Oleh Suyuthi Yusuf
15 September 2022, 22:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia Ketiga tahun 2002 Peringkat Kebangsaan. Majlis penyampaian hadiah sayembara tersebut telah diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, malam ini dan dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan.

YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim (Wanrazuhar) semasa menyampaikan ucapan.

YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim (Wanrazuhar) dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada DBP kerana sentiasa memberi ruang, peluang dan kerjasama kepada PEMUISI dalam menganjurkan aktiviti dan program, terutamanya sayembara pada kali ini.

Sejak ditubuhkan sehingga ke hari ini, PEMUISI telah tampil dengan pelbagai bentuk program dan penerbitan buku puisi. Pelibatan pemuisi luar negara juga telah membawa PEMUISI dikenali di luar negara. PEMUISI akan terus mengorak langkah dalam memartabatkan bahasa Melayu melalui puisi.

YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan sedang memberikan ucapan.

YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada PEMUISI kerana usaha yang berterusan dalam menganjurkan sayembara ini. Jelasnya lagi,

Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia ini menjadi satu wahana penting ke arah usaha untuk mencapai dasar sastera kebangsaan. Selain itu, sayembara ini juga merupakan laluan utama untuk menyuburkan rasa megah dan cinta kepada bahasa kebangsaan.

Tambahnya lagi, sayembara ini juga secara tidak langsung menyokong dasar perjuangan kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu dan juga peneguhan kepada gagasan Keluarga Malaysia. Beliau juga mengharapkan agara sayembara ini diteruskan oleh PEMUISI dan menjadi pembakar semangat dan jiwa generasi muda untuk lebih menghayati dan mencintai bahasa kebangsaan melalui pengucapan puisi.

YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim sedang memberikan ucapan perasmian majlis.

YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan dalam ucapan perasmian majlis juga merakamkan semangat dan kesungguhan PEMUISI. Ujarnya,

PEMUISI sangat aktif dalam menggerakkan dan menganjurkan kegiatan dan aktiviti melibatkan seni, budaya dan kesusasteraan. Bukan mudah untuk melakukan sayembara besar seperti ini. Kegiatan seperti ini juga selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri yang mahu penggunaan bahasa Melayu diutamakan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, beliau juga berharap agar sayembara seumpama ini diperluaskan pada peringkat jabatan, kementerian dan sekolah. Dengan adanya kegiatan sedemikian, maka masyarakat akan mendapat manfaat, falsafah dan pemikiran yang terkandung dalam hasil kesusasteraan, terutamanya puisi. Beliau juga sempat mendeklamasikan puisi SN Usman Awang bertajuk ‘Pahlawan Kemerdekaan’.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.