29 Mei 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sempena mengingati ulang tahun pemergian Seniman Agung Tan Sri Datuk Amar P. Ramlee pada 29 Mei, Raihani Mohd. Saaid menerima warkahnya dari zaman era filem hitam putih lampau yang bertutur tentang era filem dan seni terkini, dan masa depan.

Aku mengimpikan sebuah panggung teater agung dan terbentuknya sebuah akademi yang mengasuh bakat-bakat artis. Semua ini akan terzahir pada zamanmu.

Aku baru sampai dari Johor Bahru, Rai. Diminta diam dahulu di sana sehingga rusuhan Natrah reda. Tetapi Wak Jasni dan Ajis ditahan dalam lokap selama 6 bulan 8 hari. Kadar ada membuat pementasan dan wang kutipan dari pementasan itu mereka hantar kepada Natrah untuk kesnya. Kau ada baca Melayu Raya Press? Kadar menulis dengan nama pena Burung Hantu, jika ada tulisannya yang agak kontroversi tentang dunia perfileman. Aku perhatikan, Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan Dr. Burhanuddin al-Helmy lebih kuat dalam menggerakkan orang Melayu untuk berdepan dengan pentadbir Inggeris dan Belanda, berbanding dengan Datuk Onn.

Oh, ya. Sebelum pecah rusuhan itu, aku menerima royalti pertama sebanyak 3 ribu ringgit dari Syarikat T. Hemsley. Kau pernah dengar lagu Azizah, bukan? Itulah lagu yang membawa tuah padaku bermula dari Pesta Pertanian Ria di Bukit Mertajam pada tahun 1948 dan akan kembali popular di zamanmu selepas hujung tahun 2022. Kata orang yang menyelidik riwayat hidupku, lebih dari seorang wanita yang mengaku dirinyalah Azizah yang kuabadikan dalam lagu itu.

Sudahkah kau baca tulisan Enche Lah dalam Majalah Filem bilangan 21 yang memberi semangat untuk filem pertamaku? Kata Enche Lah; “Ketika terbetik berita bahawa P. Ramlee akan mengarahkan sebuah filem sebagai ujian untuk kebolehan bangsa Melayu, saya melihat keadaan itu bukan sahaja dari sudut kepentingan perseorangan, atau kebolehan seorang pelakon yang selama ini hanya menerima perintah sahaja, tetapi juga sebagai satu ujian besar yang harus diambil perhatian yang serius. Kekurangan dan kesalahan yang terdapat dalam filem Penarik Beca ini akan kelak menjadi petunjuk baginya untuk mengarah filem yang lain.”

Sudahkah kaubaca pula pandanganku dalam Berita Harian bertarikh 16 Januari 1959? Kecekapan pengarah Melayu dengan pengarah-pengarah bangsa asing sama sahaja. Lebih ramai pengarah bangsaku muncul, lebih baik. Mereka lebih memahami resah dan gelora masyarakat kita. Adakah kau membaca Berita Harian bertarikh 19 Disember 1958? Aku pernah bercita-cita membuat filem sejarah yang tebal semangat kebangsaannya, bertajuk Robohnya Kota Melaka. Filem itu memerlukan penyelidikan dan tentu sekali wang yang besar. Aku mengimpikan untuk mengarah filem epik berskala besar seperti Mother India dan Aan, kedua-duanya arahan Mehboob Khan. Tetapi, sudahkah masyarakat kita bersedia dengan filem seperti itu? Bagaimana pula dengan penerimaan pihak studio? Sanggupkah mereka mengeluarkan filem-filem seperti itu?

Tetapi keadaan akan berubah sedikit demi sedikit menjelang zamanmu. Dalam Berita Harian 7 Disember 1968, aku memberi jaminan bahawa filem-filem Melayu akan menemui perubahan. Daya cipta akan disesuaikan dengan perkembangan industri filem. Pada zamanmu, ada filem yang akan mencapai angka kutipan puluhan juta yang tak pernah termimpi pada zamanku. Akan ada filem yang membawa paradigma baru dan membentuk kelompok penonton yang tersendiri. Kau sudah baca temu bual Berita Harian bertarikh 16 Jun 1974 dengan Sally? Aku mengimpikan sebuah panggung teater agung dan terbentuknya sebuah akademi yang mengasuh bakat-bakat artis. Semua ini akan terzahir pada zamanmu. Lebih ramai orang kita akan menjadi golongan terpelajar dan suka mengkaji filem, seperti dirimu. Filem akan menjadi wacana ilmu di peringkat lebih tinggi. Teknologi juga akan bertambah maju.

Tetapi kau jangan lupakan tentang sikap manusia, khususnya pemegang kuasa. Hasad dengki dan birokrasi akan ada pada setiap zaman. Haruslah kau akur dan haruslah kau bijak membalas dengan kekuatan karya senimu. Filem-filem ditegur atau dilarang? Itu lumrah. Telah kunyatakan dalam Berita Harian bertarikh 3 April 1965 apabila segmen Minta Nombor Ekor ditegah. “Kalau sa-suatu keputusan di-ambil berdasarkan pengajaran2 ugama, apa yang nak saya katakan lagi.’’ Apabila ditegur, kita akur sahaja, meminta maaf dan berjanji akan lebih berhati-hati untuk filem akan datang. Tetapi yang sebenarnya, aku mahu menegur bangsaku dengan watak seperti Raden. Menghabiskan wang dan akal sihat dengan menghafal nombor ekor, dan kemudian segmen itu berakhir dengan adegan Pak Leman melabur di perigi buta, apa maknanya itu? Sama seperti batu hikmat dalam Seniman Bujang Lapok, yang akhirnya Sudin buang ke longkang. Kau tafsirlah sendiri.

Kemudian, pandanganku diminta lagi dalam Berita Harian bertarikh 19 Julai 1970, berhubung kenyataan Imam Besar Masjid Negara bahawa babak berahi dalam filem Melayu membawa umat Islam ke jurang kehancuran. Aku mengucapkan terima kasih kerana pandangan itu betul. Aku menyokong sepenuhnya jika kerajaan hendak mengharamkan filem-filem Melayu yang mempunyai adegan ghairah, namun filem-filem dari luar negara yang punyai adegan serupa juga tidak boleh dibawa masuk. Baru adil, bukan? Jangan kau meleret-leret membantah. Tetapi patahkan hujah mereka dengan saranan yang membina.

Selepas aku tiada nanti, piring hitam dan semua bahan bercetak yang memuatkan kisahku akan habis terjual. Pemergianku nanti akan ditangisi jutaan peminat dan dunia filem Melayu akan suram sehingga muncul pengarah-pengarah gelombang baru yang akan menghempas tembok pemikiran yang usang.

Jika bangsamu tidak boleh dijentik dengan berterus terang dan keras, maka kau gunakanlah satira. Banyak yang ingin kutegur pada bangsaku dalam mengisi pembangunan negara selepas merdeka. Aku ingin bangsaku pandai membaca dan tidak takut sekolah. Kau ingat adegan Pemukul Canang dalam Musang Berjanggut? Wataknya ditegur oleh Bentara lakonan HM Busra, kerana dia buta huruf maka pangkatnya tidak naik. Hendak jadi film star juga perlu berpendidikan. Oleh sebab itu, Manager Kemat Hassan menemu duga tiga bujang lapok yang datang uji bakat dan bertanyakan tahap persekolahan mereka. Aku ingin lebih ramai wanita berdaya maju dan memecahkan stereotaip dalam masyarakat agar mereka juga bahagia, seperti Siti yang meminta cerai dari Abu kerana ingin mengubah sosioekonominya. Ataupun seperti Norkiah yang berhijrah ke Kuala Lumpur dari Kedah, tetapi menyembunyikan kerjaya sebenarnya dari pemandu teksi, kerana dia masih akur akan stigma negatif masyarakat. Aku mahu mencuit “orang atas”, tetapi aku juga sedar tentang kedudukanku sebagai anak emas studio. Cuba kau cari filemku yang mana satu ada menyebut perkataan feudal dan distortionist.

Hey, aku bukan ahlil nujum daa! Mereka mengatakan aku pandai meramal apa yang akan berlaku di masa hadapan. Mereka mengatakan aku boleh menilik apa yang akan terjadi dalam masyarakat, baik dari segi ekonomi mahupun politik. Sebenarnya banyak keadaan yang tidak berubah sejak dari zamanku sehingga ke zamanmu. Apa yang terjadi di zamanmu hanyalah satu kitaran yang berulang dari dahulu. Yang menyeleweng, yang pecah amanah, yang gila kuasa, yang buta perut, yang menunggang agama, semuanya masih ada. Aku orang seni dan orang seni mesti menjadi pengamat yang baik. Daripada pengamatan itulah, aku dapat meramalkan apa yang bakal berlaku di sekelilingku.

Ya, namaku akan disebut-sebut dan disanjung-sanjung. Jika aku masih ada, namaku mungkin dilupakan, seperti yang pernah disebut oleh kakak iparku, Yam (kalian memanggilnya Seniwati Mariani). Barangkali aku akan bergantung kepada ihsan persatuan artis veteran untuk bertahan hidup. Jadi kalian boleh mengambil iktibar dari hal ini untuk lebih efisien dalam hal kebajikan, pengurusan kewangan dan soal harta intelek orang seni. Namaku akan bergema dalam forum dan seminar. Ramai yang akan mencari penggantiku atau cuba meniru gaya nyanyianku. Barangkali era pengkaryaanku boleh dijenamakan sebagaimana era Yunani, Renaisans atau era Romantisisme. Semua filem yang terbit sebelum era studio berakhir akan disebut sebagai “filem zaman P. Ramlee”. Semua pelakon yang berlakon sebelum studio ditutup akan disebut sebagai “pelakon zaman P. Ramlee”, sedangkan mereka juga berlakon dengan puluhan pengarah lain.

Pada zamanmu, banyak filem yang akan membuat orang-orangmu saling berbalah dan berbantah. Ada pihak yang mencetuskan perbahasan terhadap filem tertentu dan kalian akan saling berpecah pendapat. Maka tidak keterlaluan jika ada yang mengatakan bahawa filemku masih menjadi penyatu masyarakat nombor satu. Namun, jika ada di kemudian hari yang ingin mencabar idea-idea dalam karyaku, silakan sahaja, dengan hemah dan ilmu.

Aku akan “hidup” sesudah aku mati.

______________________________

Raihani Mohd. Saaid yang menulis puisi, cerpen dan novel sejak tahun 1994, juga sedang mengkaji filem-filem P. Ramlee untuk tesis PhD beliau di Universiti Malaya. Tulisannya tentang P. Ramlee terhimpun dalam buku Suara Nusa dalam Filem-filem Seniman Agung terbitan The Biblio Press (2022).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.