Oleh Nor Asiya Nasir
8 Ogos 2022, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – “Pelantikan juri pertandingan puisi hendaklah daripada kalangan mereka yang telah diiktiraf dan mempunyai sijil melalui kursus khas yang berkaitan dengan perjurian”. Demikian dinyatakan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran ketika berucap merasmikan Kursus Profesional Perjurian Puisi Peringkat Kebangsaan di Stor Teater DBP pada 31 Julai 2022 lalu.
Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran ketika berucap merasmikan program tersebut.
Menurutnya, selama ini tidak ada kursus latihan yang khusus berkaitan dengan penjurian dalam pertandingan puisi. Pemilihan pelantikan juri pertandingan puisi yang dibuat hanya berdasarkan andaian bahawa seseorang itu layak menjadi juri.
Selama ini kita memilih juri berasaskan andaian kita yang seseorang itu layak menjadi juri. Usaha yang dilakukan PEMUISI ini melengkapkan dan merupakan suatu usaha permulaan yang sangat signifikan dan bermakna dalam usaha melahirkan juri yang profesional dan berwibawa. Saya harap juri-juri yang dilatih oleh PEMUISI dan DBP ini akan dimanfaatkan oleh pihak-pihak yang menganjurkan pelbagai pertandingan deklamasi puisi. Kita telah melatih juri secara khusus untuk menjadi juri dalam pertandingan deklamasi puisi. Juri yang dilatih ini lebih baik berbanding dengan orang lain yang ‘hanya main rasa-rasa sahaja’. Apabila rasa ‘sedap’ terus bagi markah tanpa mengikut kaedah yang sistematik. Bagi saya, pendedahan dan kaedah yang diajar dalam kursus ini amatlah penting.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa DBP dan PEMUISI akan menjadikan kursus ini lebih mantap bagi tujuan melahirkan juri puisi profesional yang diiktiraf seperti Munsyi Dewan. Perkara ini boleh dilakukan dengan adanya pakar puisi seperti Sasterawan Negara Datuk Rahman Shaari, Profesor Madya Dr. Norhayati Ab Rahman, pegawai DBP, ahli akademik, deklamator kebangsaan dan individu lain. Kaedah pengendalian kursus akan disemak dan dimasukkan unsur pembelajaran yang penting serta peserta juga mungkin akan menduduki ujian.
 Kita akan buat seperti ‘Munsyi Juri Puisi’ yang diiktiraf dan mungkin akan ada ujian, penilaian dan sebagainya. Jika ada pertandingan puisi, munsyi yang diiktiraf inilah yang akan dipilih.
Presiden PEMUISI, Dato’ Dr Radzuan Ibrahim sedang berucap.
Sementara itu, Presiden PEMUISI Dato’ Dr Radzuan Ibrahim ketika berucap dalam majlis yang sama melahirkan penghargaan kepada Ketua Pengarah DBP dan seluruh warga DBP yang telah memberikan kerjasama kepada PEMUISI dalam menggerakkan aktiviti dengan jayanya.
Saya bagi pihak PEMUISI merakamkan jutaan terima kasih kepada YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Ketua Pengarah DBP yang sudi hadir berucap dan merasmikan Kursus Profesional Perjurian Puisi Peringkat Kebangsaan pada pagi ini. Kita PEMUISI amat berterima kasih kepada pihak DBP yang tidak putus memberikan sokongan padu kepada PEMUISI dalam menganjurkan pelbagai program puisi sama ada dalam bentuk sumbangan, peralatan ataupun sebagai penganjur secara bersama.
Banyak program yang telah berjaya diadakan seperti Program Baca Puisi Bulanan PEMUISI DI DBP, sambutan Hari Puisi Malaysia pada 13 Jun setiap tahun, Program Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Puisi  (SDPAHM) pada 15 September setiap tahun, Malam Puisi Getaran Jiwa, Siri Baca Puisi Kemanusiaan, Baca Puisi Damai Sedunia Dua Puluh Negara dan aktiviti yang lainnya.
Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari sedang memberikan kursus.
Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman ketika memberikan kursus.
Mengenai Kursus Profesional Perjurian Puisi Peringkat Kebangsaan anjuran PEMUISI dan DBP yang julung kali diadakan itu, beliau menjelaskan seramai 22 orang telah terpilih berdasarkan pengalaman dan kesesuaian mereka menjadi juri pertandingan puisi. Mereka terdiri daripada kalangan pemuisi lama dan juga pemuisi yang baharu.
Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari memberikan sijil kepada salah seorang peserta.
Kursus selama sehari tersebut padat dengan pelbagai topik yang relevan berkaitan dengan kaedah dan ilmu perjurian puisi. Di akhir kursus, Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari telah menyampaikan sijil kepada semua peserta.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!