Oleh Asrar Ab Latif
14 September 2023, 12:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Membakut – Malam Citra Budaya Islami bersempena dengan Mahrajan Persuratan Islam Nusantara, Sabah Ke-13 telah dirasmikan oleh YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah merangkap Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Islam di Dewan Seri Wawasan, Kg. Pimping, semalam.

Beliau berkata setelah terhenti seketika akibat COVID-19, akhirnya program ini berjaya dilaksanakan semula. Ujarnya;

Ramai tokoh persuratan Islam Nusantara dari Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand telah diberikan anugerah dan pengiktirafan, antaranya, Taufiq Ismail dan Tenas Effendy.

Justeru, Mahrajan persuratan ini amatlah penting dalam memberikan sumbangan kepada sastera serta mampu memperkasakan dakwah hingga ke peringkat lebih tinggi.

YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah merangkap Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Islam menyampaikan ucapan dan merasmikan majlis di Dewan Seri Wawasan, Kg. Pimping, semalam.

Pada tahun ini, Syed Zakir Syed Othman (SM Zakir) dan Ibu Fatin Hamama Rijal Syam telah dinobatkan sebagai Tokoh Persuratan Islam Nusantara dari Malaysia serta Indonesia. Mereka membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai bernilai RM10 000.00.

Manakala, Tuan Ibrahim Mohammad@Lajim pula dinobatkan Tokoh Persuratan Islam Nusantara mewakili negeri Sabah dengan membawa pulang wang tunai RM5000.00 dan sijil penghargaan.

Bagi SM Zakir, beliau menjelaskan menerima anugerah ini memberikan erti yang besar dalam mengangkat persuratan Islam nusantara. Ujarnya;

Anugerah ini merupakan penghargaan yang besar kepada dunia pengkaryaan saya yang sudah melebihi tiga dekad.

Mahrajan dan Anugerah Persuratan Islam yang bersifat nusantara malah antarabangsa ini merupakan mercu tanda kepada perjuangan memartabatkan persuratan Islam yang meletakkan ketamadunan Islam di nusantara ini.

Angah Omar melakukan persembahan nyanyian nasyid dalam majlis tersebut.

Turut hadir memeriahkan malam tersebut ialah YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam); Konsulat Jeneral Negara Brunei dan Republik Indonesia; Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia dan Puan Jennitah Noordin, Timbalan Pengarah, DBP Cawangan Sabah mewakili Pengarah.

Majlis diserikan dengan pelbagai persembahan antaranya nyanyian nasyid oleh artis undangan Angah Omar dan Daqmie, persembahan puisi oleh Jamal D. Rahman dan Ibu Fatin Hamama, penyampaian tazkirah oleh Kiyai Hafiz Muhammad Faiz Syukron Ma’mun dari Pasentren Darul Rahman, Jawa Barat, Indonesia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.