Oleh Siti Hanim Yunus
3 September 2022, 23:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2022, YBrs. Tuan Haji Razali bin Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada petang tadi melancarkan tujuh judul buku cerita rakyat negeri Kelantan terbitan DBP tahun 2021 dan 2022 di ruang legar pusat beli-belah Mydin, Tunjong, Kota Bharu, Kelantan. Buku cerita tersebut merupakan daya inisiatif para penulis tempatan negeri Cik Siti Wan Kembang, iaitu:

  • Umbuk dengan Tempurung Emas: Ismail Daud
  • Asal Usul Nama Kampung Bunut Susu: Norhayati Daud
  • Gunung yang Terbang: Noor Anita Salleh
  • Puteri Kota Tegayong: Che Noorwani Che Wil
  • Puteri Tanah Serendah Sekebun Bunga: Che Noorwani Che Wil
  • Raja Sakti Naga Berseru: Nizhamuddin Mohd Zain
  • Tikar Mengkuang Nenek: Ahmad Safarman Dollah
Cerita rakyat
Tujuh judul cerita rakyat Kelantan yang dilancarkan.

Penerbitan cerita rakyat merupakan satu daripada usaha DBP dalam memartabatkan dan melestarikan nilai kearifan tempatan agar tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Hal ini demikian kerana sastera rakyat yang diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi oleh masyarakat tradisional melalui lisan perlu didokumenkan untuk diwarisi oleh generasi akan datang. Kepentingan cerita rakyat dalam membina pemikiran masyarakat pada masa lalu perlu diakui oleh masyarakat kini kerana isi dan plot ceritanya sarat dengan nilai tempatan yang bermanfaat untuk kehidupan. Melalui cerita rakyat seperti cerita asal usul, mitos dan legenda, masyarakat dapat mengetahui asal usul dan sosiobudaya sesebuah masyarakat termasuklah perkembangan dan ketamadunan bangsanya.

Pengarah Jabatan Penerbitan DBP,  Tuan Haji Razali Che Mat menyampaikan ucapan sebelum merasmikan majlis pelancaran buku cerita rakyat Kelantan.

Menurut Pengarah Jabatan Penerbitan, Tuan Haji Razali Che Mat:

DBP sentiasa mempergiat pelbagai usaha untuk meningkatkan jumlah bahan persuratan dalam pelbagai ilmu untuk setiap lapisan masyarakat termasuklah buku bacaan kanak-kanak. Kita memang menerbitkannya, iaitu Jabatan Penerbitan khususnya sekarang ini mempergiat bahan bacaan kanak-kanak. Tanpa buku, mereka tidak dapat membaca dan tidak mendapat ilmu.

Tambah beliau lagi, dalam kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi pada hari ini, DBP akan menerbitkan buku kanak-kanak dalam bentuk interaktif supaya ibu bapa yang sibuk dapat memuatkannya dalam aplikasi bagi memudahkan kanak-kanak membaca buku digital tersebut.

Pengarah DBP Wilayah Timur, Encik Mohd Azam bin Juhari yang hadir dalam majlis tersebut menjelaskan bahawa DBP mengalu-alukan semua pihak yang berminat untuk menghasilkan karya dengan DBP, termasuklah buku kanak-kanak. Bagi meningkatkan pengkaryaan dalam kalangan masyarakat tempatan, DBP Wilayah Timur akan mengadakan bengkel penulisan secara berkala dalam memastikan bakat dalam kalangan masyarakat dapat diserlahkan.

Puan Norhayati Daud, penulis buku Asal Usul Nama Kampung Bunut Susu yang turut hadir dalam majlis berkenaan mengharapkan buku cerita sebegini lebih banyak lagi diterbitkan pada masa akan datang kerana generasi kini tidak lagi mengenali budaya pada zaman dahulu seperti cara mengukur kelapa, permainan ketingting dan seumpamanya. Ujar beliau, “Penerbitan buku cerita rakyat diharapkan berupaya mengangkat nilai kearifan tempatan agar generasi muda dapat mendepani arus kehidupan dengan menerapkan manfaat dan nilai yang diperoleh.” Hal ini sebabkan kearifan tempatan dalam cerita rakyat juga memiliki nilai komersial yang tersendiri kerana nilai kebudayaan masyarakat dapat dipromosikan ke persada antarabangsa.

Dalam majlis yang sama, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP turut merasmikan Program Generasiku Bestari bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan peringkat negeri Kelantan. Majlis tersebut yang dianjurkan oleh DBP Wilayah Timur dengan kerjasama Mydin Mall, Kelantan fm., Kumpulan Sri Dewi dan Pratahfiz PASTI al-Hadiy turut dihadiri oleh Puan Mariati Josepha binti Mustafa, Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Encik Mohd Samsul Baharin bin Isa, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan dan Encik  Hamdan bin Abd Kadir, Penolong Pengarah Bahasa, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

Para penulis buku cerita rakyat negeri Kelantan bersama-sama Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah DBP Wilayah Timur, Encik Mohd Azam bin Juhari dan tetamu kehormat yang lain.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.