19 September 2024, 20:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pekan – Para penulis dari Pantai Timur, Selatan Thailand, Vietnam dan Kemboja bakal berkumpul bagi membincangkan tentang persoalan bahasa, sastera dan budaya dalam Dialog Pantai ke-6.

Dialog Pantai kali ini akan dimulakan dengan Syarahan Perdana Tan Sri Ismail Hussein yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN).

Seterusnya, sebanyak 19 orang ahli panel membentangkan kertas kerja mengikut tema, iaitu antaranya “Sastera Membina Semangat Serumpun”, “Kearifan Tempatan Membina Masa Depan”, “Cabaran Penulis dalam Era Digitalisasi”, “Seni Budaya dan Jaringan Serumpun: Strategi Masa Depan” dan Dialog Pantai Wadah Solidariti Kebudayaan Sewilayah”.

Majlis perasmiannya akan disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkipli mewakili Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Sebelum itu, Dialog Pantai kali ini yang bertemakan “Serumpun Sebudaya Wilayah Timur Laut” dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) bersama-sama Kerajaan Negeri Pahang, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan.

Seminar ini akan diadakan dari 20 hingga 22 September 2024 bertempat di Panggung Tun Razak, Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Sebagai rekod, Negeri Pahang dipilih buat kali kedua dalam menganjurkan Dialog ini selepas Kota Bharu, Kelantan pada tahun 2015.

Sebelum ini, Dialog Pantai bermula dengan penganjuran pertamanya pada tahun 1994 di Kota Bharu dan diikuti di Kuala Terengganu (1997), Kuantan (1999) dan Kota Bharu (2003).

Kemudian, kegiatan dialog ini tidak diadakan selama dua belas tahun dan selepas itu Kota Bharu sekali lagi menjadi tuan rumah untuk dialog kali kelima pada tahun 2015.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.