24 Mei 2024, 10:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Brunei Darussalam – Kesemua wakil anggota Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) sebulat suara dalam penubuhan Organisasi Alumni Program Penulisan Mastera (Opera).

Begitulah keputusan Musyawarah Mastera di Negara Brunei Darussalam baru-baru ini sebagai tuan rumah Mastera.

Dalam perbincangan tersebut, para alumni daripada kalangan penulis anggota Mastera (Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, dan Singapura) yang mengikuti program penulisan Mastera akan bergabung dan membentuk struktur organisasi Opera.

Opera akan melaksanakan aktiviti yang dibantu oleh Mastera dari setiap negara.

Pakar bidang Mastera dilantik sebagai penasihat agar aktiviti yang dilaksanakan terarah dan mencapai matlamat.

Musyawarah Mastera atau Mesyuarat Sekretariat Mastera merupakan mesyuarat pentadbiran Mastera untuk menyelaraskan kerjasama serantau bagi pembinaan dan pengembangan persuratan Melayu antara negara anggota Mastera.

Mesyuarat yang berlangsung pada 20 hingga 21 Mei 2024 bertempat di J Hotel, Kiulap, Brunei Darussalam, dihadiri oleh empat negara anggota Mastera, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, dan Singapura.

Secara khususnya, mesyuarat ini meneliti dan menyelaraskan kegiatan Mastera yang telah disepakati dalam Sidang ke-27 Mastera, merancang aktiviti Mastera bagi tahun 2024 dan tahun 2025, serta membincangkan perkembangan dan pelaksanaan program Mastera.

Kata sepakat yang dicapai bersama antara negara anggota akan diusulkan dalam Sidang ke-28 untuk diluluskan.

Mesyuarat ini juga menyaksikan Majlis Penandatanganan Dokumen Perjanjian Bersama sebagai bukti keputusan yang dibuat telah dipersetujui oleh semua negara anggota.

Dokumen ini ditandatangani oleh Ketua Perwakilan setiap negara.

Yang Mulia Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam selaku Pengerusi Mastera Brunei Darussalam merasmikan pembukaan mesyuarat.

Perasmian pembukaan mesyuarat disempurnakan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Haireni Haji Awang Damit, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam selaku Pengerusi Mastera Brunei Darussalam.

Dalam ucapannya, beliau mengharapkan agar perwakilan negara anggota dapat sama-sama sepakat dan berganding bahu melaksanakan aktiviti Mastera.

Beliau juga mengharapkan agar Mastera terus lestari mengembangkan aktiviti persidangan, penerbitan, penelitian, dan penterjemahan dalam kalangan negara anggota.

Perwakilan Mastera Malaysia diwakili oleh Puan Roziah Md Yunus, Setiausaha Mastera Malaysia merangkap Ketua Perwakilan, YBrs. Dr. Mohd Hanafi Ibrahim, pakar bidang Mastera Malaysia dan Puan Musazliza Mustan Shir, Sekretariat Mastera Malaysia.

Kredit Foto: DBP Brunei Darussalam

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.