4 Oktober 2022, 14:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) XVI 2022 yang bersidang selama dua hari, pada 4 hingga 5 Oktober 2022 telah berlangsung di Balai Seminar Tun Hamdan Syeikh Tahir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Seminar ini dirasmikan oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka merangkap penyampai ucap utama dalam seminar tersebut, manakala kata alu-aluan disampaikan oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Seminar yang mempertemukan para intelektual ini turut dihadiri oleh beberapa pendiri Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), iaitu YBhg. Drs. Agus R. Sarjono, M.Hum, pakar bidang MASTERA Indonesia, YM. Awang Suip Haji Abdul Wahab, Pemangku Pengerusi MASTERA Brunei Darussalam dan YBhg. Dr. Azhar Ibrahim Alwee, Pengerusi MASTERA Singapura.

Acara dwitahunan yang melibatkan beberapa buah negara pendiri MASTERA Asia Tenggara ini berjaya diberikan nafas semula setelah dua tahun berturut-turut tertunda akibat daripada pandemik COVID-19.

Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

“Sastera Inklusif: Antara Perundingan (Negosiasi) dengan Hegemoni” dipilih sebagai tema seminar kali ini untuk melihat kekuatan sastera daerah dan etnik yang mampu diangkat ke peringkat yang lebih tinggi. Menurut YBhg. Datuk Abang Sallehuddin, hasil daripada seminar ini akan diusahakan penerbitannya untuk disebarluaskan kepada masyarakat.

Gimik pelancaran SAKAT disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Gimik pelancaran SAKAT turut disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan sambil disaksikan oleh Ketua Pengarah DBP berserta tetamu khas pendiri MASTERA yang mewakili negara mereka. Serentak dengan pelancaran ini juga dirasmikan buku Falsafah dalam Karya Sastera Tradisional (DBP, 2022). Sempena pelancaran ini, DBP menawarkan harga istimewa bagi buku Falsafah dalam Karya Sastera Tradisional ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.