Oleh Salman Sulaiman
21 September 2023, 16:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman cuba menyirat makna-makna dan kekaburan sajak-sajak Rudi Mahmood, seorang penyair sepi.

Ada keheningan yang amat jauh dalam karya-karya Rudi. Memasuki sepi sajaknya, kita akan tersesat di dalamnya tanpa sempat untuk berpatah balik semula. Terlalu banyak rahsia yang diungkapkan. Diungkap, tetapi tidak terungkap. Begitu juga dengan jungkir balik frasa dan diksi yang disorok sembunyi.

Rudi Mahmood, penyair yang mula dikenali sejak era 1970-an ini masih aktif berkarya dan terbaharu muncul dengan buku sajak pertama beliau berjudul Bara Hujan terbitan Kata-Pilar. Kita melihat lumrah dalam sastera Malaysia bahawa apabila seseorang penyair itu tidak memiliki buku persendirian, maka dia seperti tidak begitu diperhatikan.

Kumpulan puisi sulung Rudi Mahmood, Bara Hujan.

Tiada siapa yang membicarakan sajak-sajaknya dan namanya kurang menonjol. Ingatan para peminat sastera seperti agak kurang kepadanya berbanding dengan penyair yang memiliki buku sendiri. Jarang kita temui mana-mana sarjana atau pengkritik yang mengutip sajak-sajak eceran penyair yang tidak mempunyai buku ini untuk diperkatakan dalam satu esei khusus. Biasanya, karya-karya itu akan kekal bertaburan dalam pelbagai media hinggalah lama-kelamaan dilupakan.

Nasib Rudi mungkin sedikit berbeza kerana beberapa sajaknya berjaya memenangi hadiah sastera dan namanya tentu sahaja akan kembali disebut apabila tiba masa nama pemenang diumumkan dan dihebahkan dalam media seperti majalah dan surat khabar. Namun, mempunyai buku sendiri tetap dilihat sebagai suatu tanda aras yang tinggi dan memberi kredit yang besar kepada mana-mana penyair pun dalam arena kesusasteraan kita. Selalunya apabila memiliki buku sendiri, akan adalah orang yang akan membicarakannya atau paling tidak diulas pendek dalam satu pojok kecil dalam majalah atau ruangan sastera akhbar.

Penulis (dua dari kanan) bersama-sama dengan Rudi Mahmood (kanan sekali).

Gaya persajakan Rudi agak berbeza dengan Rosli K. Matari atau Rahimidin Zahari. Juga tidak sama dengan cara gaya Zuharman Mohd Noor mencipta sajak-sajaknya. Mereka berempat ini bolehlah kita namakan sebagai “penyair Kubang Kerian” kerana semuanya mempunyai latar hidup di tempat tersebut sama ada dilahirkan, membesar, menetap atau menerima pendidikan di situ.

Sajak-sajak Rosli, Rahimidin dan Zuharman nampaknya lebih berterus terang tetapi masih disulami kehalusan-kehalusan dan diiringi makna yang mendalam. Namun sajak Rudi berbeza dan lain. Dia begitu berahsia dan ungkapan serta frasanya lebih peribadi. Apa yang ingin disampaikan Rudi selalu sahaja tersembunyi diam di balik makna, jauh di dalam stanza peribadi yang amat rahsia ciptaannya.

Judul Bara Hujan sangat menarik sebenarnya kerana merupakan gabungan dua kalimah yang maksud serta sifatnya berbeza dan berlawanan. Rahsia dan keperibadian sajak Rudi dapat kita tanggap daripada judul buku ini lagi.

“Bara” biasanya digunakan untuk api yang bersifat panas. Namun ia digabungkan dengan kalimah “hujan” yang sejuk dan lembut. “Bara” itu biasanya menyakitkan kerana sifatnya panas. “Hujan” pula selalunya lebih menenangkan serta kebiasaannya akan mendamaikan kerana ia bersifat sejuk, tetapi dua perkataan yang berlawanan sifat ini sengaja digabungkan untuk menyatakan sifat sajak-sajak Rudi juga sama seperti judul bukunya yang sentiasa bercanggah dan berlawanan. Namun, kata-kata yang bercanggah dan berlawanan itulah yang selalu diucapkan di dalam sekian banyak sajak-sajaknya.

Itulah Rudi, dan begitulah juga identiti rahsia sajak-sajak ciptaannya.

Jika kita teliti dengan lebih mendalam, judul buku sajak Rudi itu tidaklah pelik sangat sebenarnya. Ia mengingatkan kita kepada sebuah buku lama yang sudah pun ada sejak puluhan tahun dulu. Pada tahun 1980, telah terbit sebuah buku oleh Eastern Universities Press berjudul Api Basah karangan W.H. Wheeler. Buku setebal 87 halaman dan mempunyai 9 bab ini merupakan sebuah buku cerita kulit keras dan berasal daripada karya bahasa Inggeris oleh penulis yang sama bertajuk Wet Fire terbitan Fearon–Pitman Publishers pada tahun 1977. Judulnya hampir sama dan tidak jauh beza sifat dan gayanya dengan kumpulan sajak Rudi Mahmood ini. Api Basah juga merupakan gabungan dua kalimah yang bertentangan dan sangat dekat kedua-dua perkataan itu dengan diksi Bara Hujan pada judul sajak Rudi.

Rudi Mahmood, penyair yang beri bara dalam dingin gerimis.

Lima sajak awal dalam buku ini, iaitu “kulihat rumahmu, kulihat tangga terakhir”, “embun permata”, “seperkataan yang kupilih daripadamu”, “tanah terbuka” dan “sering kitab itu mengingatkan buya”, kisahnya berlegar sekitar kehidupan seharian penyair di rumah, surau dan tanah perkuburan.

Penyair bercerita tentang kematian datuknya yang dipanggil Che. (Dalam loghat Kelantan, panggilan Che kebiasaannya untuk datuk dan nenek pula dipanggil mak). Lima sajak awal dalam buku itu juga tentang sebuah rumah yang begitu dirahsiakan pemiliknya, perihal keperibadian mak dan bapanya, suasana malam hari raya Aidiladha di rumahnya dan berkenaan kematian seorang guru agama yang dinamakan sebagai “buya” yang begitu banyak mengajar dan memberikan pedoman kepada penyair.

Dalam “seperti sajak”, kita dapat menelaah gaya kepengarangan Rudi ketika menghasilkan sajak-sajaknya. Rudi menggunakan metafora yang asing dan jauh dari kebiasaan dalam sajak “dekat ke sisimu” apabila dia mengatakan: tapi selajur tanah/ masih melekat/di sepatuku, manakala pada bahagian hujung sajak ini, dia tetap juga berbalik kepada perihal sajak, iaitu tentang persoalan kata yang dianggapnya tajam seperti mata pisau: negeri yang kudus/telah menitir sebilah kata/seperti mata pisau / tajam melekat.

Setelah berkisah perihal rumah, surau dan perkuburan di bahagian awal buku ini sebagai pembukaan, pada bahagian seterusnya pula penyair bercerita tentang kata, sajak, tulisan dan kerja kepenyairannya sendiri.

Perhatikan umpamanya dalam “seperti sajak”, “berbalah dengan kata”, “kukenangkan sebaris sajak tak sempat disudahi”, “buku-buku dan sedikit cerita”, “kemerdekaan adalah sajak-sajak yang ingin ditulis”, “sekerat kata” dan “membaca tulisan hidup”. Penyair berkisah perihal kepengarangannya pula yang membuka pemahaman kita bahawa kerja pengkaryaan dalam penulisan sajak ini telah menjadi darah dagingnya. Berkali-kali dalam tujuh sajak ini dia menyebutkan tentang sajak, sajak, sajak serta tentang apa yang sedang dan ingin ditulis.

Sajak “dari atas panggung” yang ditulisnya di Kg. Demit, Kota Bharu, awal-awal lagi dimulakan dengan stanza rahsia yang begitu rumit untuk kita telusuri apabila Rudi mengatakan: alam seperti daging yang basah/darahmu kering dirasuk permainan/ boragas dan belantara/tumbuh di atas kelir. Namun dua rangkap akhirnya dapat merungkai sedikit kefahaman kita apabila penyair merumuskan begini:

tak ada yang lebih dari mengenang ibarat
yang bertutur dengan makna isyarat

seperti badut ciptaanmu
ingatan kanak-kanak mengembalikan aku
ke lingkungan kampung
yang jauh ditinggalkan

Dalam “di muka kelir, 1” dan “di muka kelir, 2” pula, Rudi menggunakan dua imej penting yang bersabit dengan kelir dan ada pautan makna dengan cahaya iaitu lampu dan bayang. Sajak “di muka kelir, 1” memperihalkan tentang kepentingan lampu yang merupakan sumber cahaya. Jika lampu yang menjadi sumber cahaya itu padam, maka akan gelap-gelitalah semuanya. Sajak ini terlalu ringkas hingga kita merasakan ada yang tidak sampai dan masih ada yang belum habis mahu diceritakan Rudi.

Dalam “di muka kelir, 2” pula, kalimah bayang menjadi kata utama kepada keseluruhan sajak. Dari baris awalnya lagi, Rudi telah menarik perhatian kita dengan frasa yang lain dan agak aneh apabila dia mengatakan: benih bencana telah merancang kenangan. Kita perlu berfikir secara terbalik untuk memahaminya, malah akal kita pun turut diterbalikkannya. Frasa darah cahaya juga aneh, namun membuatkan kita terus berfikir; jauh, dan dalam.

Sajak “tatkala kaulihat musa terdiam” juga ringkas dan penuh rahsia. Kita tahu Musa yang dimaksudkan oleh Rudi ialah Nabi Musa a.s apabila dia menggunakan beberapa kalimah seperti nur, rasul, thursina dan watak yang bernama Musa itu sendiri. Kalimah thursina ialah perkataan yang paling kuat dan bukti terkukuh untuk menegaskan bahawa watak Musa dalam sajak ini ialah Nabi Musa. Ustaz Taha Hassan al-Qusyasyi mengesahkan hal ini dalam bukunya Jejak 5 Rasul di Tursina (Inteam Publishing, 2011) bahawa 5 orang nabi dan rasul termasuklah Nabi Musa mempunyai sejarah hidup dan kaitan yang sangat rapat dengan gunung Tursina yang berada di Semenanjung Sinai itu. Walaupun secara sahih kita dapat mengesahkan watak penting dalam sajak ini ialah Nabi Musa, namun cerita Rudi tetap juga kabur, rahsia dan tidak selesai. Kekaburan sajak Rudi terutamanya dapat dilihat tertera dalam dua rangkap akhir sajaknya ini:

tunjukkan padaku sesuatu yang kausentuh
bila menatap nur yang silau
menusuk thursina

tatkala kulihat musa terdiam
dan rebah

Empat sajak seterusnya yang dimuatkan dalam halaman 27 hingga 32 pula, kata kunci utamanya ialah hujan. “Hujan” dapat dilihat jelas digunakan pada setiap judul keempat-empat sajak seterusnya ini. Sajak “terkurung dalam hujan” walaupun pada rangkap pertama dan keduanya memperihalkan hujan yang lain, namun rangkap ketiga yang juga sebagai rangkap terakhir jelas menceritakan berkenaan hujan yang menyebabkan banjir pada zaman Nabi Nuh a.s.

Saya katakan hujan yang lain kerana Rudi memulakannya begini: hujan menitis / berkurun-kurun / dalam qalbuku / seru cintamu / semakin basah. Hujan ini juga basah, tetapi yang dimaksudkan Rudi memang hujan yang lain kerana ia menitis ke dalam kalbu. Tambahan pula ejaan kalbu lebih dekat kepada maksud ketuhanan dan kerohanian apabila penyair mengejanya dengan “qalbu”. Baris akhir sajak ini menarik kerana Rudi menyudahkannya begini: tuhanku bak ombak berdebur. Kita tidak dapat menafikan kemahiran Rudi yang selalu mencipta frasa-frasa baru yang aneh tetapi menarik.

Sajak “hujan di hari sunyi” dan “di kala hujan luruh” memang berbicara tentang hujan yang sebenar, bukan hujan yang lain, iaitu hujan basah yang menyebabkan kita segera mencari tempat berteduh serta hujan yang menjadikan kita kedinginan. Dalam kedua-dua sajak yang berkisar soal hujan ini, Rudi tidak lepas dari mengaitkannya dengan sunyi kerana dia melihat hujan turun di hari sunyi yang menyebabkan dia dihujani air mata dan hujan juga sangat akrab dengan sunyi kerana sunyilah yang lebih dahulu dirasainya tatkala hujan walaupun air yang turun dari langit itu bunyinya mencakar bumbung.

Dalam “bara hujan” juga masih ada sunyi tetapi yang anehnya dalam sajak ini, hujan itu membara. Keterbalikan-keterbalikan diksi dan frasa yang digunakan Rudi inilah yang menyembunyikan maksudnya yang amat dalam, jauh ke dasar imaginasi penyairnya sendiri yang amat dalam dan begitu berterabur.

Sajak berjudul “bara hujan”.

Frasa ‘dua kalimah hidup tak pernah surut’ itu mungkin syahadah yang menjadi pegangan hakiki seorang Muslim kerana latar masa sajak ini ialah pada bulan Ramadan. Namun frasa ‘ramadan basah, bara asyik menyala’ itu mengganggu kita lagi dengan rahsia Rudi. Walaupun dalam berahsia, rangkap terakhir iaitu rangkap kedua sajak ini, Rudi tetap kembali kepada Tuhannya, pasrah dan berserah kepada takdir Allah SWT.

Sajak di halaman seterusnya berjudul “mengingati tahun sudah” walaupun judulnya tanpa kata ‘hujan’ namun inti pati sajak ini juga berasaskan hujan. ‘Tahun sudah’ yang sedang diingati oleh Rudi itu barangkali diakhiri dengan bencana akibat hujan. Hujan yang membawa bencana yang dimaksudkan Rudi itu mungkin terlalu lebat dan lama hinggakan ‘merayap dalam mimpi’ dan ‘pekat melekat ke serata tanah’. Tiga rangkap akhir sajak ini membuktikan hal tersebut:

7. sangkakala bertakung dalam kitab

guruh melengkung dalam sirah

  1. takdirmu hampir membenam

sebaris ungkapan surah yang tak sempat dibaca

  1. syair dan hadis

saling bertukar di tengah bencana

Rudi menyerlahkan dirinya yang perahsia dalam “sebaris perkataan yang telah kauajar” apabila dia menyatakan begini dalam dua baris akhir sajak berkenaan: kutanggung beban rahsia ini / seperti majnun. Dek kerana terlalu banyak berahsia, ia menjadi beban yang makin berat untuk ditanggung.

Inti utama dua sajak berikut ini ialah pisau iaitu sajak “tentang apa yang ingin kaukatakan” dan “pisau”. Pisau menjadi subjek utama kedua-dua sajak. Daripada pisau itulah kemudiannya terjadi tusukan dan hirisan dan dengan pisau itulah juga Rudi mencipta frasa “luka tak mengingati cinta”, “bisik luka” dan “tak tembus lukaku”.

Pisau di tangan Rudi ialah pisau yang tidak dapat dipisahkan dengan darah dan melambangkan kejahatan. Dengan menggunakan kalimah ‘jahat’, Rudi mencipta dua lagi frasa menarik, iaitu ‘jahat diisi ke dalam sakuku’ dan ‘hari jahat banyak berdiri di depanku’ dalam sajak “pisau”. Peristiwa yang melibatkan pisau bertahun-tahun kekal dalam ingatannya kerana kebiasaannya perkara tersebut membabitkan tragedi kejam yang akan mengganggu kesunyian yang selalu dilalui Rudi.

Sajak-sajak seterusnya yang memenuhi halaman-halaman akhir buku puisi sulung penyair asal Kubang Kerian ini ialah lebih bersifat kerohanian atau boleh dikatakan agak sufistik. Ada beberapa stanza menarik yang menjadi kata kunci utama untuk kita mengukur sajak Rudi yang kemudiannya kita putuskan lebih bersifat sufistik.

Antara yang menarik tersebut ialah seperti ‘kusentuh jilbab nuranimu’, ‘sisik tua dalam diam luruh di lantai’, ‘bingkai tanah terbuka’ dan ‘kuingat percikan maut’. Inilah beberapa frasa yang menguatkan pengkategorian kita bahawa sajak berjudul “ada sesuatu yang ingin kuingat” ini ialah sajak sufi yang tebal dengan nilai kerohanian.

Sajak sufi bukanlah bermaksud bahawa penyair yang mengarangnya itu seorang sufi tetapi sajak yang dihasilkan itu bersifat kerohanian, ketuhanan dan keagamaan, iaitu isinya perihal mengingati kematian dan cinta kasih kepada Allah SWT, Rabb Tuhan sekalian alam serta lain-lain hal yang berkaitan.

Dalam sajak “di sisimu” lebih jelas unsur sufistiknya walaupun kata ‘mu’ yang dimaksudkan mengaburi kita. Ketika membaca sajaknya ini, kita kurang jelas siapa ‘mu’ yang dimaksudkan Rudi apabila dia menyebutkan begini:

bersusun-susun dosa
tak terlurut di sisimu

‘mu’ kita rasakan seperti Tuhan, walhal jika diteliti lebih mendalam ‘mu’ yang dinyatakan itu memang bukan Tuhan, tetapi manusia, insan. Kita dapat mengesahkan demikian kerana ada bukti yang jelas dalam sajak yang lain ‘Mu’ untuk Tuhan digunakan huruf besar pada huruf pertama kata imbuhan tersebut, iaitu ‘Mu’, bukan ‘mu’.

Manakala sajak “ingatan pada suatu saat” dan “melintas kubur-kubur” pula skop perbicaraannya ialah perihal tanah persemadian akhir manusia yang kita panggil kubur. Kubur atau makam itu juga penyair namakan sebagai ‘tanah ingatan’ dan ‘negeri yang pedih’. Tanah, langit, takdir dan daun menjadi antara imej yang digunakan Rudi dalam kedua-dua sajak yang membincangkan berkenaan pusara ini. Kedua-dua sajak menceritakan soal peringatan, isyarat atau teguran Tuhan dan ketakutan penyairnya sendiri untuk menghadapi maut serta melalui alam kubur yang bakal ditempuh nanti.

Kembalinya Rudi kepada Tuhan jelas dalam sajak-sajak di halaman akhir bukunya ini. Rudi kembali berbicara tentang bilal, maghrib, kolah dan timba dalam sajak “membalik maksudmu”. Dia berbicara tentang malam, berkenaan sunyi dan bunyi, serta perihal cahaya yang kemudiannya diterjemahkan sebagai nur.

Adakah pertempuran yang akan dihadapinya dalam sajak ini ialah peperangan dengan maut di alam arwah selepas menemui kematian? Tidak ada seorang pun yang tahu maksud sebenar pengarang di sebalik setiap ungkapan. Hanya Rudi seorang yang punya jawapan.

Rudi kembali bercakap tentang takdir, pisau, kubur dan nyawa dalam sajak “busur nyawamu”. Subjek cerita ditetapkan dari awal apabila dia menjudulkan sajak ini “busur nyawamu”. Kalimah-kalimah yang tertera itu menjelaskan kepada kita tentang sifat kerohanian sajak Rudi. Pertautan antara pisau dengan kejam dan antara kubur dan nyawa merupakan satu sandaran kuat untuk mengesahkan sajak ini sebagai karya sufi.

Sajak “jenak kalimah” juga begitu. Nada-nada Islam yang berbaur di dalamnya juga agak ketara. Imej cahaya, kematian, suluk dan qalbu yang digunakan melambangkan bahawa betapa sufistiknya sajak ini. Paling ketara ialah perkataan qalbu dengan huruf ‘q’ bukan ‘k’ digunakan berulang kali dalam beberapa sajak. Dalam sajak ini, Rudi mencipta frasa ‘bayang qalbuku’ dengan kalimah tersebut.

Sajak “kau turun seperti biasa” pula lebih panjang sedikit, berupa sajak dua halaman yang sederhana. Namun frasa dan stanza-stanza Islamiknya berleluasa di mana-mana seperti ‘negeri qalbu’, ‘bau tanah’, ‘bunyi nafiri’, ‘gelora nyawa’, ‘perdu maut’, ‘surah bacaan’, ‘ratib dan doa’, ‘rasa kudus’, ‘faqirku’ dan ‘negeri yang jauh’.

Stanza-stanza Islamik dan bersifat kerohanian juga banyak kita temukan dalam sajak “tiga bentuk tanda sajak”, “yang jauh”, “aku akan melangkah ke tebingmu” dan “orang-orang durjana dan pendoa itu”. Antara frasa-frasa menarik yang bersifat kesufian itu ialah ‘qalbu yang hidup’, ‘detik rabbani’, ‘kuapan rohani’, ‘rumpunan nisan’, ‘firasat kubur’, ‘pusaran qalbu’, ‘kuburku meredup’, ‘kausentuh kitab-kitab’, ‘tertulis dalam takdir’, ‘fitrah tanah’, ‘kutelan munajat ini’, ‘doa ditabur’, ‘rasa berdosa’, ‘ratib dan talkin’, ‘pendoa itu’ dan ‘di kitab syurga’.

Dalam sajak “benih, 1” dan “benih, 2” pun kita masih temui frasa-frasa Islamik yang agak menarik. Antaranya ialah seperti ‘nutfah hidup’, ‘di negeri yang jauh’, ‘purdah purnama’ dan ‘ketika malaikat turun’. Kemudian, dalam sajak terakhir yang dimuatkan dalam buku ini, iaitu sajak “hujan, dan kapal pun berangkat”, Rudi kembali semula kepada hujan dan malam. Walaupun sajak ini ditulis di Kuala Lumpur, namun imaginasi pengarangnya jauh ke pelabuhan dan kapal. Selepas itu, dalam rangkap seterusnya penyair kembali pula ke kamar dengan watak perempuan, lelaki dan ibu. Kelasi muda mungkin orang yang sama dengan watak lelaki. Walaupun Rudi ada menyebutkan ‘remang-remangan bukan jadi rahsia’ namun sajaknya ini tetap juga penuh rahsia seperti sajak lain yang telah pun dibincangkan sebelumnya.

Ada keheningan yang amat jauh dalam karya-karya Rudi. Memasuki sepi sajaknya, kita akan tersesat di dalamnya tanpa sempat untuk berpatah balik semula. Terlalu banyak rahsia yang diungkapkan. Diungkap, tetapi tidak terungkap. Begitu juga dengan jungkir balik frasa dan diksi yang disorok sembunyi. Di tengah-tengah kelam ketidaktahuan itulah kita mencarinya yang pandai berselindung di sebalik kata-kata yang dilontarkan ke celah-celah sepi di gelap dini. Selamat terus bersunyi-sunyi Rudi!

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Beliau pernah mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada tahun 2008, menerima Penghargaan Karyawan Kelantan pada tahun 2013, Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015 dan menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.