Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempelawa institusi, badan yang sah dan berdaftar serta individu yang berwibawa dalam ranah sastera untuk mengemukakan nama calon yang layak untuk Anugerah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) 2024.
Demikian ucapan Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP dalam Majlis Sua Puri Kencana di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara DBP pada tengah hari tadi.
Dalam ucapannya, beliau menjelaskan anugerah ini merupakan satu bentuk penghargaan, penghormatan dan pengiktirafan kepada tokoh sastera yang bergiat aktif.
“Sumbangan para tokoh dalam perkembangan kesusasteraan di peringkat Asia Tenggra haruslah diberikan penghargaan.”
“Oleh itu, anugerah ini merupakan salah satu program utama dalam pertemuan MASTERA kelak.”
Terdahulu, pada tahun 2018, anugerah ini telah diberikan kepada Sasterawan Negara (SN) Kemala (Malaysia), Goenawan Mohamad (Indonesia), Isa Kamari (Singapura) dan Adi Rumi dari Brunei.
Pada tahun ini, pencalonan hendaklah dikemukakan berdasarkan format dalam borang pencalonan yang disediakan oleh Sekretariat MASTERA Malaysia.
Borang dan syarat pencalonan boleh dirujuk dalam media sosial DBP dan penyertaan dialamatkan kepada Sekretariat Tetap, Sekretariat Mastera Malaysia, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Aras 25, Menara DBP.
Tarikh tutup penyertaan Anugerah Sastera MASTERA 2024 adalah pada 9 Ogos 2024 (Jumaat).