Oleh Rahman Shaari
22 Ogos 2022, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menapak di taman ilmu
apakah sarjana bagimu?

Perhatian perlu tekun,
ini kumpulan pemantap diri
pembaca rapi pendengar teliti.

Sarjana pemilik bahasa tersusun
membalut ilmu dikumpul bertahun.

Daging dan darah,
ditenung tepat mata biologis,
runsing dan marah,
kerutan bersirat di dahi psikologis,
ke kamar minda ilmu dibawa
saintis fizikal periksa benda
saintis sosial bicara tanda.

Menapak di taman pengajian,
para geosaintis
tumpuannya ke komposisi bumi
impian sekitar sempurna,
di minda geobencana.

Sastera mencungkil budaya
mahalnya peradaban,
ekonomi meneliti sebaran rezeki
kewangan dan komoditi,
permintaan mendorong pengeluaran.

Segalanya dikupas ke dasar
ilmu luas tersebar.

Sarjana dengan bidang berbeza,
kukuh kesungguhan,
tujuan sama, memahami
ciptaan Yang Esa,
dan bertindak menuju sejahtera.

Rahman Shaari

20 Julai 2022

Nota: Siaran puisi ini sempena Karyawan Bulan Ini khas Dewan Sastera Bil.09/2022 (September 2022), Sasterawan Negara ke-15 Dato’ Rahman Shaari. Baca Puisi Pilihan beliau di sini.

 Kredit Foto: Edwin Andrade/Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.