Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangI.
Estetika ada pada flora dan fauna
bunga dan tumbuhan punya kecantikan
begitu juga wujud indahnya pada haiwan
pada lautan dan daratan tersimpan kata-kata.
Mengamati bukan sekadar memerhati
menikmati bukan sekadar merasai.
Nikmatilah indahnya mentari di waktu pagi
embun berserak menetes dari daun-daun
rumput dan lalang kembali yang berjuang
bunga-bunga merecup dan kembang.
II.
Estetika ada pada asam dan garam
asam menjadi perisa, garam membuka selera
turut tersimpan khasiat halia dan juga jadam
memulih tubuh dan anggota kembali berjalan.
Menyentuh bukan sekadar membelai
mengecap bukan sekadar menilai.
Nikmatilah indahnya mentari terbenam
mega berkumpul membentuk pancawarna
haiwan dan burung-burung pulang ke sarang
nelayan mengikat sampan di penambang.
III.
Kata orang bijaksana, “karya berestetik
sarat nasihat dan pedoman didaktik”
keindahan terkandung falsafah kehidupan
terpapar karya penuh keindahan.
Menganyam bukan sekadar menyulam
mengukir bukan sekadar melanggam.
Selami keindahan segara peribahasa
rasai seni santun dalam pantun seloka
jadi santapan jiwa minda bermasyarakat
menjadi bekalan berkat dunia dan akhirat.
Kredit Gambar: Firus Fansuri