8 Disember 2022, 14:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Bersempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022, telah berlangsungnya sebuah program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Hati dan Minda Sasterawan/Karyawan. Kali ini, tetamu yang diundang ialah seorang pengarah, pelakon, pelawak terkenal dan sutradara iaitu Sabri Yunus.

Program yang dikendalikan oleh Khair Ngadiron ini telah pun memasuki musim ketiga penganjuran. Program ini bertujuan mengetengahkan pemikiran sasterawan dan karyawan kepada khalayak umum sesuai dengan acara perbukuan yang meraikan kejayaan intelektual para karyawan. Sabri Yunus memberikan reaksinya ketika ditanya oleh pengunjung yang hadir:

Drama Pokya Cong Codei melekat di hati penonton kerana saya paparkan kehidupan sebenar masyarakat. Cerita ini ialah cerita yang kita faham, yang mengalir dalam diri kita. Saya kembali kepada tradisi kerana saya percaya dengan kata-kata, lebih tradisional lebih international.

Bakat Sabri bukan sahaja terserlah dalam bidang pengarahan,namun beliau juga mahir melukis, berlakon, menulis, melawak dan pernah merakam sebuah album. Menurutnya, sejak dari zaman kanak-kanak lagi, beliau meminati karya seni. Beliau gemar membaca dan menonton filem yang berkaitan dengan karya sastera.

“Saya mahu dikenali sebagai seorang karyawan. Dengan berkarya, saya lebih hidup,  bebas berfikir dan rasa puas,” jelasnya. Apabila ditanya tentang komedi dan lawak jenaka, beliau percaya kejayaan sesebuah komedi itu terletak kepada gagasan dan pesanan yang ingin disampaikan kepada khalayak. Andainya lawak itu hanya kelakar sahaja namun kosong, ia tidak bermakna. Sabri memberi contoh karya P. Ramlee yang sentiasa melekat dalam ingatan kita, iaitu:

Dalam istilah komedi jangan fikir buat lawak sahaja untuk bagi orang ketawa, saya tak percaya itu. Komedi harus ada kesan lain daripada kita ketawa semata-mata. Perlu ada pemikiran dan  gagasan kerana komedi itu adalah sebuah karya. Kekalkan sifat karya itu.

Pengalaman dalam pengarahan selama 11 tahun juga banyak memberikan pengajaran yang bermakna kepada beliau. Filem pertama arahan Sabri, “Dukun Dr. Dani” ialah sebuah cerita menarik yang merupakan sebuah wacana kritik sosial yang berlaku dalam masyarakat sebenar. Walaupun begitu, filem ini tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan. Beliau akur dengan hakikat ini kerana sebuah cerita yang menarik tidak semestinya menghasilkan produk yang menarik. Beliau juga menegaskan apabila kita mahu menjadi seorang pengarah, kita perlu sarung topi kepengarahan. Katanya,

Seorang pengarah itu perlu ada prinsip, kehendak dan tuntutan diri sendiri. Kita boleh bertolak ansur tetapi perlu ada pegangan yang utuh.

Filem terbaharu arahan Sabri iaitu “Duan Nago Bogho” akan menemui penonton pada 19 Januari 2023 ini. Filem ini menampilkan pelakon hebat iaitu Datuk Rosyam Noor. Filem ini mengangkat seni Mak Yong yang menjadi latar kepada cerita ini.

Tonton program Bicara Hati dan Minda Sasterawan/Karyawan bersama Sabri Yunus di pautan ini berikut:

https://fb.watch/hd4JDxuk4v/ 

https://www.facebook.com/selangorlibrary

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.