Oleh Zaidi Saad
7 Julai 2022, 12:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tokoh korporat dan ahli perniagaan, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, menjadikan puisi sebagai terapi buat dirinya dalam mendepani tuntutan tugasan profesional yang rumit. Puisi juga memberikan ruang dan wahana kepadanya untuk berekspresi secara kreatif kerana baginya, sesetengah idea dan emosi mungkin tidak dapat dinyatakan dalam bahasa prosa biasa apatah lagi melibatkan perasaan yang mendalam.

Puisi mampu menjana kreativiti para pemimpin dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang dihadapi – Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah.

Bertitik tolak daripada itu, maka lahirlah buku kumpulan sajak tulisan Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah yang bertajuk Mengejar Angin yang menghimpunkan sebanyak 77 sajak nukilan beliau sepanjang beberapa tahun belakangan ini.

Buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin nukilan tokoh korporat dan perniagaan, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah.

“Kegiatan kepuisian saya bertitik-tolak daripada minat saya terhadap karya puisi, malahan saya juga tidak terdidik secara formal dalam pendidikan sastera. Namun begitu, dalam ruang yang terhad ini, saya ingin berkongsi dengan hadirin sekalian, sedikit sebanyak sumbangan seni puisi kepada seorang profesional seperti saya,” ucapnya dalam sembah ucapan Majlis Pelancaran Buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin, pada pagi ini, yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Tambahnya, beberapa kajian mendapati bahawa seni puisi mampu mengaktifkan bahagian otak manusia yang bersifat introspektif, iaitu yang memangkinkan proses “pengamatan dalaman” ke atas pengalaman peribadi seseorang. Dalam satu kajian klinikal yang menggunakan teknologi Pengimejan Resonan Magnetik (MRI) yang dijalankan oleh pakar neurologi kognitif dari University of Exeter Medical School, mendapati bahawa membaca puisi memberikan respons kepada otak yang berbeza daripada pembacaan tulisan prosa biasa. Hal ini demikian kerana puisi mengaktifkan bahagian otak yang terlibat dalam tindak balas emosi.

“Kajian sebegini membayangkan peranan puisi dalam membangkitkan sisi emosi insan melalui proses introspeksi, di mana kita akan mengamati reaksi emosi kita terhadap sesuatu kejadian. Dalam kepimpinan itu sendiri, sudut emosi atau EQ juga amatlah penting kerana tanpanya, mungkin akhirnya keputusan yang dibuat menjadi kurang berkesan. Dalam dunia yang hanya menekankan pandangan duniawi luaran, proses introspeksi ini haruslah digiatkan. Seni puisilah antara kaedah yang dapat menyemai kemahiran ini,” ucap Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah.

Selain itu, puisi juga mampu menyemai nilai empati dan inklusiviti yang tinggi dalam kalangan pemimpin agar dapat memimpin sesebuah organisasi secara lebih berkesan. Dalam mengurus sesebuah organisasi, para pemimpin tidak dapat lari dari aspek kemanusiaan kerana setiap hari kita berurusan dengan sebegitu ramai orang dari dalam dan luar organisasi.

“Pada Januari 2006, Poetry Foundation juga telah mengeluarkan sebuah kajian penting tentang puisi di Amerika yang menggariskan pola pembacaan puisi dan ciri pembaca puisi. Antara faedah utama yang telah dilaporkan oleh sampel kajian tersebut termasuklah kebolehan ‘pemahaman’, iaitu mengenai dunia, diri dan orang sekeliling. Malahan, kajian juga mendapati bahawa para pembaca puisi merupakan mereka yang mempunyai kepintaran sosial yang lebih berbanding dengan mereka yang tidak berpuisi,” ucap Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah.

Beliau juga percaya bahawa dalam dunia serba kompleks kini, puisi juga menjadi sekutu rapat kita kerana karya tersebut dapat mendisiplinkan kita untuk merungkaikan pelbagai idea kompleks dan rumit ke dalam bentuk yang lebih ringkas. Hal ini dikatakan demikian kerana cabaran para pemimpin korporat dalam dunia pada hari ini adalah untuk mengambil dan mengubah ketidaktentuan dunia sekeliling ke dalam suatu bentuk yang bermakna dan boleh difahami. Dari situ, setiap permasalahan dapat difahami dengan lebih jelas, dan penyelesaian bernas akan dapat ditemukan. Dengan mengamati seni puisi, keupayaan seseorang untuk merumuskan konsep yang kompleks dan menyampaikannya kepada orang sekeliling akan dapat dipertingkatkan lagi.

“Puisi juga mampu menjana kreativiti para pemimpin dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang dihadapi. Menurut Clare Morgan dalam bukunya berjudul What Poetry Brings to Business, dengan membaca puisi, ahli strategi perniagaan akan dapat menjana ruang-ruang konseptual yang lain daripada kebiasaannya. Penggunaan bahasa tidak konvensional akan membawa para pembaca masuk ke ruang kreatif yang penuh ketidaktentuan. Fakulti pemikiran juga tidak akan terburu- buru untuk membuat rumusan,” jelas Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah.

Selain buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah juga telah menghasilkan beberapa buku kumpulan sajak seperti Ketika Kita Terus Bercerita, Aku, Sajak dan Tuhanku, dan Nota Seberang.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.