21 Jun 2023, 11:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ibnu Din Assingkiri menyertakan sedikit panduan buat penulis puisi kini untuk menangkap minat para pembaca daripada Generasi Z.

Untuk menulis karya puisi yang diminati oleh Generasi Z, penulis daripada generasi lain haruslah sentiasa memperbaharui ilmu lintas disiplin mereka, di samping perlu mengetengahkan isu semasa yang menjadi keutamaan Generasi Z.

Bagaimana caranya untuk menarik minat pembaca Generasi Z terhadap karya puisi? Dalam hal ini, kita mesti tahu apakah yang mereka tidak sukai dan seterusnya dapat mengurangkan ketidaksukaan mereka pada puisi. Kita sedar yang kehilangan minat ini juga berpunca daripada sistem pendidikan yang mengesampingkan sastera yang seakan-akan dilihat sebagai mata pelajaran yang kurang penting daripada mata pelajaran STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik), yang kini merupakan mata pelajaran keutamaan di pusat-pusat pendidikan.

Sebagai penulis dan penentu kelestarian sastera, kita tidak boleh terus-menerus menyalahkan sistem tanpa melakukan apa-apa sebagai sumbangan ke arah penambahan minat generasi ini pada puisi. Jadi, jangan hanya tanya apakah sumbangan sastera terhadap kita, tanyakan juga apakah sumbangan kita sebagai pencinta sastera terhadap dunia sastera kita yang sekangkang kera ini.

Mari kita lihat satu-satu subgenre puisi dan teliti apakah yang menyebabkan mereka kehilangan minat. Kita mulakan dengan puisi tradisi utama iaitu pantun, syair dan gurindam. Masalah utama dalam platform tradisi ialah, kita masih kekal tradisi dalam penyampaian tema dan pemikiran. Kita sering dikekang oleh pantang larang yang bukan-bukan sehingga menyebabkan puisi tradisi menjadi pegun dan masih berada di takuk lama.

Kita perlu sedar bahawa Generasi Z ialah generasi yang berinformasi. Capaian ilmu mereka sangat jauh dan tidak terbatas melalui perkembangan teknologi informasi dan komunikasi. Jikalau kita masih menulis tentang tema dan persoalan yang sama sejak tahun 1950-an, tentulah mereka berasa puisi tradisi tidak akan menambah nilai dalam bentuk ilmu kepada mereka. Mereka mungkin menganggap bahawa platform (subgenre) sastera ini sebagai sesuatu yang tidak menghormati kecerdasan akal mereka.

Saya sama sekali tidak berbicara tentang puisi tradisi yang sudah lama tertulis dan yang sudah menjadi khazanah sastera negara. Apa yang saya bicarakan ini ialah, puisi tradisi yang ditulis sekarang oleh penulis daripada generasi sebelum Z, termasuklah saya sendiri, mewakili Generasi X.

Dalam pada itu, walaupun kita menggunakan platform tradisi, puisi kita haruslah berinformasi, berilmu lintas disiplin terkini dan membicarakan isu masa kini dan masa depan. Nostalgia yang keterlaluan juga tidak dapat membantu mereka menghayatinya kerana mereka tidak wujud ketika kita menggunakan pelita minyak tanah dan membasuh kain baju di sungai atau makan nasi berlaukkan garam.

Untuk sajak pula, kita boleh buat dua perkara untuk menarik minat pembaca Generasi Z. Pertama, ubah bentuk fizikal karya. Oleh sebab sajak ialah kata-kata yang bebas dan tidak terikat, maka bolehlah kita berekspresi dengan agak berwewenang. Kecenderungan bacaan generasi ini lebih pada sesuatu yang mudah, straight to the point, mempunyai elemen healing yang tertentu, sohor, dan menambah nilai.

Tanpa mengorbankan kepuitisan sajak, kita masih boleh menulis sesuatu yang disukai oleh Generasi Z. Kita tukar cara penyampaian sajak moden, daripada gaya bahasa (alat susastera) lama kepada gaya komunikatif-simbolik, minimalis, lirik, dan prosaik, yang cenderung ke arah “pascamoden” yang terbimbing (bukan pascamoden yang sesat).

Untuk tema dan persoalan dalam karya pula, kita harus memperbaharui ilmu lintas disiplin tanpa henti. Kita harus sentiasa tahu tentang ilmu-ilmu baharu dan mampu meletakkan tema dan persoalan berdasarkan ilmu terkini (real-time) dalam karya. Karya-karya yang nostalgik, melankolik, meleret-leret tanpa pengisian ilmu, malah berfalsafah dan pemikiran ialah punca mereka meninggalkan puisi.

Jadi, mulai saat ini, kita harus menulis puisi yang berisi dengan gaya bahasa simbolik, gaya lirik dan prosaik, minimalis, dan komunikatif. Karya puisi tidak hanya menjadi platform curahan hati penulis semata-mata, malah menjadi sumber capaian ilmu lintas disiplin yang terkini dan semasa (real-time).

Untuk menulis karya puisi yang diminati oleh Generasi Z, penulis daripada generasi lain haruslah sentiasa memperbaharui ilmu lintas disiplin mereka, di samping perlu mengetengahkan isu semasa yang menjadi keutamaan (dan kegusaran) generasi ini. Dengan cara ini, mereka akan kembali menikmati puisi.

Kredit Foto: Radu Florin/Unsplash

_________________________

Ibnu Din Assingkiri berasal dari Singkir Laut, Kedah. Beliau telah menghasilkan dua kumpulan cerpen, empat kumpulan puisi serta berpuluh antologi pelbagai genre terbitan di Malaysia dan Indonesia. Turut terlibat sebagai editor, penyelenggara serta pembimbing bengkel penulisan kreatif. Karya eceran puisi, cerpen dan eseinya terbit di pelbagai media tempatan dan antarabangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.