Oleh M. Emir
30 Mei 2023, 08:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

M. Emir memberikan respons terhadap suatu kenyataan di Twitter yang menyoal tentang mutu sesebuah puisi apabila ciptaannya dianggap remeh dan membazirkan ruang halaman kertas.

Di Twitter, saya melihat ada dalam kalangan netizen yang meremeh-remehkan buku puisi dengan menyatakan bahawa niche ini tidak sepatutnya dijual dengan harga yang tinggi kerana isi kandungannya. Sekarang ini, siapa yang bersalah? Penikmat puisi atau penulis?

Membaca sebuah puisi bererti anda menghuni kota dalam kepala penulis dan melihat bagaimana bangunan-bangunan pemikiran dibina sebelum ekspresi penulis dicurahkan dengan langkah paling sofistikated pada sekeping kertas. Menikmati sebuah puisi pula bermakna anda akan meratah keenakan kekata yang dihidangkan oleh penulis, sama ada dalam bentuk visual ataupun teks. Jika lauk puisi itu tidak mempunyai variasi, saya yakin kita semua pasti akan termuntah apabila menjadi penikmat puisi dengan bahasa yang klise. Sebagai contoh, puisi bertemakan kemerdekaan pasti akan dihidangkan bersama perkataan ‘Ogos’, ‘merdeka’ ,‘penjajah’, ‘Mat Kilau’, dan ‘watan’, manakala jika anda mahu menyantap makanan rohani dalam puisi ketuhanan, wajib akan wujud perkataan seperti ‘sujud’, ‘istikharah’ dan ‘dosa’. Sebagai penikmat puisi, anda tidak boleh menjatuhkan hukum pada puisi sekiranya anda baru membaca sedikit.

Anda pasti akan berkata begini: Puisi-puisi tidak mempunyai variasi dan bosan seolah-olah berjalan membelakangi waktu. Di Twitter, saya melihat ada dalam kalangan netizen yang meremeh-remehkan buku puisi dengan menyatakan bahawa niche ini tidak sepatutnya dijual dengan harga yang tinggi kerana isi kandungannya. Sekarang ini, siapa yang bersalah? Penikmat puisi atau penulis?

Jawapannya mudah: Dua-duanya bersalah dan berdosa. Segelintir penulis yang tidak mengeluarkan puisinya daripada penjara bahasa dan membiarkan karyanya klise dengan cara lama seolah-olah digari sesuatu. Namun begitu, penikmat puisi juga perlulah sedar bahawa bukan semua kumpulan puisi tidak boleh membawa anda menari-nari di taman yang mempunyai rumput segar.

Kumpulan puisi daripada penyair-penyair era milenium ini kebanyakannya menyeronokkan dan mencabar konvensi. Tidak dinafikan, kumpulan puisi era T. Alias Taib juga hebat. Maka, sebagai penikmat puisi, anda perlu pilih jus taman permainan paling indah dan menjadi satu kesalahan kepada penikmat puisi apabila hanya nampak satu warna sahaja pada sastera. Sedangkan, pelangi ada tujuh warna, bukan? Sastera juga indah seperti pelangi. Jadi, tolonglah cari lagi enam warna pelangi untuk faham dan memaknakan keindahan puisi. Saya percaya, dengan ini, anda boleh mengangkat puisi sebagai satu niche yang wajar dipasarkan secara serius dan anda boleh menikmatinya dengan tenang, tanpa kerusuhan dalam jiwa untuk berhasad terhadap penulis puisi.

Selain pertikaian terhadap nilai dan kualiti buku puisi, ada pula yang mempertikai isi kandungan sesebuah puisi yang dianggap tidak memuaskan keinginan pembaca dan tidak membawa pemikiran. Puisi T. Alias Taib juga menjadi mangsa keadaan apabila ada yang menyanggah kewajaran puisinya yang berjudul “Sepi”, yang hanya diletakkan gambar tersebut. Beliau meminta penjelasan mengapakah perlunya puisi yang membazir muka surat dengan meletakkan gambar ataupun hanya terdiri daripada dua atau tiga baris sahaja.

Jawapan saya mudah sahaja: Pertama sekali, anda perlu faham sekiranya hendak menikmati sebuah buku puisi, anda perlu menghuni pemikiran penulis. Apabila anda menempah tiket melancong ke dalam akal penulis, maka anda akan berfikir, “Oh, inilah yang dimaksudkannya.” Puisi sepi oleh T. Alias Taib sekiranya anda merenungnya dengan kaca mata yang mampu mencegah rabun jauh dalam sastera, anda akan dapat sesuatu, iaitu kesepian penulis tidak dapat digambarkan melalui kata-kata.

Puisi ini mempunyai maksud yang mendalam, malah penilaian boleh dibuat dengan subjektif. Penikmat puisi akan lebih memikirkan apakah yang dialami oleh penulis dan mempercayai bahawa proses ini bukan sekadar membazir kertas semata-mata. Sebagai penikmat puisi, saya mendapat tahu bahawa pelbagai polemik boleh diwujudkan dengan puisi ini apabila membaca puisi yang berjudul “Sepi”. Setiap penikmat puisi mempunyai cita rasa yang berbeza dan mentafsirkan rasa puisi itu dengan kesedapan yang berbeza. Seperti juga puisi “Sepi”, puisi ini akan mempunyai pelbagai pemikiran dari sudut pandang yang berbeza dan fiil T. Alias Taib yang menghasilkan puisi ini pasti akan dikenang kerana hal ini dikira segar pada zamannya.

Untuk puisi yang hanya sekadar dua hingga tiga baris, saya mengambil contoh puisi oleh Karim Mohd yang berjudul “Nokturna”. Puisi ini pendek namun mampu menghasilkan kesan puitis yang begitu mendalam:

Melihatmu
Aku ingin keluar
Tapi aku pintu.

Puisi ini (dan sejambak puisi dalam kumpulan puisi Nokturna) telah memenangi Sayembara Kata-Pilar yang pertama, namun begitu, sehingga Sayembara Kata-Pilar yang ketiga, yang kini diberi nama Hadiah Puisi T. Alias Taib pun, puisi ini masih disebut-sebut oleh orang ramai. Hal ini membuktikan kualiti pada sesebuah puisi pendek tidak dapat disanggah lagi kerana mampu menghasilkan perbincangan yang serius jika dibuat dengan teliti. Dalam konteks ini, puisi “Nokturna” juga termasuk dalam kalangan puisi pendek, tetapi, saya kira, ia tidak pun membazirkan muka surat.

Janganlah kita menjadi pembenci sastera yang memakai topeng penipuan untuk mengutuk karya sastera khususnya puisi. Puisi pendek juga boleh menjadi berkualiti jika dibuat dengan teliti sekiranya kita merenung nilai sofistikated sesebuah puisi, insya-Allah.

Kredit Gambar: The Cleveland Museum of Art/Unsplash

_________________________

M. Emir merupakan penulis yang berasal dari Kuantan, Pahang. Beliau telah menghasilkan beberapa buah puisi eceran yang tersiar dalam Tukang Puisi dan Selangorkini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.