16 Jun 2023, 17:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS), Dewan Bahasa dan Pustaka akan melaksanakan Syarahan Keris Mas buat kali ke-3. Syarahan tersebut bakal disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Syarahan Keris Mas merupakan antara program wacana yang dilaksanakan selaras dengan Pelan Strategik DBP, iaitu di bawah Teras Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu.

Sebelum ini, BPS DBP telah berjaya mengadakan dua siri Syarahan Keris Mas bermula pada tahun 2021, yang disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom, dengan topik “Sastera Tanpa Sains Tiada Kemajuan, Sains Tanpa Sastera Tiada Keanggunan”.

Siri kedua pula adalah pada tahun 2022 yang disampaikan oleh Kapten (B) Dato’ Prof.  Emeritus Dr. Hashim Yaacob dengan tajuknya, iaitu “Sastera dan Seni Santapan Jiwa”.

Perbincangan antara DBP dengan pihak Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Bagi Syarahan Keris Mas kali Ke-3, DBP bekerjasama dengan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Ujar Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat ketika perbincangan awal dengan pihak tersebut,

 Syarahan ini diadakan bertujuan untuk memperkasakan kesusasteraan kebangsaan dengan mengundang tokoh atau individu selain daripada bidang kesusasteraan.

Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan satu memorandum persefahaman dimeterai dalam majlis syarahan tersebut melibatkan kerjasama kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan antara DBP dengan UMK. Memorandum persefahaman ini diharapkan akan memperkukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak, selain mempertingkatkan keberhasilan dalam bidang penyelidikan dan penerbitan.

Tuan Haji Razali Che Mat menyampaikan cenderamata kepada Dekan FTKW UMK, Dr. Hanisa Hassan.

Bengkel pemantapan penulisan, peluang penulisan dengan DBP, dan pendigitalan sastera juga turut dibincangkan yang akan melibatkan kerjasama antara DBP dengan pihak FTKW, UMK.

Program ini dijangka melahirkan penulis baharu yang berbakat di samping memperkenalkan peserta dengan penerbitan buku, majalah dan penerbitan digital DBP dan sekali gus peluang menerbitkan karya dengan DBP.

Selain itu, syarahan ini juga bakal menyediakan korpus kajian yang boleh dijadikan kajian lanjutan atau rujukan oleh para sasterawan, penulis, ahli akademik, pendidik, mahasiswa, dan aktivis sastera.

Syarahan Keris Mas Kali Ke-3 ini dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober 2023 di UMK Kampus Bachok.

Turut hadir dalam perbincangan tersebut ialah Dekan FTKW UMK, Dr. Hanisa Hassan, Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail, Dr. Syaidul Azam Kamarudin mewakili Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera dan Nurul Hidayah Yusof, pegawai di BPS DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.