13 Mac 2023, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Malam Apresiasi Puisi Ramadan (MAPR) dan Pelancaran Antologi Puisi terbitan Gabungan Penulis-Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) telah diadakan di Dewan Johor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) pada 11 Mac lepas. YB Mej. (B) Dato’ Hj. Md. Anizam Ab. Rahman selaku Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan sebagai tetamu khas telah merasmikan program ini.

YB Mej. (B) Dato’ Hj. Md. Anizam Ab. Rahman sedang memberikan ucapan perasmian program.

Dalam ucapannya, beliau menyeru kepada para penulis agar puisi yang dihasilkan mampu memupuk pemikiran masyarakat dan menjadi suatu tuntutan dalam aspek fardu kifayah. Tambahnya lagi, kerajaan negeri akan sentiasa memberikan galakan kepada mana-mana persatuan penulis dalam mengungkapkan seni dan budaya setempat.

Zainal Abidin Muhammad, Ketua 1 Gema menyatakan hasrat dan perancangan GEMA.

Menurut Zainal Abidin Muhammad yang merupakan Ketua 1 GEMA, MAPR merupakan satu-satunya program baca puisi Islamik bertemakan bulan Ramadan yang telah dianjurkan sejak tahun 1986 lagi dengan kerjasama kerajaan negeri. Menariknya, pada tahun ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan dan KIAS telah turut bekerjasama menjayakan program ini. Ujarnya lagi, selain daripada program baca puisi, beberapa lagi program telah dirancang untuk dianjurkan di sekitar negeri Kelantan sepanjang bulan Ramadan.

Bacaan puisi oleh Ariza Che Ismail, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT).

Program ini telah berjaya menarik minat 250 orang peserta dan diisi dengan bacaan sajak oleh tetamu kenamaan dan para penyumbang karya antologi. Peserta juga dihiburkan melalui nyanyian lagu puisi oleh Mohd Sardi dan Ezani Hj. Daud, dendangan gurindam oleh Awang Darus Awang Hamat, serta qasidah dan nasyid oleh Kumpulan Nasyid KIAS.

Nyanyian lagu puisi oleh Ezani Hj. Daud.
Persembahan nasyid dan qasidah oleh Kumpulan Nasyid KIAS.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.