Oleh Aminudin Mansor
13 April 2023, 15:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Aminudin Mansor memperingati sahabat penyairnya, Arisel BA yang pernah memperkenalkan pelbagai sajak jenaka atau sajen.

Arisel itu asalnya ‘Ari’ di hujung nama sebenarnya, Subari, manakala ‘BA’ bermaksud ‘bin Ahmad’ atau ‘bawa amanat’.

Kesusasteraan merupakan suatu pernyataan perasaan yang membangunkan akal budi manusia kepada kebaikan selain tertanam nilai-nilai kemanusiaan. Dalamnya terdapat keaslian dan kejujuran. Bagaimana pula dengan istilah “meniru kehidupan”? Penulis tidak berapa setuju dengan istilah tersebut. Pengarang bukan meniru kehidupan tetapi menyatakan perasaannya dengan jujur tentang kehidupan dan sesuatu yang dilihat. Begitulah warna dan citra yang tampil dalam karya dan sosok penyair bernama Arisel BA.

Kehebatan dan kekuatan seorang penulis itu dapat dikesan melalui hasil karya yang dihasilkannya, yang mampu memberikan kesan kepada khalayak pembaca. Arisel BA dalam hal ini merupakan salah seorang penulis Pahang yang berjaya mengangkat bidang puisi seperti sajak, sajen (sajak jenaka) dan haiku dalam bentuk baharu kepada khalayak pembaca. Beliau juga salah seorang pendeklamasi puisi yang hebat dengan suara garau dan lantangnya. Sejak dulu lagi, beliau mempunyai minat dan berbakat dalam bidang teater, malah pernah mementaskan beberapa teater pada tahun 1970 hingga 1983.

Arisel BA atau nama sebenarnya Subari bin Ahmad, dilahirkan pada 11 Ogos 1953 di Ladang Selborne, Kuala Lipis, Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal dan menengah dari Sekolah Menengah Clifford, Kuala Lipis, Pahang. Kelulusan tertinggi beliau adalah dalam bidang Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (2003).

Arisel mula menulis secara serius pada tahun 1976 apabila puisi pertamanya “Gua Bama” tersiar dalam majalah Dewan Sastera April 1977. Selain puisi, Arisel BA menulis cerpen, novelet, drama pentas, berita, dan rencana. Karyanya pernah terbit di akhbar, majalah dan antologi puisi/cerpen bersama. Novelet pertamanya ialah Dendam Malam Gerhana (1982), manakala buku puisinya yang pertama ialah Aksara ‘XXX’ yang terbit pada tahun 2004. Buku itu merupakan kumpulan puisinya yang pertama sejak menulis sajak lebih 30 tahun. Sempat bersara daripada perkhidmatan kerajaan setelah berkhidmat selama 35 tahun.

Beliau salah seorang penulis dalam kalangan ahli Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Cawangan Kuantan dan Raub, dan pernah menjadi Setiausaha DPMP Pahang sekitar tahun 1983 hingga 1993.

Arisel BA telah kembali ke rahmatullah pada 1 Disember 2013 akibat serangan jantung dan dikebumikan di Kampung Ulu Gali, Raub, Pahang.

Subari Ahmad atau Arisel BA.

Sewaktu hayatnya, penulis pernah bertanya akan rahsia nama samarannya, iaitu Arisel BA. Katanya, Arisel itu asalnya ‘Ari’ di hujung nama sebenarnya, Subari, manakala ‘BA’ bermaksud “bin Ahmad” atau “bawa amanat”. Beliau juga pernah menggunakan nama samaran yang lain, seperti Ismail Al Salbornie, Olie Dharma dan Ismail Ahmad.

Rakan seangkatannya, termasuklah Aripin Said, Rahman Haji Yusof, Ami Masra, Nazri Nong Samah, Mutalib Ghani, Baharuddin CD, Daeng Ramiakil, Hasanuddin Md. Isa, Marsli N.O, Nazri Mohd Sham, dan juga Yang Di Pertua DPMP, Mohd Mansor Abdullah merasakan, pemergiannya merupakan suatu kehilangan yang besar kepada DPMP dan juga negeri Pahang.

Minat beliau dalam menulis sejak di sekolah menengah lagi melalui penulisan sajak dan cerpen. Setelah bergiat aktif dalam DPMP, beliau memperdalami minat tersebut melalui bengkel, ceramah, seminar, dan juga deklamasi puisi yang diadakan oleh persatuan penulis di seluruh negara.

Apabila meneliti dan mengkaji puisi dan cerpennya, kebanyakannya berjejak di bumi kelahirannya, terutamanya di Raub. Kebanyakannya mengetengahkan tema alam semula jadi dan kehidupan masyarakat, seperti para penyair, petani, buruh, dan penoreh.

Salah satu sajennya, “Suara Isyarat”, dikawal dengan keindahan bahasa dan makna yang tersirat dan mendalam tentang kehidupan masyarakat yang dilihatnya. Penulis sertakan seperti yang berikut:

Sekeluarga baru pindah, namanya Jusoh
Mendiami rancangan rumah murah
Sejak seminggu Jusoh terdengar suara
Suara jirannya bercakap ungkapan sama
Apabila jam dua belas malam suasana tenang
Suara jiran mula kedengaran bukan bersembang
“Munah, tanggal selipar, aku nak naik,” seru suami
“Basuh tangan dulu, baru naik,” sampuk isteri
“Bang Mat, makanan dah terhidang,” seru isteri
“Buka tudung saji, amboi, berselera,” tukas suami
Jusoh membuka cuping telinga cuba mengamati
Senyap sunyi hanya dengus nafas bagai berlari.
Tiba-tiba Jusoh terdengar lagi suara jiran
“Aku dah kenyang, nak basuh tangan,” kata suami
“Munah pun nak pergi mandi,” jawab isteri
Jusoh tercenung dan hairan karenah jiran.

16 Mac 2005 , Pulau Pasir Mandi,
Temerloh, Pahang.

Sementara itu, sebuah puisinya yang lebih serius dan menjurus kepada alam sekitar sempat ditulisnya sebelum beliau meninggal dunia. Puisi-puisi akhirnya hanya tersiat dalam media sosial untuk tatapan peminatnya. Perhatikan bait-bait puitis dalam antara puisi terakhirnya, “Apalah Malang Anak Sungai Pahang”:

Apalah malang anak Sungai Pahang
Mencari rezeki buat keluarga tidak lagi kesampaian
Ikan berjenama Kelah, Kerai, Jelawat, Patin dan Baung
Semuanya sudah hampir pupus ditelan zaman
Bukan kerana dek tingginya permintaan di pasaran
Ataupun kerakusan pemburu mahupun nelayan
Tapi kerana cemar arusnya dek penerokaan hutan di hulu
Ikan yang diternak di sangkar juga kini kurang menjadi
Keruhnya air Sungai Pahang sudah tak terkata lagi
Bukan lagi setakat hutan diteroka untuk pembalakan
Tetapi lombong yang digali semakin menjadi-jadi
Kotoran bijih yang dicuci pula terus disalir ke kali
Angkara puak yang tidak berhati budi
Hanya tamak mengisi saku untuk berjoli.
2013

Jasa baktinya amat besar. Arisel BA juga pernah menjadi Setiausaha bagi Hari Sastera 1987, juga ahli biasa PENA dan Pegawai Seranta DPMP. Arisel BA telah dianugerahi Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada 24 Oktober 1997 dan Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) pada 24 Oktober 2006 atas jasanya terhadap kerja sosial, pengembangan bahasa, sastera dan budaya Melayu di Pahang Darul Makmur khasnya dan Malaysia amnya. Pada saat akhirnya, beliau masih gigih untuk menyiapkan buku Memori Ibrahim Omar dan Biodata Penulis Pahang untuk diterbitkan tetapi tidak kesampaian. Al-Fatihah.

Kredit Foto: Andrew Seaman/Unsplash

_________________________

Aminudin Mansor (Dr.) atau nama penanya, Ami Masra pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan Public Bank bagi kategori puisi (1987 dan 1989). Pernah memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-GAPENA (1991), Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu/GAPENA (1992), Anugerah Puisi Sejarah Nasional (1991), Hadiah Utama Puisi Hari Guru Peringkat Negeri Selangor (1998), dan Hadiah Pantun Budi Bahasa Jelita (2007). Antara hasil karyanya termasuklah buku kajian Sajak-sajak A. Latiff Mohidin: Kajian Estetika (DBP, 2011), Akal Budi Melayu dalam Pantun dan Sajak (Penerbit UKM, 2012), kumpulan puisi Telaga Akliah (DBP, 2013) Ladang Ilmu (DBP, 2016), Gurindam Jiwa Penawar Duka (DBP, 2018), Tasbih Kasih (DBP, 2018), dan Kisah Kasih (DBP, 2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.