22 September 2022, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bandaraya Melaka – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) bersama-sama dengan Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) berkolaboratif dengan Tun Fatimah Riverside Hotel (TFRH) mengangkat tokoh srikandi Melaka, iaitu Tun Fatimah pada malam 16 September 2022. Program yang dinamakan “Malam Patriot Tun Fatimah” tersebut dirasmikan oleh YB Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, Ahli Dewan Negara Malaysia.

Pameran Tun Fatimah.

Majlis diserikan dengan kehadiran dua orang Sasterawan Negara, iaitu SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan dan SN Dato’ Rahman Shaari. Program yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk memperingati ketokohan seorang srikandi dan memperkenalkannya kepada generasi muda di samping bertujuan menanam semangat patriotik. Alunan syair, sajak, nyanyian dan persembahan patriotik memeriahkan program tersebut.

Catatan sejarah mencatatkan Tun Fatimah merupakan isteri Sultan Mahmud Shah iaitu sultan Melaka yang terakhir. Beliau dikahwini oleh Sultan Mahmud selepas baginda tersedar akan khilafnya yang mempercayai fitnah lalu menghukum bunuh seluruh keluarga Tun Fatimah termasuk suaminya, Tun Ali. Walaupun Tun Fatimah dapat membela kematian keluarganya dengan penangkapan dan kematian pengkhianat-pengkhianat, namun Melaka tetap tewas di tangan Portugis pada tahun 1511 kerana ramai bangsa asing dalam negeri Melaka yang belot menyebelahi Portugis. Lalu, beliau menyelamatkan diri ke Muar bersama-sama suaminya lalu menjadi permaisuri Johor yang pertama digelar Permaisuri Tun Kudu.

SN Dato’ Rahman Shaari.

Kumpulan Gerak Seni al-Haj dari SK Ayer Molek membuka tirai persembahan dengan Silat Buka Gelanggang, diikuti persembahan puisi daripada Johan Kebangsaan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2022 Suffian Kirham yang mendeklamasikan sajak bertajuk “Idaman Taman Indera Bestari” karya Awang Ali Kemaman. Persembahan beliau diiringi dengan persembahan silat.

Dr. Rahimah Hamdan daripada Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) turut membuat persembahan yang memukau hadirin dengan “Syair Cerita Serikandi Melaka” diiringi irama dodoi. YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom, Pengerusi YBK yang turut bersama-sama dalam majlis diberi penghormatan untuk membacakan puisi nukilan Dr. Rahimah Hamdan.

Keperibadian Tun Fatimah disebut dalam sajak bertajuk “Akulah Tun Fatimah” yang dibacakan oleh SN Dato’ Zurinah Hassan. Beliau turut memaku perhatian penonton dengan dendangan syairnya. Kehangatan Malam Patriot Tun Fatimah disemarakkan lagi dengan persembahan monolog artistik daripada SN Dato’ Rahman Shaari tentang “Pahlawan Derhaka” yang diadun daripada sajak-sajak karya Muhammad Haji Salleh dan Usman Awang.

SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan.

Kedinginan malam di persisir Sungai Melaka terus hangat dengan persembahan Liza Yamin yang menceritakan kisah Tun Fatimah melalui syairnya. Beliau menyampaikan syair dengan tiga irama; irama batu belah, ahoi dan melalak. Turut menghangatkan pentas Malam Patriot Tun Fatimah ialah juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan negeri Selangor yang menggegarkan jiwa pendengar dengan bacaan sajak bertajuk “Seorang Tun Fatimah Berbicara” karya Siti Raihani Mohd Saaid.

Tetamu bukan sahaja dihidangkan dengan persembahan sajak, syair dan nyanyian, malah terdapat juga persembahan lakonan daripada Teater Hidayah dari Selangor kelolaan Kamarul AR yang mempersembahkan “Tun Fatimah: Leraikan Dendam itu” gabungan karya Siti Raihani Mohd Saaid, Norazimah Zakaria dan Iwan. Teater tersebut dilakonkan oleh Kamarul AR sebagai pencerita, Santy Mala Huzaimi sebagai Tun Fatimah dan Pangiran Nur Satria Aduka sebagai Panglima. Persembahan mantap daripada mereka telah memperkenalkan keperibadian Tun Fatimah kepada semua tetamu.

Penari cilik daripada Kumpulan Erti Seni juga mencuri perhatian penonton dengan persembahan tarian yang bertenaga. Turut melengkapkan persembahan malam tersebut ialah Zawawi Che’ Cob (Ketua 1 Persatuan Penulis Negeri Melaka); Azree Ariffin (KEMUDI); Norazimah Abu Bakar; persembahan daripada Kumpulan Chenonet Buskers, En. Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz (Pengurus Besar YBK) dan Datin Dr. Hajah Hartini Osman (Ketua Pegawai Eksekutif TFRH) yang turut memaklumkan bahawa Tun Fatimah Riverside Hotel akan menerbitkan sebuah buku khas yang menceritakan tentang Tun Fatimah. Pihak hotel turut membuat pameran Tun Fatimah yang memaparkan lukisan potret dan biodata Tun Fatimah.

Kepahlawanan Tun Fatimah akan terus diingati dalam doa dan ingatan sejarah. Malah, majlis ini akan diadakan lagi pada tahun yang akan datang supaya sejarah Tun Fatimah tidak lenyap ditelan zaman. Bak kata Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom dalam ucapannya,

Seorang wanita Melayu sepatutnya bukan membunuh, malahan menggembleng usaha dan kebijaksanaan mengubah diri seseorang.

Itulah Tun Fatimah yang telah membimbing Sultan Mahmud ke arah kebaikan.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Dato’ Othman Desa, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Ayub, En. Zulhairy Jalaluddin; Persatuan Tok Sidang Melaka; ahli jawatankuasa KEMUDI dan Persatuan Penulis Negeri Melaka. Majlis dikelolakan oleh En. Hashim Anang selaku juruacara. Rakaman siaran boleh ditonton di laman Facebook rasmi Yayasan Basmi Kemiskinan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.