6 September 2022, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nik Mohd Hafiz Abdullah menjelaskan kembali inti pati utama bengkel puisi yang diberikan oleh Rosli K. Matari, penerima SEA Write Award 2021.

Sepanjang bimbingan, Rosli K. Matari lebih berminat menggunakan istilah ‘kraf puisi’ yang baginya bermaksud keterampilan dalam seni cipta puisi, berbanding kreativiti yang dianggapnya sebagai daya usaha mencipta.

 

“Jawapan kepada persoalan mengapa sesetengah penyair muda menghasilkan puisi yang kurang bermutu adalah kerana dia hanya semata-mata mengarang dan hal penting lain yang berkaitan diabaikannya sama sekali.”

Rosli K. Matari berhujah demikian kepada peserta Bengkel Puisi di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, Kota Bharu, pada 20 Ogos lepas.

Adakah hal itu hanya berlaku dalam kalangan penyair muda sahaja? Beliau menjawab secara humor,

Saya sengaja tidak mengaitkannya dengan segelintir penyair veteran, atau penyair tua macam saya, takut kami malu.

Sasterawan Negeri Kelantan ini juga menjelaskan bahawa hal tersebut merupakan salah satu daripada lapan faktor yang menyebabkan mutu puisi sentiasa dalam keadaan malar dan tidak dinamik.

Faktor kedua ialah tidak pernah membaca secara lengkap dan menyeluruh kumpulan puisi daripada penyair-penyair handal dan seterusnya tidak akan dapat meneliti kreativiti para penyair terkemuka tersebut.

Hanya sekadar mengetahui nama seperti Anwar Ridhwan, Baha Zain, Kemala, Latiff Mohidin, Muhammad Haji Salleh, Rudi Mahmood, T. Alias Taib, Rahman Shaari, atau penyair luar negara seperti Abdul Hadi W.M., Goenawan Mohamad, Sapardi Djoko Damono, dan Subagio Sastrowardoyo dari Indonesia, tetapi tidak mengambil berat dan mengamati karya-karya besar mereka. Dalam pergaulan, perbualan dan pengamatan, saya biasa menemui dan tahu para penyair veteran dan muda yang tidak pernah memiliki sebuah kumpulan puisi pun daripada mana-mana penyair tanah air yang disebutkan.

Beliau juga menambah bahawa ada penyair yang tidak mengetahui pun nama-nama tersebut, terutamanya penyair terkemuka dari Indonesia, sedangkan karya mereka juga bermanfaat untuk dipelajari.

Selain itu, beliau juga melahirkan kekesalannya terhadap sikap tiada kesungguhan tersebut yang hanya sekadar membaca puisi para penyair lain melalui akhbar dan majalah sahaja. Majalah Dewan Sastera pula tidaklah dikejar pada setiap bulan untuk dibaca.

Sepanjang bimbingan, Rosli K. Matari lebih berminat menggunakan istilah ‘kraf puisi’ yang baginya bermaksud keterampilan dalam seni cipta puisi, berbanding kreativiti yang dianggapnya sebagai daya usaha mencipta.

Selanjutnya, faktor ketiga ialah mencipta puisi dan membaiki draf puisi dengan kadar yang cepat seperti sekali atau dua kali sahaja. Oleh hal yang demikian, penciptaan puisi mudah selesai bagai memadai dengan sekali duduk sahaja. Ujarnya,

Proses kreatif puisi yang cepat selesai tidak akan menjanjikan mutu.

Jelas beliau, bukanlah mustahil kraf puisi dalam draf masih boleh didinamikkan lagi. Aspek-aspek seperti pertimbangan diksi yang lebih relevan, ketepatan dan keindahan pengucapan yang lebih kukuh, malah kewajaran menambahkan emosi dan sebagainya perlu diteliti dengan lebih lama lagi.

Jika draf puisi itu cepat selesai, adakah mungkin karya itu kurang bermutu? Beliau menjawab secara berkias, “Saya fikir, ya, mungkin demikian, seperti menaiki kereta api laju. Anda tidak sempat mengembara.”

Faktor keempat ialah tidak beminat menyimpan draf puisi bagi tempoh yang lebih lama untuk terus diperbaiki lagi.

Jikalau anda tidur malam ini, esok hari lazimnya hari panas. Tetapi, ada kemungkinan lusa hujan. Jarak hari dan masa memberikan peluang cuaca berlainan.

Beliau mengibaratkan sedemikian terhadap ketabahan mengambil masa membaiki draf untuk meningkatkan kualiti puisi. Ketekunan dan tempoh masa yang diambil sudah tentulah berpotensi menghasilkan draf yang lebih bermutu.

Sikap bergegas mengirimkan karya kepada media penerbitan merupakan faktor kelima yang menyebabkan puisi kurang bermutu. Ujarnya,

Editor mungkin menyiarkan karya itu bertujuan memberikan peluang dan menggalakkan lagi kreativiti, sedangkan peluang awal sudah sedia ada terlebih dahulu untuk meningkatkan lagi mutunya sebelum dikirimkan. Tetapi peluang dan ruang masa itu tidak dipedulikan dan diabaikan kerana tidak sabar menunggu karya tersiar.

Faktor keenam ialah tidak berminat dalam meluaskan bacaan dan memperkaya pengetahuan. Bacaan dalam pelbagai bidang penting sebagai ilmu bantu kerana penyair harus mengambil berat akan isu semasa berkaitan dengan tanah air dan antarabangsa di samping menambahkan pengetahuan agama, falsafah, sejarah, sosiologi, psikologi, kebudayaan, politik, sains dan lain-lainnya.

Kepekaan, taakulan dan kebijaksanaan boleh diperkuatkan melalui disiplin ilmu bantu. Bukanlah mustahil bahawa hal ini berfaedah bagi memperluas perspektif pemikiran dan mematangkan daya pengucapan puisi.

Tidak memiliki ilmu dan pengetahuan luas tentang selok-belok kraf puisi merupakan faktor yang ketujuh. Menurutnya, dengan mengetahui pelbagai jenis bentuk dan gaya bahasa puisi bukanlah penentu bahawa seseorang akan mampu menghasilkan puisi yang bermutu.

Kraf puisi ialah aspek kebijaksanaan tinggi dalam kreativiti. Struktur puisi harus direlevankan kerana bentuk puisi berbagai-bagai. Malah, suatu kesilapan jika semata-mata berfikir bahawa puisi harus berbentuk bebas dan tidak perlu memanfaatkan bentuk terikat.

Selain itu, beliau juga mengujarkan bahawa pengolahan bahasa penting bagi memberikan puisi dinamik dan bermutu pengucapannya. Kebijaksanaan diperlukan bagi mempertimbangkan kewajaran keindahan bahasa dengan makna. Puisi dengan matlamatnya semata-mata melahirkan pandangan, suara dan emosi penyair dengan lancarnya belum tentu membolehkan kraf puisi itu bermutu.

Kraf puisi adalah berkaitan dengan mementingkan cara sesebuah puisi itu harus diciptakan, bukannya mementingkan tentang apa yang ingin disuarakan dan dituliskan.

Sikap tidak menambahkan usaha bagi mempertingkatkan kemahiran kraf puisi merupakan faktor kelapan penyebab puisi kurang bermutu dan bersifat malar. Enggan acap membaiki draf ialah faktor penyebab tersebut, manakala klise merupakan isi karya yang wujud akibat faktor itu. Ujarnya, jika tekun membaiki, bukan mustahil masalah klise itu dapat disedari dan seterusnya dielakkan. Ujarnya lagi,

Kesusasteraan merupakan suatu kegeniusan, termasuklah pembaca yang juga merupakan golongan genius. Oleh itu, pembaca sanggup menyediakan diri untuk membaca, meneroka, memahami, menikmati dan menghayati signifikan kesusasteraan.

Beliau menerangkan tentang kegeniusan kraf puisi yang berperanan dalam mempertingkatkan kecerdasan imaginasi, persepsi dan apresiasi khalayak pembaca. Salah satu contoh puisi A. Aziz Deraman dipetik beliau, ‘Sunyi sepi pagi/menusuk ke hati/penambang menanti’.

Khalayak dapat berkongsi luasnya imaginasi landskap alam ‘pagi’, merenung keadaan suasana yang masih ‘sunyi’ dan gambaran ‘penambang’ yang bekerja sebagai pengayuh perahu di samping merenung gambaran emosi serta menikmati keindahan puisi daripada segi rentak rima. Terdapat taakulan lain yang boleh mencerdaskan pembaca, iaitu elemen tersembunyi berkaitan dengan sungai, desa, dan keadaan masyarakat. Alam yang tentu masih sangat dingin dan tenang.

Selain itu, beliau juga memetik baris salah sebuah sajak Goenawan Mohamad,  Menyaksikan kontras kabut/ dan cahaya tua/ lampu-lampu jalan menuju plaza. Beliau menerangkan bahawa pengucapan ‘kontras kabut’ ini bermaksud menyembunyikan hati atau perasaan penyair yang tidak tenteram. ‘Cahaya tua’ pula menggambarkan kesedihan dan muram. ‘Lampu-lampu jalan menuju plaza’ pula menunjukkan kesedihan yang dialami itu masih berpanjangan dalam jiwa penyair semasa dalam perjalanan ke destinasi yang dituju.

Sasterawan Negeri Kelantan ini membimbing dengan tumpuan terhadap pelbagai topik. Kraf puisi merupakan sebahagian daripada topik yang ditumpukannya berkaitan dengan kreativiti mencipta puisi bermutu. Antara topik lain ialah kerelevanan cara pengucapan puisi, keindahan makna, pencelahan emosi, kepentingan mencerdaskan pembaca, keberkesanan pengucapan, serta cara untuk mendinamikkan lagi pengucapan selepas mendraf.

Sehingga selesai bengkel, peserta menyedari bahawa tokoh ini sama sekali tidak memberikan penekanan terhadap struktural puisi; tema, persoalan, bentuk, gaya bahasa, nada dan sebagainya. Ketika ditanyakan hal berkenaan, beliau merumuskan:

Pengetahuan struktural itu penting. Namun, anda tidak akan menjadi penyair berwibawa dengan menyibukkan diri mempelajari struktural puisi. Itu adalah perkara yang terdapat dalam puisi setelah anda menciptanya. Yang anda harus belajar ialah bagaimana cara hendak mencipta puisi, bukan hendak mahir mengetahui struktural puisi.

Rosli K. Matari digelar sebagai ‘Profesor Puisi’ oleh para sahabat penulis di Kelantan, sejak dari tahun 1980-an dahulu lagi. Bengkel ini dianjurkan bersama-sama oleh Nusa Center dan KIAS yang seterusnya akan berusaha menerbitkan antologi karya peserta.

_________________________

Nik Mohd Hafiz Abdullah, salah seorang peserta luar mengikuti bengkel ini. Baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan cerpen dan puisi. Beberapa buah karyanya pernah tersiar dalam pelbagai media. Sekarang, bertugas sebagai juruteknik kardiovaskular di Hospital Pakar KPJ Perdana, Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.