Oleh Ramzah Dambul
8 Mac 2022, 14:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramzah Dambul memutuskan, sudah tiba masanya hambatan status quo dalam dunia sastera tempatan dibuka dengan lebih inklusif, dengan sikap yang lebih “terbuka”.

AJL edisi 36 ini menghidupkan semula semangat kebersamaan ranah muzik Malaysia, yang bebas meneroka pengisian dari segenap ceruk ilham. Ya, kebebasan berkarya tanpa perlu rasa takut dipinggirkan. Industri seni kreatif Malaysia secara keseluruhan pun, seharusnya wajar dimerdekakan daripada sebarang bentuk jurang dan prejudis.

Saya mulakan penulisan ini dua minggu lepas. Ketika berjumpalit mahu menamatkannya, saya tiba-tiba tersihir dengan inspirasi baharu, sebaik sahaja usai menyaksikan siaran langsung Anugerah Juara Lagu (AJL) siri ke-36. Pelukan Angkasa ciptaan Raja Nazrin, nyanyian duet SOG dan Shila Amzah, serta liriknya dinukil oleh Fazleena — dinobatkan sebagai juara. Bagi ramai pengikut muzik arus perdana Malaysia, barangkali ini satu keputusan luar dugaan.

Wikipedia mencatatkan genre lagu yang agak riuh gempita ini sebagai “punk keras”. Ramai kalangan peminat akar umbi pula, mendendangnya sebagai karya yang intim dengan nuansa “rock metal”. Tidak kira ke mana alirannya dikelompokkan, lagu ini sudah terang lagi bersuluh membawa status dan nafas indie.

Dalam kata-kata ringkas sewaktu segmen ucapan dedikasi, Fazleena menzahirkan satu pesan berani tanpa sedikit pun berselindung — betapa mustahaknya industri muzik Malaysia bersifat inklusif. Sebenarnya, hal ini bukan kali pertama lagu-lagu indie menyerlah dalam AJL, sebuah sayembara muzik yang sungguh tersohor. Sebelum ini, kumpulan underground Estranged dan artis kelahiran YouTube Ana Raffali juga telah berjaya menakluk pentas yang berprestij ini (sekadar menyebut dua contoh). Namun kemenangan Pelukan Angkasa yang mungkin tidak dijangka oleh majoriti penggemar muzik pop membawa mesej pembebasan yang lebih signifikan.

Mengapa? Pertama, kemenangan ini berlaku pada era pandemik yang begitu menghimpit. Semua pemain industri memang tersepit ketika ini, tetapi yang paling terkesan tentulah para penggiat hiliran (baca: indie). Kelompok ini kurang mendapat akses pada ekosistem sokongan yang bersifat institusi. Kedua, penulis lirik lagu tersebut ialah seorang sosok bernama Fazleena Hishamuddin. Beliau bukan sahaja ikon persuratan indie yang begitu dikenali; bahkan juga seorang aktivis marginal yang paling tegas bersuara.

AJL edisi 36 ini menghidupkan semula semangat kebersamaan ranah muzik Malaysia, yang bebas meneroka pengisian dari segenap ceruk ilham. Ya, kebebasan berkarya tanpa perlu rasa takut dipinggirkan. Industri seni kreatif Malaysia secara keseluruhan pun, seharusnya wajar dimerdekakan daripada sebarang bentuk jurang dan prejudis.

Maka, apa yang boleh diteladani oleh komuniti sastera tanah air daripada perkembangan ini? Sebenarnya ada banyak, tetapi semuanya berpaksi pada satu kata kunci: KETERBUKAAN. Kita perlu belajar menguasai kebijakan untuk membaca perubahan zaman dan anjakan cita rasa audiens.

Kebetulan pula, baru-baru ini saya berwacana dalam satu forum sempena Festival Antarabangsa Sastera dan Seni Sabah, yang berlangsung di Kota Kinabalu. Saya melontarkan beberapa isu bersabit polemik puisi esai (puisi esei, digagaskan oleh Denny JA sekitar tahun 2012) yang mencetuskan bermacam perbalahan dalam kalangan warga kesusasteraan Indonesia dan Malaysia. Malangnya debat tersebut lebih condong kepada hal-hal peribadi pelopor genre baharu ini; bukannya rancak menggali hal-hal lebih substantif, misalnya persoalan tentang justifikasi, arah tuju dan masa depan gagasan puisi esai.

Sastera sering dicanang sebagai sebuah arena yang bebas politik. Produk kesusasteraan pula selalu dipuja sebagai alat terbaik untuk menyatukan manusia dan memugar nilai-nilai kemasyarakatan. Sayang sekali, laungan-laungan ini jarang menemukan kebenaran hakiki dalam dunia sebenar. Lebih parah lagi, acap kali yang muncul secara realiti dalam lingkungan sastera ialah perkara-perkara yang menyanggah penyatuan, bahkan sebaliknya memupuk perpecahan.

Dunia sastera, dalam banyak situasi, seperti lebih gemar mendewakan perbezaan dan mengungkit perbandingan. Bidang yang selalu dimegah-megahkan sebagai bebas ideologi dan pro kebebasan insani, rupa-rupanya terlalu tepu dengan politik kelompok dan kasta. Sepatutnya, kesusasteraan mampu mencitrakan peranan yang jauh lebih autoritatif dalam usaha mengikat keakraban dan menyatukan pemikiran manusia. Sebab fitrah sastera itu sendiri halus, lunak dan amat manusiawi. Tetapi sayang sekali, bukan semua harapan boleh menjadi kenyataan.

Apakah erti persuratan kreatif, jika tidak dapat memugar kemerdekaan ekspresi dan imaginasi? Apakah makna kesusasteraan yang tidak memanusiakan kita?

Dalam kes polemik puisi esai, yang tebal dengan perbahasan kosmetik dan sentimen anti-Denny; hal ini sangat jelas mencerminkan jurus pemikiran golongan sasterawan. Mereka lebih taasub mempertikai hal-hal remeh (misalnya, melontar keraguan pada latar belakang Denny JA sebagai usahawan dan pemerhati politik) daripada merungkaikan perkara-perkara dasar (misalnya, mencabar takrifan batin dan pencirian rinci puisi esai yang digagaskan). Seolah-olah komuniti karyawan dan penulis sendiri sengaja menghalang sastera untuk tumbuh berkembang di luar daripada ruang sedia ada.

Apa yang paling ironi, kemelut dan krisis pertembungan yang dipacu daripada mentaliti sumbel ini — tidaklah terlampau tegar membudaya dalam arena sains dan teknologi. Sedangkan bidang ini selalu dimomokkan sebagai mekanikal, robotik serta dianggap lebih miskin roh dan jiwa. Secara natural, bidang yang rigid empirikal begini sepatutnya lebih mudah mengundang selisih. Tetapi dalam tahun-tahun pandemik yang suram sekarang, diplomasi sains seantero global merangkaikan hubungan dengan lebih utuh. Perkongsian sumber (tenaga pakar dan dana kewangan) dan pemindahan korpus ilmu menjadi lebih dinamik. Begitu juga, proses regulasi antara negara bertambah mudah dan mesra. Sehingga teknologi dan inovasi baharu dapat merentas keluar dari negara-negara pemilik asal, kemudian tersebar pantas ke segenap pelosok alam. Inilah bentuk keterangkaian ekosistem sains dan teknologi dunia yang berjaya memecutkan penciptaan vaksin COVID-19 dalam jangka masa yang relatifnya singkat.

Dalam tempoh dua dekad kebelakangan juga, komuniti sains dan teknologi telah mengalu-alukan kehadiran pelbagai genre baharu dalam bidang ini. Antara contohnya, teknologi nano, digital, blockchain, kepintaran buatan, IoT, cloud, dan beberapa lagi subbidang kontemporari. Transformasi drastik ini dapat dikecap kerana wujudnya semangat keterbukaan, dan adanya keinginan kolektif untuk memartabatkan nilai-nilai persamaan yang sekali gus mengatasi segala kepentingan kelompok.

Kesusasteraan pula bagaimana? Sehingga kini, ranah sastera Malaysia masih terbelah bahagi. Sastera global sudah lama berganjak dengan pelbagai citra persuratan baharu. Sebagai contohnya, penerbitan secara dalam talian atau digital (e-book) telah diterima sebagai perantara rasmi produk sastera. Di Malaysia, penerbitan menerusi medium dan platform alternatif begini belum lagi cukup absah dalam program-program pengiktirafan yang terinstitusi, sama ada pada peringkat negeri atau kebangsaan.

Perbalahan tentang konsep sastera tinggi, hiliran (indie) dan pop pernah menjadi polemik gadang suatu ketika dahulu. Sehingga sekarang, politik kasta yang memecahkan ini belum lagi lenyap. Malah, ada ketika menjadi lebih kritikal, sama ada disedari ataupun tidak. Begitu juga dalam aktiviti-aktiviti formal seperti majlis anugerah sastera, masih wujud kerangka feudal secara sistematik. Sebelum penerima diumumkan, kita sudah tahu kelompok-kelompok karya yang tidak akan tersenarai. Bukan tersingkir kerana tidak memenuhi merit kelayakan, tetapi terpinggir secara automatik atas sebab perbezaan kasta.

Sastera tidak boleh diagungkan sebagai sendi kehidupan, sekiranya sastera memilih secara selektif kelompok manusia yang ingin diberikan sendi. Sastera mesti bersifat sejagat, yang mesra menerima kepelbagaian dan sentiasa meraikan kehadiran idea-idea baharu. Jika tidak, sastera tidak boleh menjadi alat pembebasan daripada penjara kejahilan dan cengkaman prejudis.

Apakah erti persuratan kreatif, jika tidak dapat memugar kemerdekaan ekspresi dan imaginasi? Apakah makna kesusasteraan yang tidak memanusiakan kita? Yang tidak membebaskan kita daripada label-label diskriminasi dan penindasan sistemik? Saya fikir, domain sastera wajib merobohkan kerangkengan status quo yang tidak inklusif. Gerakan ke arah itu boleh dimulakan dengan mudik ke hilir, menyantuni dan mengakrabi komuniti sastera marginal.

Kredit Gambar: fran_kie/Shutterstock

_________________________

Ramzah Dambul (Prof. Madya Datuk Ts. Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.