Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Persatuan Penulis Nasional (PENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Kota Buku, Gabungan Persatuan Penulis Nasional dan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menganjurkan program Malam Baca Puisi PENA: Platform Tidak Reda Kereta Api Selalu Sedia bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2024 di platform Stesen Kereta Api Kuala Lumpur.
Program yang julung-julung kali diadakan itu telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, YBhg. Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin.
Banyak penulis yang menghasilkan karya dengan bercerita mengenai perkhidmatan kereta api seperti Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Zurinah Hassan yang menghasilkan karya yang bertajuk ‘Stesen Kereta Api dari Pujangga Tak Bernama’.
Beliau juga memuji usaha penganjuran program ini yang dilihat sebagai ruang yang baik yang mempromosikan pengangkutan awam sebagai ruang interaksi dan ekspresi seni.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa KTMB bersetuju untuk mewujudkan sudut bacaan di beberapa buah stesen kereta api di Kelantan dan di Pahang dengan kerjasama DBP sebagai tanda sokongan bagi program Dekad Membaca Kebangsaan.
Beliau yang menyampaikan puisi bertajuk “Jangan Marahkan Kuala Lumpur” turut mengumumkan bahawa pihak KTMB akan menghadiahkan gerabak kereta api lama kepada PENA.
Petikan karya SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan, “Platform Tidak Reda Kereta Api Selalu Sedia” diangkat sebagai tema dalam program berkenaan yang dimeriahkan dengan kehadiran sasterawan negara, pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, kakitangan KTMB, para karyawan dan sasterawan.
Majlis ini turut diserikan dengan persembahan puisi yang disampaikan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari bertajuk “Mewarta Definisi”.
Tetamu turut disajikan dengan persembahan puisi oleh SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan, SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan SN Dato’ Rahman Shaari, Presiden PENA, YBrs. Dr. Saleeh Rahamad dan beberapa karyawan lain.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden PENA merangkap Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Encik Mohd Khair Ngadiron; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunus; dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Puan Norhasmanalinda Mustapa, warga kerja KTMB dan ahli PENA.