25 Oktober 2022, 16:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Kali ini, saya merakamkan sekali lagi pengalaman saya yang berulang kali menyeberangi lautan. Daripada Lautan Pasifik, Lautan Atlantik hingga ke Lautan Hindi, saya terasa seakan-akan berada dalam sebuah perahu nasib. Oleh sebab itu, saya memilih tajuk yang sedemikian,” jelas Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh ketika memperkatakan autobiografi terbaharunya, Padang Perahu di Lautan dalam Bicara Karyawan baru-baru ini. Tambahnya, tajuk buku tersebut juga sebenarnya merujuk peribahasa, “padang perahu di lautan, padang hati di fikiran”.

Buku autobiografi itu melakar perjalanan beliau mencari ilmu di Malayan Teachers College, Brinsford Lodge, England sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, Singapura pada peringkat Sarjana. Setelah itu, beliau sekali lagi meninggalkan tanah air untuk menyambung pengajian pada peringkat PhD di Universiti Michigan, Amerika Syarikat.

SN Muhammad Haji Salleh pernah berkhidmat sebagai pensyarah di beberapa universiti tempatan dan dilantik menjadi pensyarah pelawat di universiti antarabangsa. Beliau juga pernah menjadi anggota Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan banyak menulis tentang perkembangan sastera Malaysia dan Indonesia. Melalui autobiografi ini, beliau banyak merakam pertemuan dan pergaulannya dengan sasterawan ternama dan para penyair Indonesia. Beliau turut mencatat tentang kesan tapak penulisannya di Indonesia.

Mimpi saya untuk jadi ilmuwauan agak besar. Saya tidak boleh duduk diam, jadi saya selalu sertai seminar dan kelas ilmu. Sebab itu juga, saya angkat kaki dan sering berjalan dalam percubaan untuk kenal dunia.

Menurut beliau, semasa di Singapura, beliau menemukan dunia sastera yang berbeza. Pada waktu itu, beliau seolah-olah berada dalam dua dunia sastera, iaitu sastera Inggeris dan sastera Melayu. Sesekali menyertai acara dan perkumpulan sastera yang melibatkan beberapa nama tersohor seperti Ghani dan Abdul Latiff, beliau menganggap dunia yang terbelah dua itu sebenarnya berinteraksi antara satu dengan lain.

Saya yakin, dua dunia ini boleh disatukan jika diusahakan dan saya tidak pernah rugi duduk di tengah-tengahnya.

Di Singapura juga, beliau ditemukan dengan penyair D.J. Enright yang memperkenalkannya kepada dunia penulisan rencam pada peringkat antarabangsa. Secara langsung, perkara tersebut membantu beliau untuk melahirkan tulisan yang segar dan baharu, iaitu melalui penyuntikan idea dan imej yang asing ke dalam sastera Melayu.

Salah satu bidang pengajian saya adalah pertanian. Maka itu, banyaklah saya masuk ke lorong kampung untuk melawat ladang pertanian dan kebun. Saya diberi peluang untuk menghargai alam.

Pengajiannya itu memupuk sentimen dalam diri beliau untuk melihat dan mempelajari dari alam. Penyair itu memetik kata orang Minang bahawa “alam itu berkembang menjadi guru”. Beliau menyifatkan pengenalannya dengan alam di Singapura membentuk gaya penulisannya secara ketara.

“Kalau saya duduk di dalam bangunan semata-mata, rujukan, metafora dan imej yang terpapar dalam karya saya tidak akan sama dengan apa yang kalian lihat. Alam sangat mempengaruhi sajak-sajak saya,” ujarnya. Malah sewaktu beliau berkhidmat di Universiti Sains Malaysia, beliau telah menulis dua buah buku khusus tentang alam.

Padang Perahu di Lautan merupakan susulan pada jilid pertama autobiografi  SN Muhammad Haji Salleh yang bertajuk Sebermula, Maka Tersebutlah… Sebuah Hikayat Diri. Beliau sempat menyatakan bahawa jilid seterusnya bakal menyusul dan jumlah semua autobiografi yang dirancang setakat ini ialah sebanyak lapan jilid.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.