7 September 2022, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Besut – Program Bicara Sasterawan Terengganu dan Kelantan 2022 menampilkan dua orang tokoh sasterawan, iaitu Sharif Putera dan A. Aziz Deraman. Program tersebut yang berlangsung di sini telah menarik perhatian 450 orang peserta dalam kalangan guru, pensyarah dan siswa.

Sharif Putera, tokoh Sasterawan Terengganu membentangkan proses kreatifnya berserta pengalaman pahit dan manis dalam menempuh alam sastera dan penulisan. Beliau yang prolifik dalam berkarya telah menghasilkan novel, antologi cerpen, sajak dan lain-lain. Sejumlah 32 naskhah perorangan, karya bersama 55 naskhah, penulisan bersama sebanyak 17 naskhah, penyelenggara 16 naskhah, 270 buah drama radio dan 390 buah rencana, artikel dan ulasan telah melayakkan beliau menerima pengiktirafan sebagai Sasterawan Negeri Terengganu yang pertama pada tahun 2013.

Seterusnya, Dato’ A. Aziz Deraman yang merupakan penerima anugerah Tokoh Persuratan Kelantan pada tahun 2020 menyatakan terharu dengan penganjuran program yang mengangkat ketokohan beliau dalam penulisan dan sastera. Menerusi pembentangannya, beliau menyorot latar belakang diri, pendidikan, serta berkongsi proses kreatif dan sumbangan dalam memperkasakan persuratan Melayu.

Beliau dikenali sebagai budayawan, pentadbir, penulis dan penyair, selain banyak menghasilkan buku dan monograf serta sering menjadi pembentang dan pembicara dalam seminar bahasa, sastera dan budaya serta persidangan peradaban Melayu di dalam dan luar negara. Beliau menulis ratusan rencana dalam majalah tempatan dan jurnal, dan juga pernah menjadi kolumnis majalah Mastika dan akhbar Sinar Harian. Sebagai penyair, beliau telah menghasilkan beberapa buah kumpulan puisi persendirian selain sajak-sajaknya yang diterbitkan dalam puluhan antologi bersama. Sejumlah puisi beliau telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Rusia, Mandarin, Korea dan Thai. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan lebih daripada 1000 buah puisi.

Mohd Azam Juhari, Pengarah DBP Wilayah Timur merakamkan penghargaan terima kasih kepada Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan selaku peneraju bersama, dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) serta Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) kerana sudi bersama-sama menganjurkan bicara ini.

Dr. Haji Ahamad Rahim, Pengarah IPG Kampus Sultan Mizan dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Ustaz Hj. Mohd Nurkhuzani Ab. Rahman, Pengerusi Keusahawanan, Industri Mikro dan Ehwal Penjaja Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, merangkap ADUN Kota Putera yang sudi bekerjasama dan hadir menyempurnakan majlis ilmu ini. YB Ustaz Nurkhuzuni juga menekankan:

Bahasa dan kesusasteraan Melayu indikator penting dalam mengenali sesuatu bangsa. Semakin cinta akan bahasa, maka semakin teguh jati diri. Saya mengucapkan syabas kepada DBPWT, IPGKSM, PERADABAN dan PELITA yang berjaya mengangkat ketokohan Sharif Putera dan A. Aziz Deraman.

Dalam ucapannya, beliau juga menyatakan bahawa sastera tidak harus diabaikan kerana sastera berperanan penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Golongan sasterawan berperanan menanam semangat patriotik dan kebangsaan serta meniup semangat kebangkitan rakyat dalam era pramerdeka.

Program bicara ini juga menampilkan empat orang pembicara lain, iaitu Sasterawan Kelantan Rosli K. Matari, Kamarul Zaman Ismail, Ketua Satu PELITA, Alias Ismail, Sasterawan Harapan Terengganu dan Dr. Nordiana Ab Jabar, pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.