26 April 2022, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Moechtar Awang tampil sebagai pembicara dalam sebuah forum yang bertajuk “Yang Lama Dikelek Yang Baru Didukung” di samping Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh, Zainal Rashid Ahmad dan Wan Nor Azriq melalui Majlis Pelancaran Siri Buku Puisi Penyair Pilihan. Siri Buku Puisi Penyair Pilihan atau Siri Tokoh Puisi itu mengandungi tiga judul terbaharu terbitan Kata-Pilar Books, iaitu Sudah Hampir Malam di Kyoto oleh Muhammad Haji Salleh, Rahang Gelombang oleh Moechtar Awang dan Lelaki Berambut Rumput oleh Rahimidin Zahari.

Moechtar Awang yang “hilang” daripada ranah sastera selama tiga dekad, kini tampil di khalayak awam bersempena pelancaran buku kumpulan puisinya, Rahang Gelombang. Pemenang Anugerah Puisi Putra yang pertama dan yang kedua itu pernah menghasilkan dua buah kumpulan puisi yang juga merupakan pemenang anugerah berprestij itu; Pasrah dan Qaf; serta beberapa lagi karya eceran.

Buku Rahang Gelombang mengumpulkan semula puisi terbaiknya agar sasaran iaitu pembaca generasi baharu dapat mengenali peribadinya menerusi puisi yang dipilih. Selain itu, terdapat juga sisipan sejumlah puisi terbaharunya.

“Gaya puisinya sangat berbeza daripada puisi yang terdapat dalam Pasrah dan Qaf,” ujar beliau.

Perihal bagaimana bermulanya usaha untuk mengumpulkan semula karyanya, Moechtar Awang berkata, “Fahd Razy yang bertandang ke rumah saya dan beliau antara yang pertama bersungguh-sungguh menarik saya kembali pada dunia penulisan setelah 30 tahun saya berhenti menulis. Saya putus hubungan dengan rakan penulis. Memanglah salah satu kegiatan penting dalam kerjaya menulis ialah kita harus bergaul dengan para penulis yang lain,” ujar beliau lagi.

Moechtar Awang tampil di khalayak awam setelah 30 tahun menghilang daripada ranah sastera.

Moechtar Awang sempat menceritakan sebab beliau mengundur diri daripada kerjaya menulis suatu ketika dahulu. Menurut beliau, sekitar tahun 1986, negara mengalami krisis ekonomi. Kesannya, beliau tidak mendapat bayaran honorarium selepas beberapa karyanya disiarkan oleh pihak media.

“Nasib tidak menyebelahi saya kerana selepas perlahan-lahan menuntut bayaran, pihak media akhirnya memberikan bayaran tidak setimpal dengan sebuah karya saya. Ketika itu, saya rasa seakan-akan tidak dihargai dan tidak dihormati sebagai seorang pengarang.” Menurutnya lagi, walaupun selepas itu, beliau masih lagi menulis, hasil tulisannya hanya menjadi simpanan peribadi dan bukan untuk disiarkan di mana-mana.

Sedih mengenangkan bahawa bakat yang dikurniakan Tuhan kepada saya, tidak saya gunakan sebaik-baiknya. Melihat pada usaha yang dilakukan dalam menerbitkan buku ini, timbul sedikit perasaan cinta untuk saya menulis kembali.

Jika hasratnya untuk menulis kembali itu tercapai, beliau akan menumpukan untuk menyiarkan karyanya yang tidak pernah tersiar. “Itu pun, jika adalah penerbitnya,” ujar beliau, separuh berseloroh.

Menurut Zainal Rashid Ahmad, terdapat sejumlah pengarang yang hilang daripada ranah sastera setelah berkarya untuk beberapa ketika. Mereka digelar sebagai “generasi yang hilang” dan sebahagian daripada mereka ialah pengkarya yang sangat berpotensi dan berbakat besar.

“Pengarang seperti Moechtar Awang ini mampu menulis dengan gaya mapan mereka kerana rasa cinta mereka terhadap kata-kata. Karya mereka tidak memberi fokus dalam mencipta gabungan kata-kata yang menimbulkan fenomena tetapi untuk memegang maksud-maksud yang luar biasa.”

Kredit Foto: Kata-Pilar Books

Beli Rahang Gelombang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.