Oleh Awang Sariyan
24 April 2022, 13:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Saban tahun kita diingatkan
oleh pendakwah dan pentazkirah
betapa besarnya fadilat malam Qadar
ganjaran lebih seribu purnama
menyamai 80 tahun lebih
bagi setiap amal kebajikan
Maka berlumba-lumba kita kerjakan
ibadah sunat pelengkap ibadah fardu
menghidupkan malam dengan ibadah sunat
menyengkang mata melawan keletihan
untuk meraih ganjaran berlipat ganda

Pernahkah kita bertanya kepada diri
dengan amal ibadat dilipatgandakan
luar biasa semangat dan perbuatan
Adakah rasa kasihan belas kepada fakir miskin dilipatgandakan
dengan infak tanda ihsan
Adakah rasa kasih sayang kepada anak yatim dilipatgandakan
dengan menyantuni dan menghiburkan mereka
Adakah menghindari umpatan dilipatgandakan
Adakah menghindari cercaan dilipatgandakan
Adakah menghindari fitnah dilipatgandakan
Adakah menghindari buruk sangka dilipatgandakan
Adakah menghindari rasa hasad dilipatgandakan
Adakah menghindari sifat haloba dilipatgandakan
Adakah menghindari perseteruan dilipatgandakan
Adakah menghindari sifat ujub dilipatgandakan
Adakah menghindari sifat riyak dilipatgandakan
Adakah menghindari sifat takabur dilipatgandakan
Adakah menghindari salah guna kuasa dilipatgandakan
Adakah menghindari rasuah dilipatgandakan
Adakah menghindari ekonomi hitam dilipatgandakan
Adakah menghindari nepotisme dilipatgandakan
Adakah menghindari favoratisme dilipatgandakan
Adakah menghindari kronisme dilipatgandakan
Adakah menghindari kleptomania dilipatgandakan

Kejarlah malam Qadar yang penuh fadilat dan ganjaran
dengan amal kebajikan yang jelas dan luas
bukan sekadar amal sekitar diri
untuk mengharapkan masuk ke syurga sendiri
tetapi dengan mengasuh diri
membersihkan jiwa dan hati
berperi laku penuh insani
peka dan prihatin akan tuntutan ilahi
menjaga hablum minallah
menjaga jua hablum minannas
kerana syurga tidak dijanjikan
untuk sang abid yang melupakan
taklif kepada Tuhan
dan taklif kepada sesama insan
dan segala ciptaan

15 April 2022/12 Ramadan 1443

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.