Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sarjana sastera terkemuka, Prof. Datuk Dr. Haji Hashim Awang meninggal dunia pagi ini.
Pemergian bekas sarjana kelahiran Terengganu itu dikongsikan oleh Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad di laman Facebooknya sebentar tadi.
Mohamad Saleeh dalam hantaran itu memaklumkan, Hashim bekas pensyarah dan kemudiannya Felo Penyelidik di Universiti Malaya meninggal dunia sekitar jam 4.30 pagi tadi.
Katanya, jenazah Almarhum dijangka dikebumikan selesai solat Jumaat hari ini. Hashim semasa hayatnya dikenali sebagai penyelidik sastera yang gigih dan merupakan lulusan Universiti Malaya dan Universiti of Hawaii.
Hashim dikenali sebagai pencipta teori, Pengkaedahan Melayu selain berperanan sebagai sarjana juga penyelidik sastera yang dihormati.
Antara karya beliau yang menjadi rujukan dalam dunia akademik tempatan termasuklah Cerpen-cerpen Melayu Sebelum Perang Dunia Kedua: Satu Analisa tentang Tema dan Struktur (DBP, 1975), Kesusasteraan Melayu dalam Kritikan dan Sejarah (Fajar Bakti, 1984), Teman Pelajar Kesusasteraan (Fajar Bakti, 1984), Glosari Mini Kesusasteraan (Fajar Bakti, 1986), Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan (DBP, 1988), Novel Hikayat: Struktur Penceritaan Melayu (Fajar Bakti, 1989), Penciptaan dan Kemanusiaan dalam Cerpen dan Novel (Fajar Bakti, 1998), Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan (DBP, 2003), dan Kritikan Sastera dalam Teori, Aplikasi dan Tradisi (PTS, 2015).