Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kepintaran orang Melayu dahulu terbukti melalui hasil penulisan dalam naskhah klasik yang terangkum pelbagai bidang. Tidak terkecuali juga naskhah perubatan Melayu yang didapati melalui pemerhatian.
Dalam hal ini, Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad berkongsi rahsia sihat dan cantik melalui manuskrip MSS 2515 hasil penyelidikan Allahyarham Dr. Harun Mat Piah pada 4 Mac yang lalu melalui Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sesuai dengan bidang Kesusasteraan Melayu Tradisional dan pengkhususan dalam Filologi Kajian Manuskrip Melayu yang digulatinya, Dr. Salmah Jan berkata bahawa sihat perlu mendahului kecantikan, kerana orang yang sihat dalaman dan luaran akan terserlah kecantikannya. Dalam ilmu perubatan Melayu, herba-herba memberikan kesan sihat dan cantik. Hal ini terbukti melalui pengamalan orang-orang tua.
Jika diteliti dalam MSS 2515, ilmu perubatan Melayu sudah terangkum di dalamnya bidang sains dan teknologi. Hal ini membuktikan betapa masyarakat silam mempunyai pengamatan yang teliti dalam mengenal pasti punca penyakit dan cara-cara merawatnya. Hanya terpulang kepada generasi moden sama ada mahu percaya atau tidak.
Tambah Salmah Jan, manuskrip tersebut menampilkan pendekatan dan kaedah perubatan Melayu yang ditanggapi secara ilmiah yang jelas memperlihatkan sifatnya yang saintifik, sistematik dan mengandungi konsep serta gagasan yang jelas. Oleh sebab itu, masyarakat silam dapat mengenal pasti jenis-jenis makanan yang tidak boleh dicampurkan ketika makan. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan segala masalah kerana asal penyakit datangnya daripada perut.
Perut manusia seperti yang dijelaskan dalam Kitab Tib ini, terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu bahagian penyimpanan makanan, minuman dan bahagian untuk bernafas. Jika cara pengambilan makanan tidak betul, maka akan mendatangkan mudarat kepada pemilik tubuh. Sebagai contoh, jika makan terlalu kenyang, maka perut akan terisi penuh lalu menyebabkan pemilik tubuh berasa senak dan sukar bernafas.
“Pesan orang-orang tua, selepas bersalin, makanlah ibu kunyit kerana fungsi kunyit dapat mengecutkan rahim.
“Makanan sejuk juga jangan dimakan dengan makanan panas, seperti makanan laut dan makanan darat, tidak boleh dicampurkan. Formula merawat rambut luruh juga ada dijelaskan dalam manuskrip,” ujar Dr. Salmah Jan.
Azimin Daud, Pegawai Perancang Bahasa DBP selaku hos turut bertanya tentang khasiat bunga telang. Jelas Salmah Jan, bunga telang berfungsi untuk menyejukkan dalaman badan manusia, membersihkan usus, membuang kolesterol dan berupaya memberikan ketenangan. Di Indonesia, bunga telang dijadikan ubat untuk merawat gout kerana fungsinya juga dapat mengurangkan kandungan asid urik yang berada dalam tubuh.
Dr. Salmah Jan yang didatangkan dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, juga turut berkongsi kaedah untuk merawat sembelit. Ramuan yang diperlukan ialah rotan lilin (dijadikan seperti kayu sugi) dan diasapkan dengan kemenyan. Seterusnya, gigitlah dengan kuat semasa proses qadak hajat besar. Namun dengan syarat, tidak boleh berkata-kata. Apabila telah selesai, simpanlah di tempat yang tinggi supaya tidak terlangkah dan amalkan selama tujuh hari.
Beliau tersenyum dan menyatakan bahawa itulah yang tertulis dalam Kitab Tib meskipun kedengaran lucu. Jika diamati kembali, formula atau kaedah seperti ini kembali kepada ajaran Islam yang sangat menitikberatkan adab ketika berada di dalam tandas. Bahkan, turut mengangkat kesucian sesuatu benda dan peralatan yang digunakan oleh mulut dengan cara yang baik agar tidak sewenang-wenangnya dilangkah. Pada akhir perkongsian, Salmah Jan juga turut berkongsi pendapat tentang penyakit “ain”, iaitu sejenis penyakit yang terkena sesuatu daripada mata.
“Ia kembali kepada ajaran Islam supaya kita bersederhana dalam setiap sesuatu. Ada hikmahnya agar kita tidak menunjukkan semua yang dimiliki kepada orang lain,” jelas beliau.
Tonton perkongsian ilmu ini di sini.
Kredit Foto: Nur Muhammad Fansuri