, Yassin diiringi oleh anak perempuan beliau, Yasleh Rita Ayu yang kemudian menyanyikan sajak tersebut.
Anbakri, penulis bebas dari Kota Bharu mengubah nada persembahan Paksi dengan dendangan dua buah lagu puisi, Kupaksa Cintaku dan Ada Cinta. Penyair veteran Selangor, Ahmad Sarju yang kebetulan tinggal berhampiran dengan Darussolihin tidak melepaskan peluang untuk hadir, sekali gus mendeklamasikan sajak beliau meskipun kelihatan agak uzur.
Beberapa hari sebelum acara, Paksi sebagai penganjur bersama telah memuat naik poster di Facebook yang memaparkan nama dan wajah A. Samad Said atau Pak Samad – dengan saiz yang paling besar melebihi wajah tetamu yang lain. Pastinya ramai yang tertanya-tanya adakah Pak Samad akan muncul kembali di pentas bersemuka kerana beliau hanya berada di rumah sejak 18 Mac 2020, iaitu hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan. Pada usia 85–86 tahun, Pak Samad dinasihatkan oleh anak-anak beliau agar tidak ke mana-mana untuk mengelakkan bahaya ancaman COVID-19.
Justeru, Pak Samad hanya muncul menerusi maya sahaja dari rumah beliau di Bangsar. Sasterawan Negara keempat itu turut mendeklamasikan stanza terakhir Al-Amin. Walau bagaimanapun, semua yang hadir teruja dengan kehadiran maya beliau.
Selain Anbakri, kumpulan Kreatif Akustika yang semakin kerap menjayakan acara anjuran Paksi turut mendendangkan lagu-lagu puisi dan lagu lirik puitis. Antara lagu yang mereka sampaikan termasuklah Berita Buat Kawan, Perjalanan Hidup dan Apokalips, selain beberapa lagu selawat dan sanjungan Nabi Muhammad SAW.
Tertarik dengan persembahan Anbakri, kumpulan Kreatif Akustika turut menjemput beliau mendendangkan lagu popular kumpulan Kembara, Kepadamu Kekasih. Anbakri juga sebelum itu ikut mendampingi Kreatif Akustika dengan tiupan harmonikanya.
Dengan kejayaan acara berkenaan dan respons positif para pelajar Madrasah Darussolihin, kemungkinan Baca Puisi Al-Amin boleh merintis penganjuran acara yang serupa dapat diteruskan pada masa yang akan datang.
Beli Al-Amin: Riwayat Hidup Rasulullah SAW dalam Puisi.