16 Julai 2024, 10:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Puzi Hadi dan Marzuki Ali telah dipilih sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2024.

Anugerah tersebut diumum ketika meraikan sambutan Hari Puisi Kebangsaan 2024 yang dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, baru-baru ini.

Puzi Hadi atau nama sebenarnya, Mohamad Puzi A. Hadi, anak kelahiran Kulim, Kedah mengikuti Pengajian Pendidikan Luar Kampus di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kesusasteraan) pada tahun 1988.

Puisi pertama Puzi berjudul “Padang Kota Lama” tersiar dalam Dewan Sastera (1972), seterusnya beliau terus mengorak langkah hingga menghasilkan lapan buah kumpulan puisi, iaitu Bujang (Mei, 1975), Bak Ombak (Teks Publishing, 1988), Lokomotif (DBP, 1991), Dot Dot Dot (E-Sastera, 2012), Sudoku Puisi (ITBM, 2016), Puisi Siber dari Henfon ke Laman Sesawang dan Facebook (E-Sastera, 2016), Membaca Nasib (Swadaya, 2022), dan Takkan Palestin Hilang di Dunia (2023).

Sajaknya yang berjudul “Shauqiyah Hanim”  telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia (Puisi) Tahun 1984/1985 dan pada tahun 2013, beliau menerima pentauliahan Munsyi Dewan (Sastera) daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Puzi Hadi juga pernah menerima anugerah Sasterawan Alam Siber (SAS) daripada E-Sastera (2015), Tokoh Seni Budaya Negeri Kedah (2016) daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Kedah.

Dalam kegiatan persatuan, Puzi menganggotai PINGGIRAN, PENA, ASASI Kedah (Ketua Dua-2015/2019, dan Ketua-2019/2020), Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA- Presiden sejak tahun 2022 sehingga kini), dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (Jawatankuasa bagi penggal 2023/2025, dan sebagai Pengarang Kehormat).

Beliau juga pernah menjadi johan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kemerdekaan pertama bagi Peringkat Negeri Kedah, dan Peringkat Kebangsaan pertama, anjuran GAPENA pada tahun 1987.

Marzuki Ali pula dilahirkan di Kampung Kuala Kemaman, Terengganu pada tahun 1945 dan menyambung pelajaran ke Perguruan Tinggi di Institut Kesenian Jakarta Indonesia dalam bidang teater.

Pernah bertugas di Jabatan Kastam dan Eksais Di Raja Kuala Terengganu, dan dipinjamkan di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah di Kota Kinabalu, Sabah selama empat tahun.

Beliau menyertai beberapa buah badan sukarela seperti Badan Bahasa Sabah, Kota Kinabalu; Badan Drama Sabah, Kota Kinabalu, serta mendirikan Kumpulan Anak Seni Kota Kinabalu, Grup Teater Asyik Kota Kinabalu, dan Grup Teater Asyik Terengganu.

Sewaktu di Jakarta, beliau menubuhkan Grup Teater Halaman, Jakarta. Selain menulis sajak, esei seni budaya, skrip drama dan kritikan seni yang termuat dalam Berita Minggu, Utusan Zaman, Dewan Sastera, Dewan Budaya, serta Aktual di Jakarta.

Marzuki juga berlakon, mengarah dan menata artistik pentas dalam banyak pementasan dalam dan di luar negara.

Sepanjang pelibatan dalam bidang sastera, Marzuki telah menghasilkan kumpulan puisi Mantera, Puisi Duyung Puisi Rakyat, Sape Lamanta, Isyarat Puisi, Dongeng Patalawati, Rahang Lahar, Ketika Cendana Tidak Lagi Berbau Harum, Asyik Kemuning, Semerbak Ambar Wangian Kasturi, Sama’ Maulana, Budak Kuala, Unduk-Unduk Si Kuda Laut, Keroncong Pulau Kelapa, dan Beta Belayar ke Ambon Manise.

Pengalamannya yang berharga tersebut, beliau kongsikan kepada pelajar, peminat dan penggiat drama dalam kegiatan bengkel drama dan penulisan.

Beliau juga selalu dipilih menjadi juri dalampelbagai sayembara teater, deklamasi puisi peringkat negeri, dan kebangsaan, selain mengajar di UiTM, ASWARA, USM, Aseni Terengganu, dan menjadi Ahli Cipta di USM.

Sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2024, Puzi dan Marzuki masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000 setiap seorang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.