Oleh Rasoul Manan
14 Mei 2024, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
‘Azimin Daud

Kuala Lumpur – Buku Pantun dan Teka-teki: Fikir dan Tafsir nukilan karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ‘Azimin Daud telah dipilih dalam senarai 200 judul ke Pesta Buku Antarabangsa Beijing 2024 (BIBF).

Buku beliau telah dipilih oleh Perbadanan Kota Buku menerusi projek Perolehan Perpustakaan Projek Khas China 2024.

Dalam Facebook rasmi Perbadanan Kota Buku telah mengumumkan bahawa buku yang terpilih akan dipamerkan di ruangan Perolehan Perpustakaan sewaktu berlangsungnya BIBF, kelak.

Buku tersebut merupakan terbitan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan memuatkan himpunan pantun teka-teki serta tafsiran keindahannya.

Ketika ditanya oleh wartawan JendelaDBP, beliau menzahirkan perasaan amat bersyukur dan gembira atas pemilihan bukunya.

“Perjalanan menyiapkan buku ini amatlah sukar, lantaran apabila dipilih tentu saya amat gembira dan terharu.

“Pemilihan karya ini juga menjadi tonik dan merangsang semangat saya untuk menyiapkan lagi beberapa naskhah yang akan datang, dan seterusnya memastikan pantun terus diangkat di dalam dan luar negara,” jelas beliau.

Sebelum itu, ‘Azimin Daud pernah menghasilkan kumpulan pantun Berbalas Pantun Mandala Sukma (DBP, 2018), Rahsia Pengacara Hebat: Tip dan Skrip Pengacaraan terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM, 2014) dan Pantun Berkait: Peri Loka Tanah Melaka (DBP, 2018).

Beliau juga menghasilkan sebuah buku kanak-kanak, iaitu Asal Usul Batu Badak dan Batu Kerbau, sebuah buku bergambar untuk kanak-kanak.

Buku tersebut telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Persuratan Selatan 2023 bagi kategori Buku Kanak-kanak Bergambar Terbaik 2022/2023 di Johor.

Pada tahun 2020, beliau telah mewakili Malaysia bersama-sama 1,000 orang penulis peringkat Nusantara dalam program Gerakan 10,000 Guru ASEAN Menulis Pantun anjuran Perkumpulan Rumah Seni Asnur, Jakarta, Indonesia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.