Oleh Nor Asiya Nasir
21 April 2022, 13:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Ybhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyeru supaya aktiviti puisi disokong oleh semua pihak dan penglibatan golongan remaja tidak kira bangsa atau keturunan wajar digalakkan. Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Keempat, Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) yang diadakan di Villa Sri Intan Ampang.

Menurutnya, sastera termasuklah genre puisi telah diterima sebagai komponen penting untuk mengimbangi tuntutan fizikal dan nilai insani dalam sesebuah masyarakat. Karya sastera sangat penting kepada pembangunan modal insan ke arah melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi dan intelektual.

“Oleh itu, gerakan persatuan yang memperjuangkan bahasa Melayu melalui puisi dan karya sastera haruslah digalakkan kerana pastinya hal tersebut akan memberikan natijah yang baik bagi masyarakat, terutama kepada generasi yang akan datang” katanya.

Beliau juga tidak lupa mengucapkan tahniah kepada seluruh warga PEMUISI yang sudah memasuki tahun keempat penubuhannya.

“Saya menyaksikan PEMUISI berjaya bergerak melangkaui usia. Bagi tahun 2021 sahaja, saya difahamkan terdapat 32 program telah berjaya dianjurkan PEMUISI sama ada secara bersendirian ataupun berkolaborasi dengan rakan strategik. Lebih membanggakan lagi apabila PEMUISI berjaya membentuk Kerabat PEMUISI Sedunia yang dianggotai 28 buah organisasi sastera, seni dan budaya dari 13 buah negara. Banyak aktiviti peringkat dunia berjaya diadakan termasuklah Baca Puisi Kedamaian Dunia yang disertai 20 buah negara dan yang terbaharu, program Interaksi Pemuisi Sedunia yang disertai 11 buah negara. Tahniah seluruh EXCO PEMUISI dan PBPN di bawah pimpinan Dato’ Wanrazuhar dan saya yakin PEMUISI akan terus mencapai kejayaan pada masa hadapan” ujarnya.

Seterusnya, beliau juga mempelawa PEMUISI untuk terlibat bersama-sama dalam beberapa program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia seperti Sayembara Puisi Peringkat Universiti ASEAN, penerbitan buku antologi puisi Malaysia dan China dan sebagainya.

Sementara itu, Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim menyatakan walaupun seluruh dunia dihentam badai pandemik COVID-19 sejak hampir tiga tahun lalu, PEMUISI tetap berupaya menjalankan pelbagai program secara maya. Setelah kerajaan membuka laluan penganjuran bersemuka, PEMUISI terus menyambutnya dengan melaksanakan pelbagai program dengan jayanya.

“Sepanjang tahun 2021 sahaja, sebanyak 32 program telah berjaya diadakan. Kini, dalam tahun 2022, PEMUISI sudah mula rancak mengatur susun segala program termasuk program wajib kami, Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) ke 3 yang akan diadakan pada 15 September dan Sambutan Hari Puisi Malaysia pada 13 Jun” katanya.

Menurut Radzuan atau lebih dikenali dengan nama Wanrazuhar, perkembangan terbaharu yang menampakkan Perdana Menteri menekankan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan pentadbiran, perhubungan antarabangsa dan usaha mendaulatkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa Kebangsaan seharusnya disambut oleh semua golongan masyarakat di Malaysia.

“Sejarah bahasa Melayu telah tercatat dengan tinta emas yang merupakan lingua franca di dunia sebelah sini. Mari kita sambut usaha kerajaan ini dan kita berjuang mendaulatkan bahasa Melayu yang tercatat sebagai bahasa utama dan bahasa rasmi dalam Perlembagaan Malaysia. Kita harus menentang suara sumbang dan sumbing serta membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu, bahasa perhubungan antarabangsa dan bahasa perpaduan seluruh keluarga Malaysia” katanya lagi.

Mesyuarat Agung Tahunan PEMUISI yang dibuat secara hibrid dan secara dalam talian itu dipengerusikan Timbalan Pengerusi Tetap PEMUISI Ahmad Ramli serta turut dihadiri Timbalan Presiden PEMUISI, Profesor Madya Dr. Norhayati Ab Rahman, Aktivis Sastera yang merupakan ahli PEMUISI, Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, Exco PEMUISI Profesor Madya Dr. Nor Hashimah Ismail, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman, Datuk Mohd Radzuan Abdullah, Pengerusi Biro Pemuisi Negeri-negeri serta ahli PEMUISI.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.