26 Ogos 2022, 09:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pendeklamasian puisi kini begitu hebat disemarakkan di mana-mana sahaja di Kuala Lumpur, Ibu Kota Buku Dunia sebagai bukti betapa suburnya budaya keilmuan serta semangat cintakan bahasa. Program Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia yang dilaksanakan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), IKK, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan kerjasama DBP dan Royale Chulan Kuala Lumpur (Malam Kemuncak) merupakan kesinambungan semangat daripada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang telah diadakan dari 20 Mei-24 Mei 2022 tahun ini.

Persembahan puisi artistik bertema perjuangan Keluarga Malaysia pada bulan Ogos dan Disember 2022 bertepatan dengan sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia dan Hari Malaysia. Persembahan ini melibatkan karya-karya asli yang membawa tema perjuangan untuk memajukan rakyat dan menanamkan semangat patriotisme serta kecintaan kepada tanah air. Di samping itu, persembahan ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda dalam penulisan puisi.

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw.

Menurut Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pengerusi Bersama Program,

Objektif program ini adalah untuk mewujudkan semangat cintakan negara melalui persembahan puisi artistik berimpak tinggi di setiap peringkat sekolah, IPTA dan IPTS. Penganjuran program ini juga kelak akan dapat memartabatkan kesusasteraan dan bahasa Melayu.

Program kemuncak Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia ini akan diadakan pada 26 Ogos 2022 (Jumaat), pukul 8:30 malam dan disiarkan secara langsung menerusi media sosial rasmi DBP Malaysia dan juga boleh diikuti menerusi Jendela DBP. Penampilan khas oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri untuk mendeklamasi puisi nukilannya bertajuk “Keluarga Malaysia” sudah tentu amat dinanti-nantikan oleh para pejuang dan peminat puisi tanah air.

Pelancaran Lagu Puisi Keluarga Malaysia yang dinyanyikan oleh Heidi Ho Mun Yee, pelajar Universiti Sunway dan Meshanti Ravi Shankar, pelajar ASWARA semestinya juga akan menjentik hati rakyat Malaysia. Puisi khas bertajuk “Putera Lubok Kawah” akan dideklamasikan tiga pelajar ASWARA, iaitu Shuaib Shahzaman Bakti Azlan, Vinton Jonah Low dan David Aleksander Lopez.

Para penyair terkenal dan juga tokoh-tokoh deklamasi puisi pelbagai bangsa yang akan bergandingan dengan karyawan baharu mampu menarik perhatian generasi sekarang dalam usaha menghargai seni puisi ini serta sekaligus dapat menyemarakkan rasa cinta kepada negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.