Oleh Harlym Yeo
23 Mac 2022, 11:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Walaupun hampir empat jam bersiaran secara dalam talian menerusi pelantar Zoom, namun begitu tempoh tersebut masih tidak mencukupi buat lebih 30 orang peserta dari 11 buah negara ketika meraikan Hari Puisi Antarabangsa pada 21 Mac dalam program “Interaksi Pemuisi Sedunia”. Program tersebut yang bertemakan “Pembangunan Bangsa Melalui Bahasa dan Budaya” merupakan anjuran bersama antara Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan rakan strategik dari tiga buah negara iaitu asyikasyik.com (Indonesia), Putra Seni (Brunei) dan Pantunism (Singapura).

Program tersebut menyaksikan penglibatan peserta daripada berbagai peringkat umur. Selain daripada negara penganjur iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura, program tersebut juga membabitkan penyertaan dari negara China, Thailand, Belanda, Rusia, Korea Selatan, Itali, dan Australia. Terdapat beberapa persembahan menarik dalam program tersebut. Antaranya ialah bacaan puisi, lagu puisi, monolog, syair, gurindam, dekon, dan filem pendek. Segala persembahan ini diharap mampu mengangkat dan memartabatkan bahasa Melayu di arena antarabangsa.

Menurut Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, “PEMUISI telah membentuk ‘Kerabat Pemuisi Sedunia’. Setakat hari ini, sebanyak 28 buah organisasi seni, sastera dan budaya daripada 14 buah negara telah menyertainya. Sejak ditubuhkan, beberapa program telah diadakan dengan jayanya”.

Selain itu, program ini juga selari dengan gesaan YAB Perdana Menteri agar bahasa Melayu digunakan oleh agensi kerajaan, GLC, dan swasta di dalam negara, malahan diperluaskan ke peringkat antarabangsa mengikut kapasiti masing-masing. Dalam hal ini, “PEMUISI menyokong penuh gesaan dan seruan itu tanpa berbelah bahagi serta akan terus melaksanakannya,” jelas Dr. Radzuan lagi yang turut mendeklamasikan puisi beliau berjudul “Oh, Bahasaku”.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika menyampaikan ucapan perasmian pada program tersebut berkata, “saya ingin melahirkan rasa gembira sekali gus amat berbangga kerana dalam era langit terbuka ini, masih ada kelompok insan yang berdiri teguh mempertahankan entiti bahasa sebagai jati diri bangsa. Program seumpama ini menunjukkan gandingan mantap pemuisi antara negara-negara yang bakal mengorak langkah ke acara yang lebih besar pada masa akan datang dengan tujuan memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa”.

Beliau juga turut memberi penghargaan kepada peranan NGO yang berkaitan dengan seni, sastera dan budaya yang terus giat menyemarakkan bahasa Melayu sebagai perantara demi mengekalkan jati diri sebagai rakyat yang prihatin dan berbudi tinggi. Dalam program tersebut, beliau sendiri turut membaca puisi nukilannya sendiri bertajuk “Payung Negara”.

Turut menjayakan program tersebut melalui persembahan bacaan puisi ialah Kepten Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob (Naib Canselor Universiti Malaya), Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman (pensyarah kanan Fakulti Filem Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA) dan Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Zurinah Hassan.

Penyertaan dari Indonesia daripada asyikasyik.com membabitkan Hudan Nur selaku moderator bagi segmen kedua yang menampilkan tokoh tersohor dari Indonesia iaitu Iyut Fitra, Irvan Mulyadie, Siti Salmah, Rini Intama, dan Wayan Jengki Sunarta. Selain itu, penonton juga disajikan dengan sebuah tayangan filem pendek bertajuk “Suatu Malam, Ketika Puisi Tak Mampu Ia Tulis Lagi” berdasarkan cerpen karya Sandi Firly.

Putra Seni dari Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Dr. Zefri Ariff menyaksikan barisan persembahan yang hebat daripada penggiat seni puisi di negara tersebut. Antara yang terlibat ialah Atin Aswana, Adi Swara, Panjilara, Tanjak Cikar, A. Amin, dan termasuklah Dr. Zefri sendiri yang turut menyampaikan persembahan puisi yang cukup mempesonakan berjudul “Bicara Aksara”.

Segmen dari Singapura diselenggarakan oleh pengasas Pantunism iaitu Shahril Samri. Segmen itu memperkenalkan penggiat puisi dalam kalangan generasi muda yang terdiri daripada Fadhli Rusydi Fadzil, Irfan Azman, Qistina Athirah, Sharifah Fatimatu Zahra, dan Syafiqah Aziz.

Peserta dari luar negara yang menyemarakkan program itu melalui persembahan puisi bahasa Melayu ialah Prof. Madya Dr. Victor A. Pogadaev (Rusia), Dr. Kang Myoung Sook (Korea Selatan), Noemi Gagliardi (Itali), Mahroso Doloh (Thailand), Sita Aulliya (Belanda), dan Yasmaine Millson (Australia). Selain itu, penonton juga dihidangkan dengan sebuah tayangan filem pendek berjudul “Cerita Saya dengan Bahasa Melayu” oleh Mahasiswa Sichuan International Studies University, China. Mereka yang terlibat dalam filem pendek ini ialah Adriana@Zhang Wan’er, Khaira@Pi Jiayi, dan Armel@Liu Xiyue.

Turut sama menyuntik elemen hiburan secara santai ialah karyawan PEMUISI sendiri menerusi selingan lagu puisi yang melibatkan Adiwangsa Sukma, Roslan Madun, Siso Kopratasa, dan Man Kayan.

Tonton program penuh  di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.