Oleh Harlym Yeo
10 Jun 2022, 10:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur   Khalayak peminat puisi terutamanya pemimpin persatuan penulis, badan bukan kerajaan (NGO) seni dan sastera, para pelajar sekolah dan mahasiswa universiti diundang untuk menyemarakkan majlis penghayatan puisi “Malam Puisi Keluarga Malaysia” yang akan diadakan pada 13 Jun 2022 (Isnin) mulai pukul 8.30 malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Program anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama DBP ini akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

“Seramai 200 orang jemputan dijangka hadir yang terdiri daripada para pemuisi, sasterawan, seniman, budayawan, dan para mahasiswa. Antara kenamaan yang akan hadir termasuklah Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che’ Othman, Penaung PEMUISI, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP, Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Hj Salleh, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, Datuk Dr. Zurinah Hassan, Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Kepten Datuk Profesor Emeritus Dr.Hashim Yaacob dan lain-lain,” kata Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim atau juga dikenali dengan nama pena sebagai Wanrazuhar.

Menurut Radzuan, Hari Puisi Malaysia yang jatuhnya pada 13 Jun setiap tahun telah diisytiharkan oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia pada tahun 2021 untuk mengangkat para pemuisi dan bidang yang diceburi ke suatu tahap yang lebih tinggi agar dapat dimartabatkan sebagai suatu bidang yang diraikan secara lebih luas.

“Hari Puisi Malaysia diraikan bukan sahaja oleh golongan pemuisi tanah air tetapi juga diraikan oleh semua golongan masyarakat pada setiap tahun. Dengan perisytiharan itu, komuniti sastera khasnya pemuisi di negara ini sudah mempunyai satu hari iaitu 13 Jun yang disambut sebagai Hari Puisi Malaysia bagi mengangkat martabat khalayak dan bidang puisi,” ujar beliau.

Menurut Radzuan lagi, perayaan Hari Puisi Malaysia tahun 2022 ini bertemakan Puisi Keluarga Malaysia bertepatan dengan saranan YAB Perdana Menteri supaya bahasa Melayu dimartabatkan di peringkat nasional dan juga antarabangsa.

“Perjuangan PEMUISI juga selari dengan saranan tersebut iaitu mengangkat bahasa kebangsaan melalui puisi dan memasyarakatkan puisi dalam kalangan keluarga Malaysia,” jelas Radzuan.

Katanya, majlis Malam Puisi Keluarga Malaysia akan diserikan dengan persembahan baca puisi, syair, gurindam, lagu-lagu puisi, tarian, dekon dan lain-lain.

“Sambutan di peringkat negeri juga turut diadakan dan terdapat persembahan baca puisi melalui lintas langsung secara maya ke setiap negeri. Di samping itu, sepuluh orang pemenang program ‘Tulis Puisi dan Video Baca Puisi’ sempena Hari Puisi Malaysia 2022 yang dianjurkan dari 1 hingga 10 Jun melalui Facebook PEMUISI BERKARYA, akan turut diumumkan,”

“Selain itu akan turut diadakan upacara ‘Ikrar Sumpah Bahasa’ daripada pemimpin-pemimpin persatuan dan NGO seni sastera budaya sebagai tanda sokongan kepada saranan YAB Perdana Menteri mengenai mempertingkatkan dan memartabatkan bahasa kebangsaan,” kata Radzuan.

“Saksikanlah program Malam Puisi Keluarga Malaysia secara langsung di DBP ataupun di Facebook PEMUISI BERKARYA. Kami mengalu-alukan para pelayar Facebook untuk turut bersama menitip ungkapan apresiasi terhadap Keluarga Malaysia melalui coretan dan komen anda di Facebook PEMUISI BERKARYA pada malam berkenaan,” gesa Radzuan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.