17 Mac 2022, 15:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Patuh kepada konvensi penulisan? Setia kepada satu-satu bentuk dan gaya sahaja? Jika konvensi tersebut “dilanggar”, maka bagaimana pula dengan penerimaan terhadap karya tersebut? Ibnu Din Assingkiri melihat perlunya kepelbagaian dan pengubahsuaian teknik dalam meletakkan sesebuah karya tersebut secocok dengan zaman dan masyarakatnya.

Agak sukar untuk mengawal ketepatan konvensi melainkan kita benar-benar patuh dengan konvensi (baca: resipi) asli dari tempat asalnya. Oleh sebab manusia berbeza cita rasa dan tahap kesetiaan kepada konvensi, maka lahirlah pantun, haiku, tanka, dan soneta kontemporari yang sudah sedikit sebanyak menyimpang daripada versi asli.

Cara asal memasak sup Nasi Ayam Hainan ialah mesti dimasukkan herba yuk chuk, tang kui dan kurma merah cina. Dalam nasi pula, harus dibubuh minyak bijan. Sosnya pula wajib memakai sos cili halia muda.

Majoriti lidah orang Melayu tidak boleh menerima rasa “timur jauh” tersebut. Jadi, terpaksalah orang yang berniaga makanan tersebut untuk pasaran orang Melayu menyesuaikan resipinya untuk cita rasa orang Melayu. Maka, terjadilah pelanggaran “konvensi” sehingga tiada lagi minyak bijan, herba dan sos cili halia. Bukan itu sahaja, malah terdapat sos yang diubah menjadi air asam kerisik untuk disesuaikan dengan lidah Melayu. Bagi tujuan komersial, peniaga masih menamakannya sebagai Nasi Ayam Hainan.

Ibarat pengubahsuaian terhadap makanan tradisi tersebut, perkara yang sama turut terjadi pada puisi tradisi seperti pantun, haiku, tanka, dan soneta. Zaman berubah dan puisi tersebut juga telah melintas negara dan benua. Akibat daripada itu, puisi tersebut juga telah menjalani perubahan, sesuai dengan cita rasa terkini ataupun cita rasa tempatan (negara lain).

Agak sukar untuk mengawal ketepatan konvensi melainkan kita benar-benar patuh dengan konvensi (baca: resipi) asli dari tempat asalnya. Oleh sebab manusia berbeza cita rasa dan tahap kesetiaan kepada konvensi, maka lahirlah pantun, haiku, tanka, dan soneta kontemporari yang sudah sedikit sebanyak menyimpang daripada versi asli.

Kita tidak perlu takut pada variasi tidak asli kerana seperti bahasa, sastera juga berkembang seiring dengan zaman. Jika sastera dan bahasa tidak berkembang, dikhuatiri nasibnya akan sama dengan nasib bahasa Latin, Sanskrit dan lain-lainnya yang boleh dikatakan hampir pupus dan tidak digunakan oleh kebanyakan orang.

Mutakhir ini, kita diperkenalkan dengan pantun “kadensa (cadense) lunak”, iaitu berima sempurna di tengah dan akhir, sepuluh suku kata setiap baris, lima suku kata sebelum jeda, dan lima suku kata selepas jeda. Teknik tersebut boleh kita lihat dalam pantun CT Nurza:

Tunas menjulur tepian tunggul,
        Tunggullah kayu regis dedalu;
Indahnya melur sisipan sanggul,
        Menambah ayu gadis dahulu.

(Semandarasa Projek Pantun Melayu, 2016)

Teknik penulisan begini boleh diibaratkan seperti air asam kerisik yang mengambil alih peranan sos cili halia muda bagi Nasi Ayam Hainan.

Kita juga diperkenalkan dengan haiku dan tanka yang memakai jumlah suku kata, sedangkan dalam bentuk asalnya memakai jumlah bunyi. Selain itu, terdapat juga haiku kontemporari dalam bahasa Inggeris yang langsung tidak patuh pada konvensi suku kata 5, 7, 5, seperti haiku Nick Virgilio ini:

bass
picking bugs
off the moon

(“The Real ‘Rules’ of Haiku”)

Perubahan konvensi ini boleh dianggap ibarat ketiadaan yuk chuk, tang kui dan kurma merah cina di dalam sup Nasi Ayam Hainan.

Selagi puisi tradisi masih ditulis, dibaca, dikritik, dan dikaji, selagi itulah puisi tradisi tersebut tidak akan mati. Walaupun terdapat perubahan konvensi seperti Nasi Ayam Hainan yang berasimilasi dengan budaya pemakanan tempatan, terutamanya cita rasa orang Melayu, ia akan tetap dimakan sampai bila-bila, malahan masih kekal di senarai teratas sebagai makanan kegemaran rakyat Malaysia.

Begitu juga dengan pantun dan rakan tradisinya dari negara lain. Nasib mereka pasti jauh lebih baik daripada bahasa Latin dan Sanskrit selagi masih ditulis dalam bentuk asli ataupun kontemporari.

Kita pasti tidak sanggup meletakkan nasib puisi tradisi yang disayangi ini seteruk nasib pasukan bola sepak Harimau Malaya atau semalang nasib burung dodo! Oleh itu, eloklah kita tenang-tenang sahaja dan marilah sama-sama nikmati dan raikan perbezaan dan kepelbagaian dalam cara menulis puisi tradisi.

Kredit Gambar: MongPro/Shutterstock

_________________________

Ibnu Din Assingkiri ialah seorang penulis, pembaca, pembimbing, pemerhati, dan peminat sastera tradisi dan kontemporari.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.