Oleh Rem Dambul
28 Jun 2022, 07:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kolumnis Rem Dambul meneliti cabaran-cabaran yang perlu ditangani untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu.

Agenda sebesar begini memang memerlukan dukungan menyeluruh daripada jentera kerajaan.

Lebih kurang sebulan lepas, satu simposium yang berwacana tentang kedudukan bahasa kebangsaan di persada global telah berlangsung di kota metropolis Kuala Lumpur. Barangkali inilah perhimpunan paling gadang (diukur pada prestij, bukan magnitud) yang pernah dianjurkan untuk membicarakan secara khusus fikrah pemartabatan dan pengantarabangsaan bahasa Melayu.

Simposium ini yang disertai oleh 75 pembicara dari 16 buah negara, telah menampilkan tiga ucaptama, 15 sidang pleno dan sebuah forum empat penjuru sebagai segmen finale. Majlis perasmian disempurnakan dengan pidato pembukaan YAB Perdana Menteri (PM); manakala penutupnya diolah dengan simbolik penyerahan resolusi simposium kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Pemacu pertama bagi usaha pemartabatan bahasa kebangsaan ialah polisi dan intervensi pemerintah. Pemacu kedua sudah tentulah elemen perlaksanaan dan penguatkuasaan pihak autoriti kerajaan. Kedua-dua pemacu ini wajib beroperasi secara serentak dan mesti saling melengkapi. Barulah impian tersebut mampu direalisasikan dengan kadar kecepatan dan pecutan yang munasabah.

Faktor pemacu yang pertama itu, menuntut iltizam politik. Hal ini merupakan tugas dan peranan anggota-anggota kabinet yang memegang kuasa dasar, termasuklah mewujudkan akta dan perundangan. Faktor yang kedua itu pula memerlukan iltizam urus tadbir. Hal ini merupakan tanggungjawab ahli penjawat sivil dalam perkhidmatan awam, sebab mereka inilah yang memegang kuasa operasi. Barangkali kedua-dua pemacu ini mesti dioperasikan terlebih dahulu, sebelum inisiatif-inisiatif lain boleh didatangkan sebagai penguat.

Dalam simposium tersebut, jelas bahawa agenda yang digagaskan telah berjaya meyakinkan teraju tertinggi bagi kedua-dua entiti pemacu yang dinyatakan. Perdana Menteri (ketua kabinet) dan Ketua Setiausaha Negara (ketua penjawat awam) telah hadir secara personal (in person) di lokasi berlangsungnya program, untuk memberi sokongan penuh.

Persoalannya, adakah iltizam dan hasrat yang terpancar ini mampu diturunkan kepada seluruh ekosistem kabinet dan penjawat awam? Atau, adakah hal ini hanya mimpi sunyi seorang PM dan seorang KSN secara bersendirian? Jawapan kepada persoalan ini boleh memberikan bayangan sejauh mana usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu mampu melakar perjalanan. Sayangnya, jawapan itu hanya boleh diteka-teka, tetapi tidak mungkin dapat digali kata putusnya. Agenda sebesar begini memang memerlukan dukungan menyeluruh daripada jentera kerajaan. Hal ini melibatkan tautan serta kesinambungan dasar yang merentas sektor, kementerian dan agensi.

Namun demikian, sebelum mahu bersandar pada kedua-dua pemacu ini dalam menggerakkan langkah ke arah pemartabatan bahasa Melayu di peringkat global — beberapa situasi awalan juga perlu dicipta terlebih dahulu dalam konteks tempatan. Hal ini merupakan prasyarat yang mesti dipenuhi sebelum aspek intervensi polisi oleh kabinet dan perlaksanaan dasar oleh penjawat awam boleh dianggap sebagai usaha-usaha yang relevan.

Bagi aspek pengantarabangsaan, usaha mewujudkan ‘permintaan’ kepada bahasa Melayu merupakan salah satu kunci utama kepada keberhasilan.

Situasi awalan atau prasyarat ini ialah: pertama, menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang benar-benar inklusif; dan kedua, mencetuskan “permintaan” (demand) kepada bahasa Melayu secara natural di arena global. Kedua-dua keperluan ini boleh disifatkan sebagai pemboleh daya mandatori. Jika bahasa ini tidak cukup inklusif di peringkat tempatan, bagaimana mahu diperluaskan sampai ke arena antarabangsa? Jika bahasa ini tidak mempunyai “permintaan” yang cukup, bagaimana kita mahu menawarkan “bekalan” (supply) mengikut logik hukum pasaran?

Dalam aspek inklusiviti, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sangat berkehendak pada satu proses penilikan semula yang mendalam berkait nilai identiti dan sosiobudaya. Sama ada kita mahu mengakui atau tidak, bahasa Melayu dalam konteks Malaysia telah sekian lama dipasak kukuh mengikut acuan resam dan jati diri etnik Melayu.

Mengikut nuansa sastera kebangsaan yang menjadi pegangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), karya-karya kreatif (yang tentunya ditulis dalam bahasa Melayu) tidak boleh menyanggah nilai-nilai keislaman dan semangat Nusantara. Bahkan, dalam banyak wacana tentang persuratan kebangsaan berteraskan bahasa Melayu, gagasan Islami sering diangkat sebagai salah satu nilai teras yang utama.

Hal ini bukan sekadar persepsi atau andaian bersangka-sangka, tetapi satu hakikat yang sudah terbukti menerusi amalan-amalan rasmi entiti kerajaan. Sebagai misalnya, bahasa Melayu pernah dihalang sebagai medium persuratan bagi kitab Injil. Bahkan saya sendiri pernah berdepan pengalaman peribadi, ketika mana penerbitan manuskrip disekat oleh panel penilai DBP kerana terdapat karya yang disyaki membawa elemen khurafat, dikaitkan dengan kepercayaan tradisi peribumi Sabah.

Secara logiknya, bagaimana kita mahu mengantarabangsakan bahasa Melayu sehingga ke tanah besar China dan Rusia, serta merentas ke benua Eropah dan Amerika — sekiranya komuniti bukan Melayu di bumi Malaysia sendiri dihalang untuk menggunakan bahasa ini sebagai ekspresi keagamaan dan kebudayaan? Kera di hutan mahu disuguhkan dengan susu segar dalam kendi emas. Akan tetapi ironinya, anak sendiri di rumah dilarang mencicip susu, hatta dalam cangkir tembikar usang.

Bagi aspek pengantarabangsaan, usaha mewujudkan “permintaan” kepada bahasa Melayu merupakan salah satu kunci utama kepada keberhasilan. Kita sering bernostalgia tentang manisnya sejarah silam, tatkala mengimbas semula era kegemilangan bahasa Melayu sebagai lingua franca. Namun begitu, kita barangkali terlupa menelaah bahawa pada zaman tersebut, bahasa Melayu mempunyai “tarikan natural” kepada komuniti pedagang asing.

Kenapa? Kerana komoditi rempah yang menjadi rebutan seluruh dunia ketika itu, sumbernya dikuasai oleh warga Nusantara. Justeru, masyarakat antarabangsa tidak mempunyai pilihan untuk mengabaikan penguasaan bahasa Melayu, yang merupakan mod komunikasi terpenting dalam urusan jual-beli rempah. Persoalannya, bagaimana kita mahu mengembalikan semula ciri penawaran yang sedemikian, dalam konteks masa kini?

Seperti saranan ramai tokoh semasa simposium yang telah berlangsung itu, ekosistem universiti dan keilmuan merupakan medan terbaik untuk mewujudkan “keperluan dan permintaan” bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Bagaimanakah caranya? Kita mesti mengepung korpus ilmu tertentu, yang unik pada Nusantara dan Malaysia (misalnya, khazanah sastera klasik Melayu, diversiti flora dan fauna, elemen-elemen sosiobudaya peribumi Borneo), dengan pengantara bahasa Melayu.

Proses kepungan korpus ilmu ini boleh membawa kepada terhasilnya komoditi “rempah moden” bagi rantau Nusantara, khususnya negara kita sendiri. Secara tidak langsung, kita akan mencipta satu industri perdagangan ilmu berciri niche (nic, ceruk atau tertumpu pada satu sudut yang kecil), yang spesifik menggunakan bahasa Melayu sebagai mod persuratan utama.

Jika kita meninjau trend perkembangan sains kontemporari, wilayah Borneo sebenarnya merupakan lokasi yang berjaya menguja minat akademik di seluruh dunia. Borneo, meski hanya pulau ketiga terbesar dunia, namun ia mempunyai keunikan sosiobudaya paling menakjubkan, dengan lebih 80 etnik yang memiliki bahasa dan budaya tersendiri. Ia turut mewarisi khazanah alam yang boleh menandingi Amazon dari segi diversiti flora dan fauna terestrial, serta lebih rencam kepelbagaiannya daripada seluruh benua Afrika.

Persekitaran lautnya juga dipenuhi kekayaan ekosistem marin, khususnya di kawasan Tiga Segi Terumbu Karang (Coral Triangle) yang menghimpunkan 70 peratus sumber laut dunia dalam satu lokaliti yang begitu kecil. Paling penting, pulau Borneo ini dilimpahi dengan penutur bahasa Melayu yang melangkau jajahan tiga negara: Malaysia (Sarawak, Sabah), Indonesia (Kalimantan) dan Brunei.

Bidang kemanusiaan, terutamanya dalam keunikan diversiti sosiobudaya Borneo, boleh diolah sebagai tarikan ilmu unik Nusantara. Bidang sains pula, bagi kajian bersabit alam sekitar Borneo – khususnya yang intim dengan disiplin botani dan zoologi – juga dapat menawarkan ceruk ilmu berciri niche. Saya percaya bahawa kekayaan unik Borneo dari segi limpahan material tulen untuk kajian-kajian ilmiah berupaya mencitrakan satu kekuatan nasional. Sekali gus kelebihan ini mampu memartabatkan bahasa Melayu sebagai pemunya eksklusif satu niche ilmu spesifik di peringkat antarabangsa.

Tetapi hakikatnya, semua potensi kepungan korpus ilmu ini tidak akan menjadi kenyataan jika tidak disokong oleh polisi dan implementasi. Dasar-dasar kebangsaan bersabit aktiviti penyelidikan dan penulisan akademik di menara gading tempatan perlu diolah supaya menggalakkan usaha pengepungan korpus ilmu yang menggunakan pengantara bahasa Melayu.

Situasi-situasi awalan ini (isu inklusiviti dan kepungan ilmu) yang dinyatakan sebagai prasyarat mandatori; nampaknya mesti juga kembali kepada keperluan dua pemacu penting (intervensi polisi dan implementasi dasar), yang dihujahkan dalam pembukaan artikel ini. Seperti persoalan klise tentang telur dan ayam; yang mana patut datang dahulu? Barangkali jalan terbaik adalah dengan mendapatkan kedua-duanya, ayam dan telur, serentak.

Maksudnya, setiap usaha itu perlu digerakkan bersama, tanpa perlu ternanti-nanti, prioriti mana yang harus didahulukan. Mungkin inilah salah satu sebabnya mengapa seruan pengantarabangsaan bahasa Melayu ini sudah berkumandang bertahun-tahun, tetapi sehingga sekarang masih terpasung di takuk lama. Sebab majoriti aktivis mengambil pendekatan “tunggu dan lihat”, ke mana dan siapa yang melangkah dahulu.

Memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu – memang hal ini sebuah perjalanan yang mencabar berliku-liku. Pada setiap selekoh ada pencemuh yang menunggu; pada setiap keluk ada ejekan yang merendah-rendahkan. Ramai yang berani bercita-cita mahu sampai ke penghujung destinasi; tetapi terlalu sedikit yang tahan dicemuh dan diejek.

Kredit Foto: Ansari Mulyadi/Unsplash

_________________________

Rem Dambul atau nama sebenarnya Ramzah Dambul (Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!