Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMuhammad Lutfi Ishak memberikan penjelasan mengapa makna puisi amat penting untuk diketahui.
Dengan penjelasan tentang makna puisi, sedikit sebanyak masyarakat mendapat kefahaman yang lebih tepat. Daripada kefahaman tersebut, mereka dapat melihat ke dalam diri sendiri, membetulkan pandangan yang salah, seterusnya tidak lagi menjadi sebahagian daripada arus mentaliti negatif sastera yang menjadi kendala utama dalam perkembangan puisi tanah air.
Seperti biasa, ada kelompok yang mengalu-alukan dan menolak perbincangan tentang puisi apabila heboh dalam media. Mereka yang mengalu-alukan perbincangan melihat kepentingan pemahaman yang benar dan pengaruhnya terhadap kerja-kerja menulis dan menilai puisi.
Sementara itu, golongan yang bertentangan tidaklah menolak sepenuhnya. Memang, mereka berpandangan bahawa perbincangan tersebut tidak memberikan sebarang manfaat yang praktikal. Namun begitu, ketika perbincangan tersebut dinyatakan dengan kedalaman tertentu, jelas pendapatnya dan teratur mantiknya, mereka turut terlibat dalam wacana dengan memberikan beberapa masukan yang juga bermakna.
Oleh sebab itu, perbincangan tentang faham puisi perlu diteruskan. Sesuatu yang disertai dengan kejelasan dan pencerahan, pasti memberikan kebaikan. Dalam erti kata lain, semua orang dialu-alukan tetapi seboleh mungkin, faham yang hendak diutarakan tersebut, harus berdiri atas asas-asas pemikiran yang benar dan turut mengambil kira warisan sastera yang menjadi konteks perbincangan.
Apa-apa pun, secara peribadi, dalam banyak karangan saya, sama ada dalam esei atau sajak, faham “puisi” selalu menjadi inti. Kecenderungan ini terbentuk akibat pelbagai tujuan. Untuk Sekilas kali ini, empat daripadanya akan dinyatakan.
Hal yang pertama adalah untuk memupuk kesedaran puisi yang betul. Puisi ialah suatu hasil kebudayaan yang penting. Penulisan puisi sekarang diletakkan sebagai penulisan “kreatif” yang berhubung kait dengan penyataan perasaan dan fikiran yang awam. Akibatnya, timbul beberapa sikap semberono.
Misalnya, di satu pihak, ada yang mengambil sikap menulis puisi hanyalah sekadar eskapisme. Di satu pihak yang lain, ada yang mengabaikan langsung kedudukan dan peranan puisi dalam membangunkan kemuliaan insan. Di situlah timbulnya kepentingan untuk kita berbincang tentang puisi dengan cuba mengikuti jalan ilmu pengetahuan agar kelak satu kesedaran puisi yang betul timbul dalam fikiran semua yang terlibat.
Hal ini kemudiannya berkait rapat dengan sebab kedua, iaitu cabaran sebenar dunia sastera. Secara peribadi, saya melihat sastera di Malaysia berhadapan dengan dua bentuk cabaran, iaitu (1) cabaran dalaman dan (2) cabaran luaran. Cabaran dalaman ialah mentaliti negatif terhadap sastera. Mentaliti negatif sastera ini ialah satu tanggapan buruk akibat kekeliruan dalam menanggapi karya sastera berbahasa Melayu.
Dengan penjelasan tentang makna puisi, sedikit sebanyak masyarakat mendapat kefahaman yang lebih tepat. Daripada kefahaman tersebut, mereka dapat melihat ke dalam diri sendiri, membetulkan pandangan yang salah, seterusnya tidak lagi menjadi sebahagian daripada arus mentaliti negatif sastera yang menjadi kendala utama dalam perkembangan puisi tanah air. Sebab itulah, sastera, termasuk puisi, perlu dilihat dalam kerangka ketamadunan. Dalam erti kata yang lain, yang ditekankan bukan sahaja dari aspek pertukangan bahasanya, namun, perutusannya.
Hal yang ketiga, dengan mendalami faham puisi, kita akan terdedah dengan pelbagai pengaruh ideologi dan wacana kekuasaan tertentu yang menjadi penyebab pembentukan naratif dan pembabakan sejarah puisi semasa.
Hari ini kita menerima begitu sahaja pembabakan sejarah dan penjenisan puisi kepada dua, iaitu puisi tradisional dan puisi moden (sajak). Namun begitu, jika pembabakan dan penjenisan tersebut disertai dengan sikap hormat-kritis, banyak persoalan yang sebelum ini ditenggelamkan, dapat dinyatakan kembali. Hal ini jika ditangani dengan adil dan beradab, maka, kita akan dapat mengembalikan daya sebenar puisi dalam masyarakat, seperti yang pernah berlaku pada abad ke-16 dahulu.
Sebab yang keempat pula berkaitan dengan salah satu cabaran getir terkini yang bibit-bibitnya sedang didepani oleh kita semua. Hal yang dimaksudkan ialah kepintaran buatan. Kemajuan pesat tersebut perlu ditangani dengan penuh hikmah. Kegagalan mendepaninya akan memberikan kesan buruk kepada kebudayaan.
Dalam konteks puisi, mustahil kita dapat berhadapan dengan semua itu jika kefahaman kita masih dangkal dan mempunyai suatu sikap semberono untuk menyangkut pekerjaan mengembangkan puisi. Namun begitu, sebab yang keempat ini menuntut satu perbincangan yang lebih halus, justeru, hal itu akan dijelaskan pada ruang yang lain.
Wallahualam.
Kredit Foto: Clay Banks/Unsplash
_________________________
Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.