9 Ogos 2022, 16:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Suatu aspek unik dan menarik yang terdapat dalam pengucapan puisi Islam yang harus disedari ialah barisan penyair Islamik yang tidak mengabaikan pemikiran rencam lain yang juga turut penting. Manakala, para penyair umum pula, tidaklah mengabaikan sama sekali akan pengucapan puisi Islamik.

Sasterawan Negeri Kelantan, Rosli K. Matari menegaskan demikian dalam pembentangan pertama pada Hari Sastera ke-18 yang bertemakan “Islam dan Sastera Kebangsaan” di Kota Baharu, Kelantan baru-baru ini.

Jika kita mengambil karya Jalaluddin Rumi dari luar sana, pengucapannya semata-mata menjurus kepada puisi Islam. Tetapi hal ini tidak berlaku di tanah air kita.

Rosli K. Matari ketika membincangkan tentang puisi Islam.

Semua penyair Islam di tanah air, sama ada disedari atau tidak oleh para pengkritik dan pengkaji, ialah kerencaman pengucapannya. Hal tersebut tidak mengehadkan kreativiti dan pemikiran puisi mereka sebagai puisi Islam semata-mata.

Beliau menerangkan dalam kertas pembentangannya bahawa pelbagai pengucapan tentang kenangan diri, kemanusiaan, kemasyarakatan, alam, semangat dan perjuangan, peristiwa besar dan bersejarah, kesan kunjungan, dan sebagainya yang tidak bertujuan ditakrifkan sebagai puisi Islam secara keseluruhannya turut tidak terlepas daripada pengamatan, taakulan, dan rakaman oleh para penyair Islam ini. Dalam erti kata lain, kebanyakan penyair Islam di tanah air sebenarnya tidaklah semata-mata memusatkan puisi mereka sebagai puisi Islam. Mereka bersikap terbuka dan berpandangan luas tentang pemikiran keislaman dan umum.

Jangan sama sekali menyangka barisan penyair umum lain mengabaikan puisi Islamik kerana mereka juga turut menghasilkan puisi pemikiran Islam.

Beliau yang juga merupakan penerima Anugerah SEA Write Award 2021 menganggap hal ini merupakan suatu “silang indah” yang unik yang wujud dalam suara perkembangan puisi mutakhir di tanah air.

Dalam bicaranya, beliau menyentuh tentang penyair Abdulhadi Muhamad. Meski lebih terkenal sebagai penyair Islamik, namun suaranya berdegar juga pada pelbagai pemikiran rencam penting yang lain, terutama puisi yang berkaitan dengan sosial dan politik. Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh pula, meski pemikiran umumnya lebih besar, namun beliau tidak mengabaikan serta turut mengucapkan puisi Islamik yang indah. Hal ini dapat dirujuk dalam beberapa buah puisi beliau yang tercipta di Mekah dan Madinah.

Selain itu, beliau turut menyentuh keunikan persilangan ini dalam kepenyairan Dato’ A. Aziz Deraman, Darma Mohamad, Meochtar Awang, Rahimidin Zahari, Rudi Mahmood, SN Dato’ Kemala dan Wan A. Rafar.

Beliau juga turut membariskan beberapa penyair lain yang dominan dan konsisten mengisi sejarah dan perkembangan puisi Islam di tanah air. Antarnya ialah Ashaari Muhammad, A. Aziz Deraman, Abdulhadi Muhamad, Abham T.R., Arif Mohamad, Darma Mohamad, Lutfi Ishak, Marhan, Mujahid Adil, Nahmar Jamil, Najmi, Norhisham Mustaffa, Rizi S.S, Shafie Abu Bakar, Shamsuddin Othman, Suhaimi Haji Muhammad, Suhur Antarsaudara, dan Wan Muhammad. Menariknya, menurut beliau, sebahagian besar mereka terdiri daripada penyair Kelantan.

Di samping itu, beliau menegaskan bahawa pengucapan puisi Islamik mutakhir dikejutkan oleh Sutung Umar RS (Allahyarham), Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said dan Sasterawan Negara Dato’ Anwar Ridhwan.

Beliau menerangkan bahawa Allahyarham Sutung Umar RS harus ikut tersenarai dalam jajaran baris penyair Islam. Walaupun kebanyakan puisi beliau menghala kepada pelbagai rencam pemikiran yang luas, akan tetapi harus disedari bahawa karya beliau iaitu Nyanyian Mazmur (ITBM: 2019) merupakan kumpulan puisi yang penting dalam dunia puisi Islam tanah air.

Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan pula menurut beliau tampak agak lewat sedikit menampakkan dirinya dalam hal ini. Namun begitu, dengan kemunculan buku kumpulan puisi Tercipta dari Tanya (ITBM: 2018), buku ini sarat dengan kecenderungan pemikiran kesufian. Menurut beliau lagi, buku ini merupakan antara kumpulan puisi yang unggul di tanah air dalam pemikiran ini.

Manakala, Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said, meski sehingga selama empat dekad masih belum dianggap dominan dalam kreativiti puisi Islam, namun menjelang hujung tahun 1990-an, fenomena ini mendadak berubah. Kemunculan kumpulan puisi besar beliau, Al-Amin (DBP: 1999) yang berkisarkan riwayat hidup Rasulullah SAW sangat mengejutkan dan seterusnya tidak dapat diabaikan bahawa beliau termasuk dalam barisan penyair tersebut.

Menjawab pertanyaan peserta berkenaan takrif Kesusasteraan Islam, beliau menyatakan bahawa takrif yang dikemukakan oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas, Prof. Emeritus Tan Sri Mohd Kamal Hassan, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Kemala dan Dr. Ismail Faruqi merupakan antara takrifan yang menarik dan tepat untuk dirujuk.

Selainnya, beliau juga turut memberikan takrifan menurut pandangannya sendiri. Beliau berpendapat, penyair dan pengarang Islam ialah orang yang beragama Islam dan menghasilkan karya dalam konteks pemikiran Islam bertujuan menyampaikan perkara berikut:

  • Ketauhidan untuk mengagungkan keesaan Allah SWT.
  • Memuliakan kerasulan dan kenabian.
  • Menghayati alam ciptaan Ilahi.
  • Merenung iktibar sejarah dan tamadun Islam.
  • Kesedaran dan keinsafan diri.
  • Teladan nilai murni dan moral keislaman.

Semua perkara tersebut dapat mendidik masyarakat kepada kebenaran, kemuliaan, kemurnian dan keindahan hidup. Di samping itu, semua aspek yang dinyatakan juga berkaitan dengan akhlak, taakulan diri, kecerdasan pemikiran serta penghayatan dan penjiwaan nurani keislaman. Seterusnya, takrifan yang diberikan oleh beliau juga dapat memenuhi manfaat serta kepentingan bagi individu muslim, masyarakat dan ummah, serta memberikan signifikan kepada keagungan peradaban Islam.

Oleh yang demikian, jelas beliau, puisi Islam dan Kesusasteraan Islam umumnya selari dengan keperluan, motif dan signifikan dakwah Islamiah.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.