14 Julai 2022, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Bahagian Penyelidikan Sastera DBP dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan DBP Cawangan Sarawak telah menganjurkan Wacana Perkembangan Persatuan Penulis Sastera pada 6 Julai 2022 di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak.

Tujuan wacana ini diadakan adalah untuk mendapatkan hasil kajian yang baik tentang perkembangan persatuan penulis di Malaysia bagi tujuan penerbitan. Setiap negeri mempunyai persatuan penulis yang ditubuhkan bagi merancakkan dunia penulisan tanah air. Kewujudan persatuan penulis ini turut memberikan kesan positif terhadap perkembangan karya sastera dalam pelbagai genre. Begitu juga dengan kemunculan para penulis baharu yang berbakat dan aktiviti sastera yang semakin rancak di Malaysia. Wacana ini diadakan di tiga zon dan dimulakan untuk pertama kalinya di negeri Sarawak, kemudian di Sabah pada bulan Ogos dan akhirnya di Semenanjung.

Tokoh atau individu yang menjadi pembentang dalam wacana ini terdiri daripada sasterawan negeri Sarawak yang mewakili persatuan penulis yang masih bergiat aktif di Sarawak. Wacana Pekembangan Persatuan Penulis Sastera di Sarawak dikendalikan oleh Encik Muhammad Haziq Zakaria daripada DBP Cawangan Sarawak. Pembentang pertama ialah Encik Saiee Diss yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Majlis Seni Sarawak dan bergerak bebas dalam bidang penulisan dan terjemahan. Beliau menyampaikan kertas kajian yang berjudul “Pergerakan Penulis Sastera di Sarawak dari tahun 1970-an hingga 1990-an”. Kajian beliau membincangkan hal kegiatan berpersatuan dan berkarya penulis di Sarawak dalam beberapa dekad secara umum dan memberikan gambaran secara menyeluruh perihal persatuan penulis yang ada di Sarawak.

Encik Saiee Diss sedang membentangkan kajiannya.

Puan Dayang Azizah Mohd. Salleh yang mewakili Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) pula menyampaikan kajiannya yang berjudul “Alur Kembara PEKASA dalam Dunia Susastera”. Melalui pembentangannya, beliau menerangkan alur kembara PEKASA dalam berhadapan dengan pelbagai dugaan dan rintangan serta memperkasakan gerak kerja dalam medan penulisan. Beliau juga menjelaskan bahawa kebersamaan dalam  persatuan merupakan kekuatan untuk membentuk persatuan yang utuh.

Pembentang ketiga, iaitu Encik Zainal Abidin Haji Suhaili atau Abizai merupakan Sasterawan Negeri Sarawak yang ke-5 dan mewakili Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA). Beliau menyampaikan kertas kajian yang berjudul “Lebih Empat Dekad Kembara PUTERA”. Menurutnya, PUTERA merupakan persatuan penulis di Sarawak yang paling lama bertahan kewujudannya sehingga kini. Persatuan yang lahir pada 7 Jun 1979 di Miri, Sarawak ini lahir daripada gelojak kesedaran dan keazaman para karyawan dan peminat sastera tempatan. Mereka bertindak atas kesedaran bahawa perlunya diwujudkan sebuah badan penulis yang bakal menjadi pusat bagi penggemblengan tenaga dan minda dalam merancang dan melaksanakan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan di wilayah utara, Bumi Kenyalang ini. Menurut beliau lagi, banyak sejarah dan kejayaan yang mampu diraih oleh PUTERA dan ahli-ahlinya serta para pemimpin PUTERA harus memastikan PUTERA terus hidup dan lestari dengan pelbagai kegiatan serta relevan dengan peredaran zaman.

Panel pembentang wacana bergambar kenang-kenangan bersama-sama para peserta.

Wacana ini turut mengundang YBhg. Datu Dr. Haji Badiozaman Tuah, Sasterawan Negeri Sarawak Ke-3 merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Pendidikan Islam Sarawak sebagai penyampai ucap utama dan perasmi program wacana ini. Dalam ucapannya, beliau memfokuskan hal berkaitan keperluan, manfaat, serta cabaran berpersatuan yang perlu ditangani bagi menjamin kerelevanan persatuan penulis dalam membangunkan negara bangsa dan menangani agenda sejagat.

Selain itu, beliau juga mengingatkan bahawa aspek kepimpinan, pembangunan sumber manusia, pengurusan bakat, perancangan strategik dan pelaksanaan secara bijaksana, hendaklah diberi keutamaan dan dijadikan mekanisme utama bagi menjamin kelestarian dan kelangsungan persatuan penulis di Sarawak. Wacana ini juga turut dihadiri oleh Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Bohan, Ketua Satu, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai.

Penganjur, iaitu Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan dengan kerjasama DBP Cawangan Sarawak menyasarkan bahawa objektif utama penganjuran wacana ini adalah untuk menghasilkan korpus penulisan kajian tentang pekembangan persatuan penulis sastera di Malaysia. Di samping itu juga, wacana ini akan dapat menyebarluaskan maklumat hasil penyelidikan kepada khalayak melalui wacana atau seminar dalam pelbagai medium untuk dijadikan rujukan kepada khalayak. Perkara ini terdapat dalam Pelan Strategik DBP 2021-2025 di bawah Teras Strategik Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu seperti yang dinyatakan oleh Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya. Menurutnya lagi, penganjuran wacana ini bertujuan untuk menyebarkan hasil penyelidikan ini kepada khalayak dan juga bermatlamat supaya kajian yang ditulis tersebut dapat dibahaskan secara terperinci untuk tujuan penambahbaikan.

Jika dilihat dalam konteks kajian sejarah persatuan penulis sastera tanah air, sehingga kini sudah ada kajian tentang pergerakan bahasa dan sastera yang telah diselenggarakan oleh Sasterawan Negara S. Othman Kelantan berjudul 100 Tahun Pergerakan Bahasa dan Sastera Melayu 1888-1988. Sungguhpun demikian, kajian tersebut hanya membicarakan perkembangan dan pergerakan bahasa dan kesusasteraan Melayu dalam tempoh seratus tahun yang lalu (1888-1988). Oleh itu, Wacana Kajian Sejarah Persatuan Penulis Sastera di Malaysia yang dilaksanakan ini merupakan salah satu usaha bagi meneruskan kesinambungan terhadap kajian berkaitan perkembangan persatuan penulis sastera di Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.