30 Jun 2024, 18:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Kayu dikenal kerana daunnya, Melayu dikenal kerana pantunnya.”

Demikian dua baris ungkapan pantun yang dikongsikan oleh Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan dalam Wacana Pustaka Insan: Pantun dan Pantoun, The Malay Pantun and its French Adventure, yang diadakan di Taman Tugu, Kuala Lumpur pada pagi tadi.

Menurut beliau, ungkapan tersebut jelas menggambarkan hubungan erat yang tidak mungkin dapat dipisahkan antara orang Melayu dengan pantun.

Selain itu, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan ketika membicarakan kertas kerjanya yang bertajuk “Alam Pantun Melayu” mendefinisikan pantun sebagai karangan berangkap yang betul-betul hak kepunyaan orang Melayu.

Mengulas tentang keistimewaan pantun pula, beliau menjelaskan,

Pantun merupakan satu-satunya puisi di dunia ini yang boleh digunakan untuk mengkritik, memuji, menasihat, menyindir atau meluahkan perasaan.

Beliau juga mencadangkan agar ada usaha untuk mempromosikan pantun di sekitar Taman Tugu yang menjadi pusat riadah bagi masyarakat pelbagai bangsa.

Usaha tersebut jelas beliau adalah menerusi penciptaan pantun tentang pohon-pohon yang ada di sekitar Taman Tugu.

Menurut beliau, pantun-pantun tersebut juga haruslah diterjemahkan kepada pelbagai bahasa seperti bahasa Inggeris dan Perancis agar dapat dibaca oleh khalayak daripada pelbagai bangsa.

Selaras dengan cadangan yang dilontarkannya, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan menutup bicaranya dengan melafazkan pantun ciptaannya.

Cengal kampung tegak berdiri,
_____Keruing dan merbau jadi jirannya;
Hidup tak pentingkan diri sendiri,
_____Agar ramailah sahabat handainya.

Wacana Pustaka Insan: Pantun dan Pantoun, The Malay Pantun and Its French Adventure dianjurkan oleh Taman Tugu Malaysia, yang turut menampilkan enam orang pembicara  lain seperti Dr. Mohamad Shaidan, Georges Voisset, Renuka Devi Naidu, Shamina Dubois, Jérôme Bouchaud dan Serge Jardin.

Wacana yang dimudahcarakan oleh Encik Johan Abdul Razak ini memfokuskan perkaitan antara seni Pantun Melayu dengan seni Pantoun Perancis.

Dari kiri: Serge Jardin, Dr. Mohamad Shaidan, Georges Voisset, Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan, Renuka Devi Naidu, Shamina Dubois dan Jérôme Bouchaud.

Selain itu, wacana ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu istimewa, iaitu mantan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan Sasterawan Negara, YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Mantan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz turut menghadiri wacana ini pada pagi tadi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.