27 September 2024, 08:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Benedict Anak Samling mencuit isu penulisan dan bimbingan penulisan di Sarawak.

Sebagai penulis baharu, sudah tentu kita memerlukan bimbingan yang berkualiti untuk menghasilkan karya yang berkualiti.

Entah mengapa, setiap kali membaca bimbingan di Wadah Bahasa dan Sastera (WBS), akan mengingatkan saya tentang kisah The Emperor’s New Clothes. Cerita nukilan penulis dari Denmark itu adalah antara cerita yang tidak digemari dan cuba dilupakan tetapi seakan-akan melekat dalam fikiran.

Saban minggu saya akan mengintai ruangan WBS dalam akhbar Utusan Sarawak, ruangan yang dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak yang bertujuan untuk membimbing penulis baharu negeri Sarawak. Untuk makluman pembaca budiman, siaran ruangan WBS dibahagikan kepada dua, iaitu siaran untuk penulis baharu dan pembimbing. Penulis baharu atau pemula dibahagikan kepada cerpen dan puisi. Begitu juga dengan pembimbing, pembimbing cerpen dan pembimbing puisi.

Para pembimbing itu pada pemerhatian saya ialah penulis mapan dan penulis yang mempunyai latar belakang kepengarangan yang kukuh selain mempunyai ilmu penulisan yang mendalam tentang sastera. Pembimbing cerpen ini termasuklah Lokman Hakim, Abang Median Abang Said dan Roslan Jomel. Pembimbing puisi pula termasuk Dilah Tuah, Rosani Hiplee dan Mohidin Haji Malek. Ya, setiap pembimbing berjaya menghasilkan bimbingan menurut acuan mereka. Syabas!

Namun begitu, lain bunga lainlah baunya. Ada bunga yang aromanya memikat jiwa, ada bunga yang cantik namun tidak berbau, malah ada yang tidak cantik dan tidak berbau. Saya rasa perkara itu tidak dapat dinafikan. Barangkali begitulah perumpamaan yang dapat dikaitkan dengan karya-karya yang diterbitkan dalam ruangan WBS. Hei, kita, penulis baharu, sudahkah kita menelaah kata-kata para pembimbing?

Kita sudah pun berkenalan dengan para pembimbing. Sekarang, kita berkenalan pula dengan definisi “bimbing”, “pembimbing” dan “dibimbing”. Menurut carian bestari dalam prpm.dbp.gov.my, “bimbing” membawa makna memimpin atau berpegang tangan. “Pembimbing” pula merujuk orang yang membimbing. Siapa yang dibimbing? Sudah tentu mereka yang memerlukan sokongan untuk menuju ke destinasi atau untuk mencapai suatu objektif. Dalam situasi ini, destinasi penulis baharu tentulah meja editor dan objektifnya agar menghasilkan karya yang bermutu.

Berbalik pada persoalan penulis baharu dalam ruangan WBS, berikut adalah antara luahan penulis-penulis baharu: “Ikutlah kata-kata pembimbing”, “saya suka pembimbing A kerana dia raja karya”, “pembimbing B ada gaya tersendiri”, “saya suka pembimbing C kerana bahan bacaan kami serupa”, “pembimbing D sentuh tentang gaya bahasa”, “pembimbing E tentang plot”, dan banyak lagi luahan yang dilontarkan. Itulah antara maklum balas para penulis baharu. Di satu sudut, hal ini menjadi satu tanda bahawa aktiviti bimbingan sedang berlangsung dan di satu sudut pula ada persoalan yang sedang tumbuh.

Penulis baharu WBS (termasuk saya sendiri), adakah kita ingin menjadi rakyat dalam cerita The Emperor’s New Clothes atau menjadi seorang kanak-kanak yang mempersoalkan mengapa maharaja berbogel di khalayak ramai? Inilah persoalan yang sedang tumbuh.

Sebagai penulis baharu, sudah tentu kita memerlukan bimbingan yang berkualiti untuk menghasilkan karya yang berkualiti. Ya, saya bebal tentang sastera – itu saya akui dengan sepenuh hati. Latar belakang pendidikan saya juga tidak langsung menyentuh tentang sastera walau hanya sekadar subtopik dalam pendidikan formal. Saya masuk ke alam sastera kerana percaya sastera ialah satu wadah yang boleh menyampaikan idea dalam bahasa yang mudah, bahasa yang boleh difahami oleh semua masyarakat merentasi peringkat usia dan latar pendidikan.

Disebabkan kebebalan saya ini, bimbingan amat diperlukan. Menemui WBS umpama terjumpa setompok cahaya di dalam lorong yang gelap. Namun begitu, saya tidak ingin mati dalam keadaan bebal berlipat, seperti keadaan rakyat dalam kisah The Emperor’s New Clothes. Maknanya, biarlah saya nampak tidak bijak apabila mempersoalkan inti pati bimbingan daripada berpura-pura tahu hal yang dibimbing – ini “kurang bijak” lipatan pertama. Dan, bebal yang seterusnya: mengikuti kata-kata pembimbing tanpa diteroka bahan-bahan bacaan yang lain. Bebal lipatan seterusnya (bebal yang maha dahsyat), iaitu menghasilkan karya yang memperbebal orang lain. Saya masih berpegang teguh bahawa “sastera ialah wadah untuk karya yang bijaksana dan untuk membijakkan masyarakat”. Untuk menghasilkan karya yang bijaksana, sudah tentu pembimbing yang bijaksana juga diperlukan untuk membentuk penulis pelapis yang bijaksana.

Kepada penulis baharu dan saya sendiri, marilah kembali pada fitrah sastera, menghasilkan karya yang menyampaikan idea, pemikiran, inspirasi, pengalaman, dan sebagainya. Lupakan sebentar untuk menghasilkan karya yang memeningkan masyarakat, yang telah pun pening membaca segelintir karya sastera Malaysia. Usah juga kita menjadi maharaja yang dibuai dengan sorak-sorai rakyat yang berpura-pura memuji pakaiannya yang cantik, walhal yang tertonjol hanyalah sekujur tubuh tanpa sehelai benang.

Kepada para pembimbing WBS, bimbinglah kami tanpa menghilangkan kepingan puzzle. Kami, penulis baharu mengikuti rapat setiap bimbingan kalian. Tantrum atau khutbah tetap kami cuba hadamkan, namun andai tantrum itu berterusan, hal ini umpama menelan daging yang liat, ditelan sembelit, diluah sayang. Di dalam perut menjadi penyakit, dimuntahkan mengundang lalat.

_________________________

Benedict Anak Samling berasal dari Sarawak. Berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Kimia dari Universiti Sains Malaysia. Karyanya pernah tersiar dalam Dewan Sastera, Tunas Cipta, Utusan Borneo, Dewan Kosmik, Dewan Budaya, dan SelangorKini. Memenangi beberapa sayembara penulisan kreatif termasuk cerpen STEM anjuran Unisel-DBP, cerpen kearifan tempatan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, cerpen kebudayaan anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak dan Majlis Seni Sarawak, serta cerpen legasi anjuran Pustaka Negeri Sarawak. Menerima Hadiah Sastera Tunas Sarawak kategori cerpen dan puisi pada tahun 2023.

Kredit Foto: Europena/Unsplash
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.