Oleh Harlym Yeo
16 September 2022, 17:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Saya sebenarnya sama sekali tidak menjangka atas kemenangan ini sebab peserta lain hebat belaka dengan keterampilan busana yang menonjol, sedangkan saya hanya memakai kemeja-T jenama Pagoda dan celana berwarna putih sahaja,” demikian luahan rasa Saiful Amir Kidam dari Kedah setelah berjaya menjulang Anugerah Platinum dalam Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) Peringkat Kebangsaan 2022.

Melalui puisi ‘Cerita Bonda’ nukilan Samsudin Ahmad, beliau yang bergelar juara berjaya merangkul Piala Pusingan Seri Pemuisi Malaysia, wang tunai RM2000, sijil, dan hadiah sampingan.

Program sayembara kali ketiga yang diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia dengan matlamat untuk menyuburkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia melalui pengucapan puisi, meneguhkan perpaduan dan menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum dalam kalangan Keluarga Malaysia serta memartabatkan bahasa kebangsaan menerusi program pengucapan puisi dalam bahasa Melayu. Program tersebut merupakan anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Sayembara ini menyaksikan 15 orang peserta yang bergelar johan peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan yang beradu merebut kejuaraan di peringkat kebangsaan pada sebelah petang dan malamnya diadakan Majlis Pengumuman dan Penyampaian Hadiah Sayembara. Acara penyampaian hadiah yang dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Perseketuan itu dianjurkan dalam suasana bergemerlapan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, Kuala Lumpur. Majlis berprestij itu turut dihadiri dan disaksikan oleh Presiden PEMUISI, Dato’ Dr Radzuan Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari, dan SN Dato’ Dr Zurinah Hassan serta Naib Canselor Universiti Malaya ke-8, Datuk Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob.

Menurut Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim atau Wanrazuhar, sayembara kali itu sangat menggalakkan dengan penyertaan lebih 200 peserta di peringkat negeri masing-masing. Para pemenang peringkat kebangsaan disediakan hadiah wang tunai, piala iringan, sijil dan cenderahati. Beliau mengungkapkan perasaan syukurnya atas penghargaan dan sokongan peruntukan dana berjumlah RM15000 yang disalurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan kepada PEMUISI untuk program sayembara tersebut.

Anugerah Emas yang menyediakan hadiah wang tunai RM1500, piala iringan, sijil, dan hadiah sampingan telah dimenangi oleh peserta dari Perak, Muhammad Shazren Baharudin menerusi persembahan puisi ‘Perpaduan Malaysia’ tulisan Wanrazuhar.

Anugerah Perak pula dimenangi oleh Mohd Jorasmin Mat Isa dari Perlis dengan persembahannya melalui hasilan Siti Zainon Ismail berjudul ‘Subuh Merdeka’. Dengan kemenangan itu, beliau berjaya membawa pulang RM1000 bersama piala iringan, sijil, dan hadiah sampingan. Selain itu, rezeki hadiah Busana Lelaki Terbaik pula menjadi milik beliau. Hadiah Busana Perempuan Terbaik pula dimenangi oleh Rozalita Saupi dari Pulau Pinang, sementera Persembahan Terbaik dirangkul oleh Akilul Nazar Arbain dari Johor.

Kesemua 12 peserta lain turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Gangsa dengan hadiah wang tunai RM300, sijil, dan cenderahati setiap seorang pemenang.

Pemenang-pemenangnya adalah seperti berikut:

  • Rozalita Saupi (Pulau Pinang)
  • Mashor Awang Long (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)
  • Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid (Pahang)
  • Muhammad Haziq Hallmi (Kelantan)
  • Mohd Rafiqi Bahuddin (Melaka)
  • Akilul Nazar Arbain (Johor)
  • Ahmad Radzi Halim (Wilayah Persekutuan Labuan)
  • Noor Adini Ismail (Selangor)
  • Mohammad Hafiz Ishak (Sarawak)
  • Che Mariatul Qibty Che Abdul Hadi (Negeri Sembilan)
  • Shafiq Bin Dulamid (Sabah)
  • Muhammad Shohaimil Haffiz Dato’ Salleh (Terengganu)

Majlis Pengumuman dan Penyampaian Hadiah Sayembara malam tadi turut diwarnai dengan pelbagai persembahan mengasyikkan menerusi himpunan pertunjukan deklamasi puisi, lagu puisi, arsida, dan dekon yang dijayakan oleh Datuk Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, SN Dato’ Rahman Shaari, Ismail Admed, Marzelan Perindu Seni dan Ezad SS, Lin Haslinaz dan Intan Marhayu Rahman, Maslimah Yusof, dan Siso Kopratasa.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.