Oleh Aninah Janang
7 Julai 2022, 11:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kuala Lumpur – Kumpulan Sajak Mengejar Angin tulisan YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman atau nama penanya R Hamkama dilancarkan pada pagi ini, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. Majlis pelancaran yang penuh bermakna itu disempurnakan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Yang Berhormat Mulia (YBM) Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, dan turut disaksikan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, barisan tokoh korporat, ahli perniagaan, tokoh penyair dan penggiat sastera tanah air.

Tengku Temenggong Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkenan berangkat  menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin. 

Kumpulan Sajak Mengejar Angin yang menghimpunkan sebanyak 77 nukilan Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah dan diterbitkan oleh DBP membuktikan bahawa bakat seorang tokoh korporat dan ahli perniagaan terkemuka negara melangkaui dan menjangkaui dunia kesusasteraan, khususnya dalam penulisan sajak.

“Penghasilan karya sastera, iaitu sajak diilhamkan dan terhasil daripada diksi yang terbaik dan kemudiannya disusun menjadi bait-bait indah yang memaknai jalur kehidupan. Perjalanan melahirkan ilham dan idea yang disulam menjadi ungkapan yang indah dan sarat dengan makna memerlukan kebijaksanaan dan pemikiran yang kreatif”, titah Tengku Temenggong Kelantan, YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin. Turut berangkat,  Tengku Puan Temenggong Kelantan, Yang Berhormat Mulia Puan Sri Dato’ Hajah Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin menghimpunkan 77 sajak nukilan Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah.

YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam turut merakamkan ucapan sekalung tahniah dan syabas kepada Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah kerana kegigihannya mengilhamkan bait-bait yang indah dalam karyanya sehingga menghasilkan buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin.

Semoga usaha beliau dalam merancakkan dunia sastera dengan karya yang hebat dan berkualiti akan mendapat sokongan yang berterusan daripada pelbagai pihak, termasuklah DBP. Saya memahami bahawa dalam menghasilkan sesebuah karya dan seterusnya menerbitkan naskhah yang hebat bukanlah mudah dan memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit, di samping ilham kreatif dan idea yang kritis.  Pelibatan Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah dalam dunia korporat dan perniagaan, bukan penghalang kepada beliau untuk menghasilkan karya sastera yang hebat ini. Beliau membuktikan bahawa berkarya itu suatu usaha yang mendatangkan pelbagai manfaat dan akan menjadi khazanah bernilai yang pastinya diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

Majlis Pelancaran Buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin menjadi lebih bermakna dan istimewa apabila Tengku Temenggong Kelantan, YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz turut berkenan mendeklamasikan sebuah sajak Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah yang bertajuk “Mengejar Angin”.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, dalam ucapan alu-aluannya turut melahirkan rasa bangga dan berbesar hati dengan penerbitan buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin oleh Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah.

Buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin mempunyai keistimewaan yang tersendiri – YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Buku yang menghimpunkan 77 sajak karya Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah yang akan disempurnakan pelancarannya oleh Yang Berhormat Mulia, Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz sebentar lagi, mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Saya berkata demikian kerana Mengejar Angin merupakan buku kumpulan sajak pertama karya Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah yang diterbitkan oleh DBP. Istimewanya lagi kerana buku Mengejar Angin merupakan himpunan sajak nukilan seorang tokoh korporat dan ahli perniagaan yang terkenal, namun bakatnya turut terserlah dalam menghasilkan karya sastera, terutama sajak,” ucap YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang turut mendeklamasikan puisi yang berjudul “Penyair”. 

Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah membuktikan bahawa bakatnya sebagai seorang tokoh korporat dan ahli perniagaan terkemuka negara  menjangkaui dunia kesusasteraan menerusi terbitan buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin.

Dalam majlis tersebut, beberapa puisi nukilan Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah turut dideklamasikan oleh YBhg. Kapten Tentera Laut Diraja Malaysia Bersara, Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob; Puan Norita Ab. Hamid, wakil Kelab Kreatif UMW; dan Encik Ahmad Shukri Abdullah, yang merupakan Juara Deklamasi Puisi Kebangsaan 1996 yang kini berkhidmat di Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.