Oleh Nor Asiya Nasir
17 Ogos 2022, 15:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kajang – “Setiap pemuisi diseru supaya belajar daripada guru dengan mengenal pasti kekuatan serta kelemahan yang ada dalam karya mereka”, demikian ditegaskan Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh ketika berucap dalam program ‘Santai Mengopi, Mengunyah Puisi’ anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) di kediaman beliau di Impiana Resort pada 7 Ogos yang lalu.
Antara hadirin yang hadir dalam program ‘Santai Mengopi, Mengunyah Puisi’ anjuran PEMUISI.
Menurutnya, kaedah pembelajaran secara terus itu akan memberikan hasil yang lebih berkesan. Beliau mencadangkan supaya kumpulan kecil diadakan untuk berbincang tentang karya sendiri, yang kelak akan ditemui kekuatan dan kekurangan karya tersebut.
Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh ketika membicarakan tentang puisi.
Saya sendiri belajar daripada guru-guru saya. Guru-guru saya di Amerika melihat setiap perkataan dan mencatat apa-apa yang baik dan kurang baik. Apabila balik ke Malaysia, saya mula praktis. Tetapi orang Melayu tidak biasa belajar dengan secara sangat terperinci supaya kita tahu yang mana salah dan kekuatan kita. Biasanya orang Melayu segan untuk melihat karya sendiri. Kita terpaksa buat untuk mencapai karya yang lebih baik.
Beliau seterusnya menyentuh tentang karya bangsa Melayu yang cantik setanding dengan bangsa lain di dunia. Beliau menyatakan bahawa kira-kira satu pertiga daripada usianya diisi dengan kembara mencari pengetahuan dan pengalaman di luar negara.
Dahulu saya banyak berada di luar negara. Saya ingin melihat negeri mereka. Dalam perjalanan kembara pencarian saya di perpustakaan di London, saya terjumpa sebuah manuskrip Salalatus Salatin, karya kita yang cantik sekali. Tetapi ‘orang putih’ tidak pernah beritahu kita. Cantiknya secantik sastera Parsi, sastera Arab dan lain-lain. Lalu saya pun kembali kepada fikiran Melayu dan baca buku-buku Melayu. Saya menikmati ukiran kayu hasil tangan orang Melayu yang saya sukai.
Selain itu, beliau juga menyentuh tentang rumah kediamannya. Beliau memperolehi ketenangan di situ dan beberapa buah karya telah berjaya dihasilkan. Baginya, suasana tenang itu amat penting dalam mencipta karya.
Saya berada di sini sudah beberapa tahun. Saya rasa selesa di sini kerana banyak oksigen dan boleh bernafas lebih lapang. Sudah ada beberapa buah buku yang saya tulis di sini dan saya rasa ketenangannya sangat membantu dan membenarkan saya melalui lorong yang saya inginkan.
Secara berseloroh, beliau juga menyentuh kemunculan beberapa ekor binatang yang ingin merebut oksigen di kawasan rumahnya.
Saya selalu cerita bahawa kadang-kadang saya menang hadiah kerana sewaktu saya menulis itu, saya keluar pergi bilik air. Monyet masuk dan dia pula yang menaip. Apabila dia taip itulah yang buat saya menang hadiah!
Keadaan rumahnya yang terletak di kawasan yang dipenuhi metafora juga telah membantu ketenangannya dalam berkarya. Beliau menjelaskan lanjut bahawa metafora yang diambil daripada alam seperti pokok boleh dijadikan bandingan dalam bentuk puisi.
Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim ketika menyampaikan ucapan.
Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim memberikan penghargaan kepada SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan isteri beliau yang menyambut usaha PEMUISI mengadakan program tersebut di kediaman mereka.
Tujuan program ini diadakan bagi merapatkan hubungan mesra ahli PEMUISI dengan SN  Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang juga merupakan Penasihat PEMUISI.
Seramai tiga puluh orang pemuisi telah menyertai program tersebut. Selain mendengar bicara beliau, acara baca puisi dan persembahan lagu puisi juga telah diadakan. Antara pemuisi yang mengambil bahagian termasuklah Dato’ Wanrazuhar, A Ghani Abdullah, Marzelan Perindu Seni, Harlym Yeo, Ijamala MN, Yanz Hamzah, Maslinah Yusof, Mohamad Nasser Mohammed, Man Bakri, Pena Permai, Amir, Muhammad Abu Bakar, dan Emilia Murni.
Di akhir program, PEMUISI telah menyampaikan cenderamata buku dan majalah kepada SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Hj Salleh sebagai tanda kenang-kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.