Oleh Harlym Yeo
15 Ogos 2022, 18:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 23.0 anjuran kerjasama antara Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM), Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Alumni Bengkel Puisi Merdeka, dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bertemakan “Puisi dalam Pengucapan Nurani” telah diadakan secara dalam talian, baru-baru ini.

Program bulanan edisi bulan Ogos itu bersiaran melalui pelantar Zoom ke Facebook Pemuisi Berkarya pada 8 Ogos lalu dengan menampilkan penerima S.E.A. Write Award 2019, Dr. Shamsudin Othman sebagai panel pembicara, manakala Pengarah Pusat Budaya dan Seni UUM, Asmawiza Haji Hussin sebagai moderator.

Konsep puisi itu sebenarnya berada pada suatu takah yang sangat luar biasa pengucapannya. Ia bertolak daripada kesantuan pengarang itu memilih kata-kata terbaik dan akhirnya dapat dikarang dalam bentuk rangkap. Ini ialah suatu kebijaksanaan atau keupayaan pemikiran yang cukup disedari dan dimesrai oleh pengarang itu sendiri.

Ujar Dr. Shamsudin ketika membicarakan tentang puisi. Seterusnya beliau menimbulkan persoalan di manakah letaknya keindahan puisi.

Adakah terletak daripada segi permainan rima? atau pemilihan diksi sehingga menjadikan sesebuah puisi itu sangat luar biasa sentuhannya?

Shamsudin menegaskan bahawa puisi itu sendiri merupakan pengucapan indah yang perlu diakui dan diakuri. Menurutnya, puisi merupakan pengucapan hati nurani yang hadir daripada keikhlasan pengarang. Puisi yang istimewa dan luar biasa itu berlandaskan kejujuran dan nilai murni.

Jelas beliau lagi, untuk menimbulkan kesedaran kepada khalayak pembaca, puisi perlu digarap dan berlandaskan nilai murni, agama, dan akal budi yang tinggi dalam meluahkan emosi yang jujur.

Jiwa dan batin penyair telah diikat dengan nilai kemanusiaan, kesantunan, dan keagamaan yang sangat tinggi. Selain itu, nilai keindahan bahasa perlu ada dalam sesebuah pengucapan puisi.

Seterusnya, beliau menerangkan bahawa hasil karya puisi yang baik mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi tanpa menggunakan bahasa yang kasar. “Hebatnya kesusasteraan itu adalah kerana hebat bahasanya,” jelasnya lagi.

Beliau menyarankan kepada para pemuisi yang berhasrat untuk mengembangkan bakatnya agar banyak membaca karya-karya yang diperakui kehebatannya. Selain itu, beliau juga meluahkan kekesalan apabila mendapati segelintir penulis memikirkan bahawa membaca karya-karya klasik itu membuang masa.

Sepatutnya kita harus melihat pemikiran yang dibawa oleh karya-karya tersebut. Apabila seseorang pengarang membaca karya-karya klasik, semasa, dan bersifat merentas sempadan, dia telah melihat tiga pemikiran yang berbeza.

Terdahulu sebelum segmen bual bicara, para penonton dihiburkan dengan 20 persembahan puisi Melayu daripada pemuisi tempatan dan juga peserta dari Indonesia, Singapura, dan Brunei Darussalam.

Turut menyantuni program itu adalah Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan yang mendeklamasikan persembahan puisi berjudul “Sesal Selepas Menang”. Manakala mantan Naib Canselor Universiti Malaya ke-8, Kapten Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob mendeklamasikan sajak Wanrazuhar berjudul “Sebatang Pohon Tua” dan puisi Harlym Yeo bertajuk “Panglima Puisi 2”.

Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim juga berkongsi kisah tentang buku kumpulan puisi dan album lagu-lagu puisi beliau yang dilancarkan oleh YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), baru-baru ini.

Sebagai penganjur utama program itu, UUM juga melibatkan mahasiswanya mendeklamasikan hasil karya masing-masing bertemakan patriotik sempena sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara yang akan menyusul. Antara yang ikut serta ialah Nur Nabihah binti Mohamad Nawawi (Ini Malaysia!), Muhammad Hussin Bin Aliffin (Aku Bangga), Nur Waheeda binti Ahmad Sharafae (Negaraku Merdeka), dan Zulaikha Razleen Binti Rozayni (Warga Merdeka). Manakala pensyarah UUM sendiri, Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail membawa sajak “Epilog Suatu Perjuangan” karya S. Othman Kelantan.

Exco PEMUISI dan pensyarah UiTM Shah Alam, Dr. Zainatul Shuhaida menyajikan persembahan beliau dengan karyanya bertajuk “Rahsia”. Program kali itu juga diserikan dengan penampilan doktor pergigian, Dr. V. Nedunchelian yang mendedikasikan karya sendiri berjudul “Naib Canselor Anak Penoreh Getah”. Anak beliau, Nagulan Nedunchelian, pelajar yang sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Muzik (Produksi Audio), ASWARA membangkitkan suasana kemerdekaan negara melalui persembahan pembuka tirai program itu melalui karya Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob berjudul “Negara Kita, Kita Bina”.

Dari Sibu, Sarawak, Rusdi MN menyampaikan persembahan melalui sajak karya sendiri bertajuk “Malaysiaku Teguh Merdeka”.

Selain daripada peserta tempatan, program itu juga berjaya menampilkan persembahan pemuisi luar negara seperti dari Indonesia yang diwakili oleh Ahmad Jami’ul Amil (“Pahlawan Tak Dikenal” karya Toto Sudarta Bachtiar), Mulyo Zubir (“Tanpa Pilih Kasih”), Muhammad Lucky Fredyansyah (“Karawang Bekasi” karya Chairil Anwar), Abdul Japar (Kita Adalah Pemilik Sah Republik Ini” karya Faufik Ismail), Muslailaty (“Pernik Kehidupan”), dan Zab Bransah (“Indahnya Negeriku”). Manakala dari Singapura, pasangan suami isteri Sam Sumardi dan Ratnasam Sib II menghiburkan penonton dengan persembahan lagu puisi karya Ratnasam Sib II berjudul “Salam Maal Hijrah”. Sosonjan A. Khan dari Brunei Darussalam pula menyampaikan puisi berjudul “Lelaki yang Mengendong Setia”.

Program yang berlangsung lebih dua jam itu dikendalikan oleh pengacara gandingan, iaitu Harlym Yeo dan Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail. Program itu turut disokong oleh rakan strategik dari negara China, Sinchuan International Studies University, dan Indonesia yang terdiri daripada Universitas Muhammadiyah Prof. Dr. HAMKA (UHAMKA), Universitas Trunojoyo Madura, dan Universitas Pendidikan Indonesia.

Bakal bersiaran pada 9 September 2022 untuk edisi September yang akan datang, program ‘Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 24.0’ dijangka menampilkan Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sebagai ahli panel untuk segmen bual bicaranya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!