Oleh Fansurina Ramli
18 April 2022, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam  Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sekali lagi muncul dengan program keilmuan yang memberikan fokus kepada pemikiran para sasterawan negara melalui pemerhatian dan kajian terhadap karya yang dihasilkan. Program ini selari dengan hasrat Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari yang ingin menjadikan Selangor ke arah negeri yang mesra sasterawan dan karyawan tempatan.

Webinar Pemikiran Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Usman Awang yang berlangsung merupakan rentetan daripada webinar pertama yang telah diadakan pada Disember tahun lepas. Webinar anjuran PPAS bersama-sama Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia ini menampilkan tiga orang panel yang mempunyai latar belakang akademik yang cukup hebat, iaitu Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain, Felow Kehormat di Institut Kemahiran Islam Malaysia; Dr. Mas Rynna Wati Ahmad, Pensyarah Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia dan pemikir dari seberang, Drs. Hermawan An (STKIP Rokania, Indonesia).

Webinar dimulakan dengan Profesor Emeritus Dr. Shaharir menyatakan karya Usman Awang yang sememangnya tidak asing lagi dengan konsep pembebasan seperti yang terlihat jelas dalam karya Jiwa Hamba (1949). Selain itu, karya Usman Awang juga amat sinonim dengan nilai kemanusiaan. Beliau juga telah membangkitkan perspektif baharu kepada khalayak dengan mengulas tentang perbezaan denotasi ‘kemanusiaan’ dan ‘keinsanan’. Beliau mempamerkan pemilihan perkataan ‘insan’ yang terakam dalam beberapa sajak Usman Awang seperti “Ke Makam Bonda” (1956) dan “Melayu Johor” (1988).

Kebiasaannya, kita memang menggunakan istilah kemanusiaan. Jarang-jarang sekali istilah keinsanan digunakan. Mungkin selepas ini, kita boleh lebih cenderung untuk mengatakan bahawa perjuangan utama Usman Awang ialah sebagai pembela nilai keinsanan.

Beliau melanjutkan penjelasan tentang perkara ini dengan menceritakan serba sedikit asal usul perkataan manusia dan insan yang menjadi asas kepada pembinaan ilmu serta teori mengikut neraca Barat dan Islam. Menurut beliau, perkembangan teori Barat ialah menjadikan sifat manusia sebagai asas teori. Contohnya, teori ekonomi (homo economicus) yang bersifat rakus dan menggalakkan kapitalisme, berbanding dengan konsep insan yang dianjurkan dalam al-Quran, iaitu ‘ummatan wasatan’ (surah al-Baqarah, ayat 143) yang bermaksud “umat ‘pertengahan”. Konsep ini lebih menekankan prinsip kesederhanaan dalam kehidupan.

Webinar diteruskan dengan pembentangan topik “Konsep Saadah atau Kebahagiaan dalam Drama Usman Awang” yang disampaikan oleh Dr. Mas Rynna Wati. Menurut beliau, di samping mengangkat isu kemasyarakatan, karya Usman Awang juga sebenarnya memperlihatkan isu kasih sayang dan kebahagiaan daripada watak yang diwujudkan dalam nukilan dramanya.

Apabila kita menyebut karya Usman Awang, banyak wacana yang membicarakan pendekatan karya beliau terhadap isu masyarakat seperti kesempitan hidup orang Melayu yang hidup di kampung. Walau bagaimanapun, karya beliau juga memberikan gambaran kepada peralihan kehidupan masyarakat Melayu yang berlaku dengan pantas apabila mereka berhadapan dengan arus pemodenan pasca kemerdekaan. Usman Awang sebenarnya menjentik isu krisis kewujudan (existential crisis) melalui watak dalam drama yang ditulisnya.

Perkara ini dapat diteliti pada watak Anita dan ibunya dalam teks drama Usman Awang bertajuk “Menjelang Takbir” daripada buku Drama-drama Pilihan Usman Awang (1987) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pada bahagian ketiga webinar, Drs. Hermawan Am membongkar pemikiran kemanusiaan dalam dua naskhah drama Usman Awang, iaitu drama “Uda dan Dara” dan “Matinya Seorang Pahlawan”. Menurut beliau, Usman Awang merupakan tokoh yang luar biasa kerana mengembangkan pemikiran kemanusiaannya melalui semua bentuk genre sastera seperti puisi, cerpen, novel dan drama.

Pemikiran merupakan hal-hal pelaksanaan daripada fikiran, idea dan pandangan. Seorang seniman atau sasterawan selalu mengangkat hal ini dalam tulisan atau karya lisannya dalam usaha untuk menjadikan dunia aman, damai dan sentosa. Seorang sasterawan juga pasti mengalami banyak liku kehidupan yang mempengaruhi penulisannya. Penderitaan dan kesenangan yang dilaluinya dalam kehidupan diterjemahkan dalam karyanya dan menjadikan karya tersebut abadi.

Webinar ini diakhiri dengan sesi soal jawab, perkongsian pendapat dan harapan daripada penggiat sastera dan peserta webinar yang datang dari dalam negara dan negara seberang, Indonesia. Antara cetusan idea yang dikemukakan termasuklah memberikan warna baharu pada pemikiran sasterawan negara seperti Usman Awang melalui medium terkini agar karya-karya ini dapat dinikmati oleh generasi muda dan seterusnya. Selain itu, penganjuran kolaborasi kegiatan sastera merentas negara juga perlu diperbanyakkan dalam usaha memartabatkan sastera nusantara di mata dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.